Keindahan dan damai yang cukup sukar untuk diungkapkan. Rumput segar menghijau dengan kabus pagi, sungai Ulu Tembeling di Kampung Gusai pada pukul 7.00 pagi ketika itu umpama berada dalam sebuah kisah dongeng anak raja.

Dengan pemandangan barisan kerbau bersusun di sungai bermandi pagi, sesekali lalu sampan memecah hening pagi, si bapa membawa tiga anak kecil memeriksa pukat yang ditambat di tepi sungai.

@majalahwanita

Cantiknya Kampung Gusai, korang kena pergi Trip Jeram Perahu Kampung Gusai. Confirm puas hati @Taman Negara Pahang #wanita #utusantv #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #tamannegara #jeramperahu #kampunggusai

♬ Endless Love Autumn in My Heart – Efrydo Sihotang

Kampung Gusai sebelum ini terasing, tiada jalan raya yang menghubungkan penduduk dengan dunia luar. Segalanya melalui jalan air, namun dengan laluan yang cukup terhad.

Dan setahun lalu, laluan Sungai Ulu Tembeling dibuka oleh Taman Negara kepada pengunjung yang kini menjadi akses kepada pintu gerbang sebuah perkampungan ‘dara’.

Populasi penduduk hanya sekitar 200 orang, boleh dikatakan semuanya mempunyai pertalian darah.

Rumput segar menghijau dan tersusun cantik sepanjang sungai dengan dihiasi barisan kerbau seolah-olah berada di New Zealand, dengan udara yang cukup bersih. Suasana paginya cukup indah dengan kabus menyelimuti hutan dan suara burung dan unggas bersahutan.

@majalahwanita

Hari ni min nak kongsi cara masak Gulai Asam Rong biji getah cara Kampung Gusai. Yang penting kena pedas. Pucuk paku tu baru je petik dekat seberang sungai #wanita #utusantv #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #tamannegara #jeramperahu #kampunggusai #asamrong

♬ original sound – Majalah Wanita – Majalah Wanita

Kedatangan kami ke Kampung Gusai disambut dengan Ikan Kenerak yang ditangkap sendiri penduduk kampung. Apa yang menarik, ikan ini disempurnakan dengan masakan Asam Rong, satu menu tradisi penduduk Pahang di mana bahan asasnya menggunakan biji getah, cili padi, kunyit hidup dan daun kesing.

Malah kata mereka, majoriti masakan di sana banyak menggunakan ikan Sungai seperti patin, baung dan toman sementelah sukar mendapatkan ikan laut. Jika ke pasar di pekan Jerantut, perjalanan mengambil masa hampir sehari.

@majalahwanita

Memang seronok ikut Trip Jeram Perahu Kampung Gusai, dekat sini banyak makan ikan sungai fresh. Memang sedap. #wanita #utusantv #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #tamannegara #jeramperahu #kampunggusai

♬ original sound – Majalah Wanita – Majalah Wanita

Bukit Awan, Kampung Pagi

Dalam perjalanan ke Kampung Gusai, kami sempat melewati panorama Bukit Awan yang menakjubkan dengan pemandangan Taman Negara dan Gunung Tahan. Jika bernasib baik, akan terhidang karpet awan di depan mata. Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Kampung Bantal

Kami meletakkan kereta di Kampung Bantal dan menaiki bot untuk ke Kampung Gusai. Perjalanan mengambil masa hampir 30 minit melalui jalan sungai.

Petik Pucuk Paku

Aktiviti yang cukup mengimbau kenangan. Usai tiba di Kampung Gusai, kami bersama penduduk kampung menyeberang sungai untuk memetik pucuk paku untuk dijadikan menu makan malam.

Di sini kebanyakan ulam dan sayuran ditanam sendiri penduduk kampung. Malah pucuk paku yang tumbuh di seberang sungai juga tumbuh meliar dan cukup subur. Hasil aktiviti memetik tidak sampai 30 minit, hampir tiga cekak berjaya diperolehi.

Night Cruise

Tiba malam, kami menaiki bot bagi menikmati keindahan panorama Sungai Sephia. Andai cuaca cukup cerah, kelihatan ribuan butir bintang dilangit berkerlipan.

Banyak hidupan liar seperti gajah yang hanya aktif ditengah malam dan inilah masanya melihat sendiri di depan mata. Malah kami dibawa melihat keajaiban hutan yang bercahaya di sebalik rimbunan buluh iaitu cendawan bercahaya atau bioluminescent.

Jeram Perahu Kampung Gusai

Apa yang menarik, penduduk kampung turut memasak dan menyediakan bekal piknik untuk ke Jeram Perahu. Baung tempoyak, sambal hitam, ikan bakar dengan maman, ikan Sungai goreng dan ulam.

Aktiviti River Cruise Sungai Sephia – Kampung Gusai ke Jeram Perahu mengambil masa hampir sejam jam menaiki bot laju. Dan pengunjung diwajibkan mengambil permit dari Taman Negara kerana Jeram Perahu berada dalam kawasan Taman Negara.

Sungai Ulu Tembeling dihiasi hutan tebal disekelilingnya seolah-olah berada di Sungai Amazon. Semakin dalam menyelusuri Sungai, semakin tebal dan gah hutan Taman Negara.

Apa yang boleh dilakukan di Jeram Perahu? Apa lagi, mandi sungai sambil berpiknik lah. Jika berani, gunakan pelampung atau jaket keselamatan dan lompat dari atas Jeram. Biarkan diri dibawa arus sungai. Pakej berkhemah di tepi sungai juga disediakan.

@majalahwanita

Ni permainan orang Kampung Gusai, selamba je dorang terjun dekat Jeram Perahu. Boleh juga guna pelampung untuk main water tubing dekat sini #wanita #utusantv #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #tamannegara #jeramperahu #kampunggusai

♬ original sound – Majalah Wanita – Majalah Wanita

Lata Raok

Selepas Jeram Perahu, kami dibawa ke Lata Raok, sebuah jeram terpencil di sebalik hutan tebal. Kawasannya cukup tenang dan ditutupi kanopi hutan.

Pengunjung juga boleh mula belayar menggunakan pelampung dari Lata Raok untuk pulang ke Kampung Gusai sambil menikmati keindahan alam.

Pakej Taman Negara Jeram Perahu Kampung Gusai ini turut menyediakan lima kali makan (lauk kampung), night river safari, night jungle walk, air terjun dan river tubing. Malah aktiviti memancing juga boleh dilakukan (tidak termasuk lesen memancing).

Aktiviti tiga hari dua malam ini berharga RM335.00 seorang dan boleh hubungi Cik Abdullah 016-2477914 / 017-9577914 untuk maklumat lanjut.