Dalam kesibukan ibu menyediakan makanan kemungkinan tanpa disedari anak-anak kecil mengekori ibu ke dapur. Apa yang menakutkan ada anak kecil yang masih merangkak dan tak tahu apa-apa tercedera akibat kelalaian ibu yang sibuk di dapur.
Amalkan langkah keselamatan seperti di bawah agar anak anda bebas daripada kecederaan dan kemalangan yang tidak diingini.
Penggunaan Alat Elektrik
- Apabila anda selesai memasak dengan menggunakan peralatan elektrik, sila pastikan suis peralatan elektrik dimatikan. Jangan sesekali biarkan kabel alat elektrik berjuntaian kerana anda sendiri mendedahkan risiko kepada anak-anak yang masih kecil.
- Dalam kes tertentu ada anak-anak kecil yang tertarik kabel alat elektrik disiram air panas yang menggelegak ataupun sup panas yang sedang dimasak.

Mencegah Keracunan Makanan/Benda Beracun
- Simpan semua botol detergen, racun pengawal serangga dan bahan kimia lain ke dalam kabinet yang bertutup.
- Sekiranya anda mengitar semula botol minuman berkarbonat atau botol mineral terpakai untuk diisi dengan cecair pencuci pakaian, detergen mahupun racun, labelkan botol tersebut. Ini untuk mengelakkan kes terminum cecair beracun berlaku.
- Cuci tangan anda sebelum memasak. Sekiranya anda baru saja memegang sampah, telur, daging atau ikan mentah, cuci sekali lagi tangan anda dengan menggunakan cecair pembasmi kuman.
- Tegah anak-anak daripada merasa makanan yang belum dimasak sepenuhnya. Sebagai contoh sekiranya si ibu sedang membuat adunan untuk memasak kek atau biskut, jangan benarkan anak-anak merasa adunan tersebut. Dikhuatiri anak-anak boleh terkena masalah keracunan makanan.
Lantai
- Lantai dapur lazimnya lebih licin dengan air, minyak, makanan atau minuman yang tertumpah. Pastikan anda mengelap lantai dengan menggunakan cecair pencuci lantai agar lantai bebas minyak dan basah. Tegah anak-anak dari bermain ataupun berlari di dapur.

