Lebih 1,000 kandungan buli siber diturunkan MCMC tahun ini – Teo

Dari Penulis

SEBANYAK 1,147 kandungan buli siber dalam platform media sosial telah diturunkan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan pengendali platform, dalam tempoh Januari hingga 15 Nov tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata ia merangkumi 804 kandungan di aplikasi TikTok, 195 di Facebook, tujuh di X (Twitter), selain masing-masing sembilan di Instagram dan YouTube serta 123 kandungan di lain-lain platform.

Beliau berkata antara langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial ialah melalui pelbagai usaha advokasi, bertujuan memberi kesedaran mengenai penggunaan media sosial serta pendedahan risiko dan ancaman penyalahgunaan Internet, antaranya melalui inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV).

“MCMC dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang terlibat, secara berterusan menjalankan advokasi kepada pengguna melalui pelbagai platform termasuk portal  Sebenarnya.my, KDB, hebahan SMS, media sosial, siaran televisyen dan radio, bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai berkenaan risiko dan modus operandi buli siber,” katanya.

Teo menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial, sehinggakan ada kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber di dalam platform TikTok, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), sama ada MCMC diberikan kuasa menyiasat dan mendakwa kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan  Multimedia 1998, Teo berkata MCMC mempunyai punca kuasa untuk melakukan siasatan.

“Namun, jika sesuatu kes siasatannya dijalankan polis, MCMC tidak akan siasat juga kerana ia pendakwaan dua kalitetapi kalau polis tak siasat, MCMC masih ada punca kuasa untuk bertindak.

“Jika nak bawa kes disiasat ke mahkamah, kes berprofil tinggi, MCMC perlu rujuk kepada polis dan Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 65 kes berkaitan komunikasi dibawa ke mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sejak 2018 hingga pertengahan bulan ini, manakala 876 kes telah disiasat di bawah seksyen sama tahun ini.

Seksyen 233 akta itu memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

— BERNAMA

Monday , 27 November 2023


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Nafuzi Zain kembali kendali Terengganu FC

BEKAS jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Mohd Nafuzi Mohd Zain atau Nafuzi Zain kembali semula menerajui Terengganu FC...

More Articles Like This