PENOLONG Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman mengubah fikiran dan bersetuju ke ‘gelanggang’ debat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Persetujuan itu hadir hanya sehari selepas Ahli Parlimen Bachok itu menolak pelawaan Rafizi bagi memberi tumpuan bekerja dan berkhidmat untuk menyelesaikan tugasan.
Dalam e-mel yang turut dikongsikan di Twitter, Mohd Syahir berkata beliau bersetuju mengadakan debat ekonomi dengan Ahli Parlimen Pandan itu setelah mendapat keizinan pucuk pimpinan.
Beliau juga menyatakan persetujuan tanpa sebarang syarat.
Malah, Mohd Syahir turut menyerahkan kepada pihak Rafizi untuk menetapkan pemilihan tarikh, moderator, format dan media yang dipilih bagi mengadakan debat berkenaan.
“Setelah mempertimbangkan semula jemputan YB Menteri Ekonomi dan setelah mendapat keizinan pucuk pimpinan, maka saya dengan ini menyatakan persetujuan tanpa sebarang syarat.
“Pemilihan tajuk saya cadangkan, ‘Malaysia Lebih Baik’,” katanya dalam e-mel tersebut.
Baca artikel berkaitan: ‘Lebih baik fokus berkhidmat,’ kata Syahir tolak berdebat dengan Rafizi
Sementara itu, Rafizi dalam ciapan balas memaklumkan tarikh debat ekonomi itu akan berlangsung pada 9 Ogos depan.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berhubung program berkenaan akan dimaklumkan nanti.
“Saya telah dimaklumkan bahawa saudara Syahir telah menerima semula jemputan saya untuk berdebat setelah mendapat keizinan pimpinan beliau.
“Saya ucapkan terima kasih. Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat,” katanya dalam ciapan tersebut.
Semalam, Mohd Syahir menolak pelawaan Rafizi dengan alasan memberi tumpuan kepada kerja dan berkhidmat untuk rakyat.
Beliau memaklumkan sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menolak untuk berdebat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bersedia berwacana dengan mana-mana pihak sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Sebelum itu, Rafizi mencabar Syahir untuk berdebat dengannya selepas cabaran itu ditolak Muhammad Sanusi dan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram