NAMA pelakon popular Datuk Aaron Aziz sudah cukup sinonim dengan penampilannya dalam naskhah filem yang bertemakan cinta.
Dengan pengalamannya yang cukup meluas dalam dunia lakonan, ternyata Aaron diberi peluang untuk mengarahkan sebuah filem cinta berjudul Sayu Yang Syukur.
Aaron berkata, pembabitannya dalam filem tersebut selaku pengarah bermula setelah ditawarkan sendiri oleh Penerbit Eksekutif, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada 2015.
“Pada awalnya saya diberikan peluang untuk berlakon sahaja, namun arwah kemudiannya tawarkan pula untuk saya mengarahkan filem ini.
“Saya merasakan ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan memandangkan saya tak pernah mengarahkan sebuah filem cinta,” ujarnya.
Diterbitkan syarikat Nusanbakti Production, Sayu Yang Syukur merupakan filem kedua arahan Aaron setelah Romeo Kota.
Sayu Yang Syukur merupakan sebuah filem konflik percintaan penuh dramatik yang turut menampilkan Aaron selaku pelakon, selain Nora Danish dan Arja Lee sebagai teraju utama.
Jelas Aaron, apa yang membuatkan dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan apabila dia diberi kebebasan oleh pihak penerbit, terutama dari segi pemilihan pelakon dan olahan skrip.
Menurutnya lagi, dia juga menggunakan pengalaman yang ada ketika berlakon di bawah arahan pengarah-pengarah hebat seperti Kabir Bhatia, Osman Ali dan Erma Fatima.
“Untuk skrip, saya membuat 90 peratus olahan berbanding skrip asal dengan memasukkan idea-idea baharu agar filem ini mempunyai kelainan dengan filem cinta yang lain.
“Begitu juga dengan pemilihan pelakon apabila saya diberi sepenuh kepercayaan untuk memilih barisan pelakon yang saya inginkan,” jelasnya.
Tambah Aaron, untuk mengarahkan sebuah cerita cinta bukanlah sesuatu kerja mudah memandangkan genre sebegitu lebih bermain kepada emosi dan perasaan yang mendalam.
Jelasnya lagi, ia turut memberikan cabaran tersendiri buat dirinya apabila bertindak selaku pengarah dan pelakon pada masa yang sama.
“Apabila menjadi pengarah, banyak benda yang saya perlu jaga. Mana nak berlakon… jaga dialog, jaga lokasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Memang ia sesuatu yang agak mencabar.
“Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat kru produksi yang banyak membantu sepanjang penggambaran serta pelakon yang memberikan komitmen yang sangat baik untuk menjayakan filem ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Aaron meluahkan keyakinan Sayu Yang Syukur ini akan diterima baik penonton, terutama sekali peminat-peminat filem bercorak cinta.
Jelasnya, penonton juga akan berpeluang melihat sisi lakonannya yang berbeza dalam filem arahannya itu nanti.
“Setakat ini saya lihat tak banyak filem-filem cinta yang dihasilkan. Penonton sekarang lebih banyak disajikan dengan naskhah bergenre aksi dan komedi.
“Jadi, menerusi filem ini akan ‘mengubat’ kerinduan mereka yang mahukan filem cinta yang menyentuh perasaan dan boleh membuatkan air mata mengalir ketika menonton,” ujarnya.
Sementara itu, Saiful Azmi Jamsari selaku penerbit berkata, pihaknya bersetuju mengambil Aaron selaku pengarah kerana yakin dengan bakat, kemampuan serta pengalaman yang dimiliki pelakon berkenaan sepanjang bergelar seorang pelakon.
Ujarnya, sepanjang penggambaran pihaknya melihat kesungguhan serta kerja keras yang ditunjukkan Aaron, meskipun belum mempunyai banyak pengalaman selaku pengarah.
“Memberikan peluang kepada pengarah baharu seperti Aaron Aziz penting kerana mereka membawa semangat, idea segar dan pandangan yang berbeza dalam industri yang mungkin boleh menjadi stereotaip.
“Ketika memilihnya dahulu memang dia agak baharu untuk duduk di kerusi pengarah, tetapi kami yakin dengan bakat dan potensinya untuk berkembang dengan dibantu pasukan produksi yang dedikasi,” jelasnya.
Sementara itu, Azmi berkata filem terbitan Nusanbakti itu juga mempunyai beberapa kelainan yang membezakannya berbanding filem cinta yang lain.
Ujarnya, dengan menggabungkan elemen-elemen artistik yang menakjubkan dengan tema cinta yang universal, pihaknya mahu mencipta sebuah karya seni yang memukau dan inspiratif serta dapat menyentuh hati penonton dengan menggerakkan mesej cinta, kebaikan dan keikhlasan.
“Sayu Yang Syukur dihasilkan kerana ia adalah sebuah filem naskhah cinta yang merentasi sempadan kasih dan keindahan.
“Kami telah memilih untuk mengeksplorasi elemen-elemen konflik kerjaya, hubungan dalam dilema, cinta dan benci, serta anggapan dan tanggapan untuk mencipta sebuah naratif yang lebih mendalam dan multi dimensional,” jelasnya.
Ujarnya lagi, selain tampil dengan sebuah naskhah yang menarik, Sayu Yang Syukur turut diindahkan lagi dengan dua lagu runut bunyi atau OST iaitu Menanti Sinar nyanyian Siti Nordiana dan Bermalam Tanpa Bintang yang dipersembahkan oleh Tomok.
“Apa yang paling istimewa untuk kedua-dua lagu OST ini apabila ia merupakan sepenuhnya hasil ciptaan Mohd Atlas,” ujarnya.
Filem Sayu Yang Syukur akan menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia mulai 28 Disember ini.