Kenal pasti jika anda salah seorang penghidap penyakit bawaan media sosial!
Si Super Peka
Habit: Anda mengeset telefon untuk menerima masuk setiap update. Bagai setiap satu khabar yang bertebar di udara pun tidak akan dilepaskan!
Simptom: Setiap kali telefon berbunyi – beep… buzz… cipp… menandakan rakan-rakan sosial membalas tweet, berkongsi sesuatu atau menempel komen, anda segera mengalih fokus walaupun sedang melakukan sesuatu yang lebih penting.
Si Social Guru
Habit: Mendakwa diri pakar media sosial hingga meletakkan tittle ‘sosial guru’ pada kartu nama anda.
Simptom: Tanpa sedar individu yang terlalu ketagih aplikasi media sosial akan mengangkat diri sebagai pakar, padahal semua orang boleh menjadi pakar media sosial hari ini, tiada perkara yang luar biasa.
Si Pembenci Vowel
Habit: Membuang huruf vowel sebanyak mungkin asalkan singkatan perkataan dapat difahami demi menjimatkan kapasiti 140 karakter apabila bertweet.
Simptom: Bukan sahaja tatabahasa dalam media sosial menjadi lintang pukang malah habit ejaan sering salah menjejaskan apabila menulis secara formal seperti laporan kerja atau tugasan kuliah.

Si Pak Angguk
Habit: Pantang melihat rakan-rakan mengepos sesuatu, jari segera menekan klik pada paparan ‘like’ sebagai komen ringkas.
Simptom: Rasa berat walaupun untuk menaip dua perkataan ketika mahu memberikan komen.
Si Penunggu Setia
Habit: Tidak renggang menyemak ‘like’, bertweet, mengup-date status, setiap dua minit walau tiada khabar baru melayang masuk, tidak kira lokasi, tidak kira situas.
Simptom: Sepanjang masa telefon di tangan, tidak dapat berhenti memicit kekunci qwert walaupun jari berasa sakit.
Ketagihan terhadap media sosial masih belum dipandang serius. Penagih media sosial kebiasaannya tidak menyedari mereka mengalami gangguan patologi kerana mereka sendiri tidak dapat mengenal pasti sebab dan punca mereka boleh jadi ketagih.
Aisyah seorang pelajar IPTS berkata, “Saya tidak tahu mengapa, walaupun sedang dalam kuliah, saya tidak henti menyemak status di media sosial walaupun tiada update yang masuk. Bila tiba waktu rakan-rakan aktif di laman sosial terutama pada waktu study di tengah malam, saya sanggup tidak tidur semalaman kerana ketagih membalas setiap komen yang muncul!”
Namun Aisyah tidak merasakan dirinya bermasalah dan enggan berjumpa dengan pakar psikologi. Walaupun merasai akibat yang sangat memberi impak kepada kehidupan seharian seperti hilang fokus, kecelaruan minda, tidak cukup tidur dan sebagainya.


