TINDAKAN menggalakkan wakil rakyat menyokong pemimpin parti lawan dan ‘membelakangkan pendirian parti, tanpa keluar parti’ seperti yang berlaku sekarang boleh memakan diri dan seterusnya menyebabkan kejatuhan sebuah kerajaan.

Bekas pemimpin UMNO yang kini bersama PAS, Tan Sri Annuar Musa berkata, telah tersebar berita tindakan Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa mempedulikan pendirian parti mereka tetapi pasa masa sama tidak keluar daripada parti.

“Tindakan ini dilihat ‘MELOMPAT tanpa LOMPAT PARTI’. Dari segi semangat undang undang ANTI LOMPAT PARTI yg baru diperkenalkan,jelas akta ini telah gagal mengekang perbuatan LOMPAT MELOMPAT. Kali ini mungkin dengan umpan peruntukan, projek dan lain lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu malah menyifatkan situasi sebegitu yang didorong oleh kerajaan yang menjadi pemangkin dan penganjur bakal “memakan diri” suatu hari nanti.

“Apa kata sekiranya selepas ini ramai Ahli Parlimen mengambil sikap yang sama, tidak lagi menyokong penyandang dan memilih pula Perdana Menteri ke-11 tanpa mengikut pendirian parti?

“Ia bukan lagi sesuatu yg mustahil kan?” kata Annuar.

Kata bekas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, jelas undang-undang antilompat parti gagal mengekang perbuatan “lompat-melompat”.

Sehingga kini seramai empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Zahari berkata beliau mahu memastikan rakyat Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada kerajaan pusat.

Sebelum itu, Suhaili memaklumkan sudah menerima peruntukan bagi kawasannya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram