Nama Ian Lancaster Fleming dikenali sebagai penulis dan pengarang terkenal dengan siri karya agungnya, James Bond. Sebelum bergelar penulis, lelaki yang lahir di London ini merupakan seorang tentera.
Setelah pencen sebagai komander dari Jabatan Perisik Tentera Laut Diraja Inggeris, Ian Fleming menyimpan hasrat untuk merealisasikan keinginannya untuk menulis sebuah novel perisik yang menurutnya akan menjadi ‘spy stories to end all spies stories’ (cerita perisik yang mengakhiri semua cerita perisikan).
Akan tetapi, hasrat itu sentiasa tertangguh. Sebaliknya, Fleming yang juga bertugas sebagai wartawan di akhbar The Daily Express banyak menulis resensi buku, artikel dan melakukan kajian untuk sebuah buku yang sama sekali tiada kaitan dengan dunia perisikan.

Akhirnya pada Januari 1952, Fleming telah dicabar oleh kekasihnya, Anne, seorang pelukis yang sibuk melukis supaya menulis sesuatu sementara menunggunya menyempurnakan lukisan.
Fleming lalu menarik mesin taipnya yang berusia 29 tahun berjenama Imperial. Merenung sebentar sambil mencari nama tokoh yang sederhana, mudah disebut dan diingat, ia terpandang sebuah buku bertajuk Birds of the West Indies yang ditulis oleh seorang pengarang bernama James Bond.
“James Bond! Nama yang tepat,” fikir Fleming.
Dia pun menaip dan terus menaip dan tulisannya sangat lancar. Pengalamannya berpuluh tahun sebagai komander dimanfaatkan sepenuhnya. Cerita-cerita yang didengar dihalusinya dan novel itu siap tanpa persediaan, tanpa draf, di mana Fleming menulis dua ribu perkataan setiap pagi selama tiga jam.
Lebih kurang tujuh minggu, akhirnya siaplah novel pertama James Bond berjudul Casino Royale. Namun begitu, novel pertamanya tidak mendapat sambutan dan hanya terjual lima ribu naskhah. Fleming berasa malu tetapi tidak mahu mengalah.

Dia kemudian menulis novel kedua James Bond berjudul Live and Let Die, tetapi turut mengalami nasib yang sama seperti Casino Royale. Namun begitu, Fleming tidak lagi mempedulikan soal jualannya. Dia sebaliknya berhasrat untuk terus menobatkan watak James Bond dalam siri-siri novelnya.
Tuah ternyata menyebelahinya. Pada tahun 1961, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, John F. Kennedy memberitahu media bahawa buku James Bond yang bertajuk From Russia with Love merupakan novel ‘thriller’ terbaik dan termasuk dalam senarai 10 buah novel terbaik yang pernah dibacanya.
Terpesonanya Kennedy sehingga meminta Pengarah CIA ketika itu, Allan Dules untuk mencari kemungkinan membuat senjata seperti yang digunakan James Bond. Maklum saat itu, ‘perang dingin’ berlaku antara Amerika dan Soviet Rusia yang sudah sampai puncaknya.

Buku itu akhirnya melonjakkan nama Ian Fleming. Sejak itu, buku-buku bersiri James Bond menjadi ‘best seller’ sama ada yang lama mahupun yang baru seperti Thunderball, Moonraker, For Your Eyes Only, The Man with the Golden Gun, On Her Majesty’s Secret Service, Diamonds Are Forever dan The Spy Who Loved Me.
Apabila melihat kejayaan novelnya, dua produser filem, Harry Saltzman dan Albert Brocolli sebulat hati membuat filem-filem James Bond. Sebagai pengarang, Fleming memperoleh lima peratus royalti dari setiap filem yang dibuat berdasarkan buku-bukunya.
Untuk keperluan itu, akhbar The Daily Express telah mengiklankan pencarian watak James Bond. Tidak kurang dari seribu orang mencuba nasib termasuklah David Niven dan Richard Burton. Akhirnya, Harry Saltzman menemui seorang lelaki tanpa kerjaya bernama Sean Connery yang dipilih membawa watak James Bond.
Penangan filem itu turut mengangkat nama Sean Connery sehingga menjadi kaya raya berkat filem tersebut. Ternyata From Russia With Love merupakan karya besar Ian Fleming yang mendatangkan tuah kepadanya.

Ian Fleming meninggal dunia pada 12 Ogos 1964 ketika berusia 56 tahun. Beliau telah menulis 12 novel James Bond beserta 2 antologi. Disebabkan itu, filem-filem James Bond yang ke-13 dan seterusnya bukan lagi karya asal Ian Fleming. Produser filem telah membeli hak membuat filem James Bond.
Setelah Fleming tiada, produser mencari penulis lain untuk kelanjutan siri-siri James Bond. Antara penulis yang menyambung legasi James Bond ialah Kingsley Amis, John Pearson, John Gardner dan Raymond Benson.
Begitu fenomenalnya siri James Bond, sehingga disebut sebagai ‘one of the most successful heroes of the 20th century fiction.’ Bukan hanya buku dan filem, bahkan keuntungan watak ini juga dijana melalui pelbagai jualan barangan dan permainan.
Tentunya filem James Bond yang kini sudah sampai 27 siri sentiasa ‘box-office’ dan bukunya pula menjadi ‘best seller’ serta telah terjual lebih daripada 100 juta naskhah di seluruh dunia.

Salah satu resipi kejayaan James Bond ialah gabungan wajah Bond yang ‘macho’, cerdas, mempunyai senjata rahsia dan canggih ditambah dengan kehadiran wanita-wanita cantik, seksi serta pertembungan perisik-perisik Barat dan Timur.
Resipi lainnya selalu mencekam, terjadi ‘kejar kejaran’ yang melibatkan kenderaan yang canggih, eksklusif dan tentunya berakhir dengan seks. Itulah resipi utama James Bond. Memang ada perbezaan antara buku-bukunya yang ‘best seller’ dan filem-filemnya yang ‘box-office’ . Akan tetapi intinya tetap sama – memperkenalkan teknologi baru, baik untuk kenderaan mahupun senjata canggih.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

