WANITA berseragam putih merah yang di dada kirinya tertera logo syarikat pembersihan itu, melihat jam yang dipakainya. Jarum menghampiri 10.00 malam. Hanya berbaki sejam sahaja waktu kerjanya akan habis di sebuah hospital di utara tanah air.

Sebagai seorang cleaner, Rozi akan memastikan wad pembedahan yang terletak di tingkat bawah hospital sentiasa dalam keadaan bersih. Begitulah rutin Rozi bersama empat lagi rakannya. Sudah lebih 15 tahun dia bertugas di situ.

Seperti biasa hari itu, Rozi bertugas dari pukul 3.00 petang hingga 11.00 malam bersama rakannya. Tapi entah mengapa, malam itu dia berasa sedikit canggung. Hujan yang mulanya renyai bertukar menjadi lebat diiring petir sabung-menyabung.

“Rozi, lebat betul hujan malam ni. Seram pula aku,” kata Hasnah, rakan sekerja Rozi.

Sambil berbual, mereka berdua tetap menyapu dan mengelap lantai wad pembedahan bersalin. Rozi sempat mengerling petugas-petugas di dalam wad yang sedang tekun membuat kerja.

Pandangan Rozi terhenti pada seorang wanita yang ditempatkan di dalam bilik khas untuk kes-kes kritikal. Rozi berbalas senyuman dengan wanita itu yang akan melahirkan anaknya pada bila-bila masa sahaja.

“Sarat sangat dah tu. Kejap lagi bersalinlah,” bisik hati Rozi.

Selesai melakukan tugas rutin, Rozi dan Hasnah duduk di lobi wad bersalin untuk melepaskan lelah. Telinga mereka hanya diisi dengan bunyi guruh dan kilat yang berdentum di luar.

Tiba-tiba, hidung Rozi tercium bau daun pandan. Wangi. Tegak bulu roma Rozi mengenangkan bau pandan yang harum itu. Hatinya tidak tenang. Lantas Rozi mengucap panjang.

Dalam dia duduk di bangku panjang itu, tiba-tiba sekumpulan doktor berlari-lari anak ke dalam wad bersalin. Wajah mereka nampak gusar.

“Ada kes kritikal agaknya,” teka Rozi dalam hati.

Kebetulan Rozi sempat bertegur sapa dengan seorang jururawat yang sedang tergesa-gesa ke dewan pembedahan. Katanya, ada pesakit yang hendak bersalin dan berlaku tumpah darah. Rozi hanya mampu berdoa agar pesakit itu selamat untuk melahirkan anak.

Jam menunjukkan ke angka 11.00 malam. Habis bertugas, Rozi pulang ke rumah. Tidak lama waktu diambil kerana jarak rumahnya tidaklah begitu jauh dari hospital itu.

“Tadi kawan abang beritahu ada nampak awak kat hospital,” beritahu suami Rozi setelah dia sampai di rumah.

“Ya ke? Tak nampak pula,” balas Rozi.

“Bukan apa, kawan abang tu isterinya baru meninggal masa lahirkan anak mereka tadi. Tercapai juga hajat arwah mahu anak lelaki, tapi sayang dia yang pergi dulu,” sambung suaminya lagi.

“Boleh jadi kes pesakit tadi agaknya,” ujarnya Rozi dalam hati setelah mendengar cerita suaminya. Teringat dia pada wanita di bilik kritikal yang sempat berbalas senyuman itu.

Keesokan hari apabila Rozi datang bertugas seperti biasa, dia dapat tahu memang ada seorang wanita meninggal dunia malam tadi akibat pendarahan semasa mahu melahirkan bayi lelakinya. Malam itu juga mereka uruskan jenazah wanita tersebut.

Tiga hari selepas kejadian itu, Rozi meneruskan kerja seperti biasa. Selepas mencuci bilik mesyuarat di bahagian atas wad bersalin, Rozi melalui koridor wad di situ. Masih awal, jam baru menginjak pukul 6.00 petang.

Ketika itu, Rozi ternampak seorang pesakit wanita yang duduk di kawasan koridor itu.

“Adik, tak boleh duduk sini. Ini kawasan pekerja saja,” tegur Rozi.

Wanita itu hanya tersenyum. Sepatah tidak menjawab. Kakinya yang terjuntai diayun perlahan. Melihat tiada respons daripada pesakit itu, Rozi pun pergi ke kaunter wad bersalin.

Nurse cuba pergi tengok, ada patient perempuan tengah duduk berjuntai kat koridor laluan staff tu,” adu Rozi.

Selang beberapa minit, petugas yang pergi ke situ datang semula. “Mana ada kak. Tak ada sesiapa pun kat situ,” kata petugas itu.

“Eh, ada. Tadi memang ada kat situ,” dakwa Rozi bersungguh-sungguh.

“Tak adalah kak. Puas saya cari. Tak ada siapa pun,” balas petugas itu lagi.

Serta-merta bulu roma Rozi tegak berdiri. Jantungnya berdegup kencang. Rozi hanya mampu menelan air liur.

Di matanya seolah-olah terlayar satu persatu peristiwa yang berlaku kelmarin. Baru dia teringat, senyuman pesakit wanita tadi serupa dengan wanita di bilik kritikal yang bertentang mata dengannya pada malam dia bertugas tiga hari yang lalu.

Rozi teringat kisah yang diceritakan suaminya. Tentang isteri rakannya yang meninggal pada malam itu. Adakah wanita yang berbalas senyum itu isterinya?

Tapi, bagaimana pula dengan bau daun pandan yang dihidunya malam itu? Rozi teringat kata-kata orang tua, kononnya bau haruman pandan yang datang tiba-tiba itu adalah dari penunggu yang tiba apabila ingin menyambut roh bayi atau ibu yang akan meninggal saat bersalin. Benarkah begitu?

*Kisah di atas diceritakan oleh Rozi Rashid sewaktu diwawancara Mastika beberapa tahun yang lalu. Rozi ketika itu bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan di sebuah hospital di utara tanahair.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare