KEGEMILANGAN muzik rock era 1980-an telah menjadi fenomena yang menggegarkan industri muzik Malaysia. Lebih mengujakan demam rock telah menular hingga ke negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
Malah, band rock Malaysia menjadi tumpuan dan sebutan serta mendapat sambutan hebat di rantau ini sehingga menghasilkan penjualan album yang amat menggalakan.
Kumpulan-kumpulan rock juga banyak yang ditubuhkan dan syarikat rakaman berlumba-lumba untuk merakamkan album bagi band rockers tersebut.
Kini, setelah hampir 40 tahun lagu-lagu band rock ini masih berkumandang serta digilai termasuk generasi baru. Malah, banyak artis-artis baharu yang membuat lagu saduran semula (cover song) sehingga tular di media sosial.
Justeru, bagi peminat yang merindui kumpulan otai rock seperti Junction, Desire dan Meditasi membuat persembahan secara langsung, jom tandakan di kalendar anda pada 7 Oktober ini di Panggung Asia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur bagi menyaksikan Konsert Rock Kapak ini nanti!
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lihat banyak penganjuran konsert telah berlangsung. Rasanya, dalam sebulan akan ada tiga atau empat konsert dianjurkan.
“Cuma kami sebagai artis rock mungkin tidak diberi peluang untuk buat konsert ketika itu. Bukan kami menafikan rezeki penyanyi lain tetapi mungkin tiada siapa yang nak taja band-band rock seperti kami.
“Sedangkan penyanyi rock 80-an masih ada yang aktif buat persembahan sampai sekarang. Jadi, saya ambil iniatif sendiri bertindak sebagai penganjur utama menerusi syarikat saya iaitu Attah Music.
“Saya terpanggil untuk buat Konsert Rock Kapak ini selepas melihat banyak konsert didominasi penyanyi genre yang berbeza dengan rock,” katanya kepada URTV.

Hatta yang merupakan vokalis Junction berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Rock Kapak di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sedar konsert tersebut akan berlangsung kurang dari dua minggu sahaja lagi, Hatta tetap optimis dan berharap peminat dapat menyokong usahanya dengan membeli tiket sekaligus dapat membantu band rocker lain ‘bernafas’.
“Sejujurnya, setakat ini baharu sekitar 100 lebih tiket terjual sedangkan lokasi konsert boleh memuatkan 1000 penonton.
“Kami jual tiket dengan harga RM85 sahaja. Itulah harga yang kami rasa sesuai dengan pasaran ketika ini. Ingin saya tegaskan, walaupun mungkin sekiranya penonton tidak ramai, kami tetap teruskan konsert tersebut.
“Malah, kami juga tak akan turunkan harga hanya semata-mata nak penuhkan penonton. Tujuan kami buat konsert ini adalah untuk menghiburkan peminat lama dan baharu bukan nak kutip keuntungan.
“Saya tahu tarikh konsert kami itu juga bertembung dengan banyak konsert-konsert lain. Tak mengapa, plan harus diteruskan seperti yang dirancang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boss Production, Naz Hamzah yang juga bertindak sebagai penganjur bersama berkata, biarpun mengakui kutipan tiket Konsert Rock Kapak mungkin tidak memberangsangkan ekoran lambakan konsert pada tarikh sama, namun dia tetap positif.

“Yang penting konsert ini akan memberi kegembiraan dan kepuasan kepada peminat-peminat rockers.
“Kami percaya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Kami tak tengok populariti artis.
“Saya percaya band-band legenda ini masih ada peminat sendiri. Saya tetap akan beri sokongan,” katanya.
Lebih menarik lagi, selain tiga band otai ini, dua lagi band rock seperti BloodBrothers dan Revenge akan membuat penampilan menerusi persembahan pembukaan.
Bagi merancakkan jualan tiket, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah istimewa kepada pembeli-pembeli tiket bertuah.
Antaranya dua pakej percutian ke Semporna,Sabah, dua unit gitar eletrik Ibanez GRX70QA, dua baucar penginapan di Hotel Ames, Melaka, jaket kulit dan banyak lagi.
Tiket-tiket Konsert Rock Kapak berharga RM85 dan kini boleh dibeli menerusi laman sesawang ubertickets.asia. Sementara itu untuk tempahan sila hubungi 0192333435, 0105667384, 0192407994 & 0199247924.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

