Jose Mujica, lelaki yang menyumbangkan 90 peratus gajinya kepada rakyat sehingga digelar ‘presiden termiskin dunia’

Dari Penulis

Pada 1 Mac 2010, Jose Mujica Alberto Cordano telah diberi mandat untuk memegang tampuk pimpinan sebagai presiden ke-40 Uruguay. Beliau dipilih oleh rakyat kerana sifatnya yang mesra rakyat dan seorang yang dermawan. Ekoran sifatnya itu, beliau bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada rakyatnya bahkan masyarakat dunia turut mengagumi tingkah lakunya.

Sekali pandang siapa sangka individu seperti warga emas yang hidup bersama isterinya di sebuah rumah ladang yang buruk dengan sebuah kereta Volkswagen Beetle yang berharga tidak sampai tujuh ribu merupakan seorang presiden negara.

Jose Mujica, bekas presiden Uruguay yang dikenali sebagai seorang dermawan.

Mujica dilahirkan pada 20 Mei 1935 di Montevideo, Uruguay. Ketika kecil, dia banyak mengabiskan masa dengan membantu ayahnya di ladang. Selepas ayahnya meninggal dunia ketika Mujica berusia lima tahun, ibunya menjadi ketua keluarga. Mereka hidup sukar dan serba kekurangan.

Mujica mula berjinak dalam politik pada pertengahan tahun 1960-an apabila dia menyertai gerakan Parti Nasional. Dia turut sama berjuang dengan gerila Tupamaros, sebuah kumpulan bersenjata yang dikenali dengan jenayah rompakan dan penculikan.

Namun, hasil yang mereka dapat dengan kegiatan jenayah itu kemudian diagihkan semula kepada orang-orang miskin. Kerana itu Tupamaros amat disanjung oleh golongan bawahan dan digelar sebagai ‘Robin Hood Uruguay’.

Mujica kerap ditangkap dan dipenjarakan beberapa kali, Namun, perjuangannya bersama gerila itu terhenti apabila dia ditembak polis dan disumbat ke dalam penjara khas selama 13 tahun.

Semasa muda, Mujica sering ditangkap dan dipenjara kerana gerakan radikalnya.

Selepas dibebaskan pada tahun 1985, Mujica bersama beberapa rakan yang juga bekas ahli Tupamaros menubuhkan sebuah parti politik baru dikenali sebagai Gerakan Penyertaan Popular (The Movement of Popular Participation – MMP). Bergabung dengan pakatan parti Broad Front, Mujica berjaya menjadi senator pada tahun 1999.

Berkat apa yang diperjuangkannya, partinya terus mendapat undian di kalangan rakyat sehingga menjadi parti terbesar dalam pakatan. Pada tahun 2004, Mujica terpilih menjadi senat. Pada pilihanraya umum Uruguay tahun 2009, Mujica menang dan dipilih menjadi presiden Uruguay ke-40.

Tugas Mujica sebagai presiden bermula pada 1 Mac 2010. Sejak mula bertugas sebagai ketua negara, keperibadian Mujica mula mendapat perhatian kerana berbeza dengan penampilan pemimpin-pemimpin negara lain.

Lelaki yang berusia lewat 70-an itu lebih rela memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang milik isterinya di Montevideo, ibu negara Uruguay. Walaupun kerajaan telah menyediakan sebuah istana presiden yang serba-serbi mewah dan selesa buatnya, namun beliau memilih untuk tinggal di rumah ladang milik isterinya itu.

Kata Mujica, beliau lebih selesa tinggal di rumah ladang itu kerana dikelilingi tanaman jagung dan bunga-bungaan yang diusahakan sendiri. Hidupnya seperti orang kampung. Menggunakan perigi sebagai sumber air. Di belakang rumahnya pula tersidai kain di ampaian. Perkara itu langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang presiden.

Disebabkan itu, beliau digelar sebagai ‘presiden termiskin dunia’, disebabkan sifat pemurahnya yang sanggup mendermakan 90 peratus daripada gaji bulanannya kepada golongan rakyat miskin.

Walau disediakan rumah mewah sebagai presiden, Mujica tetap memilih tinggal di rumahnya sendiri bersama isteri ditemani anjing peliharaan mereka.
Gaya hidup Mujica seperti orang biasa walaupun bergelar presiden.

Jika pemimpin-pemimpin yang lain diawasi pergerakan mereka oleh pasukan elit, namun tidak bagi Mujica. Beliau hanya diawasi oleh dua orang anggota polis dan seekor anjing peliharaannya yang diberi nama Manuela. Hanya anjing kesayangannya inilah yang selalu menemani Mujica selain isterinya.

Malah, Mujica juga menolak untuk menggunakan kereta khas kerajaan, sebaliknya hanya mengunakan keretanya sendiri, Volkswagen Beetle yang dibelinya pada tahun 1987.

Jika diikutkan, sebagai pemimpin negara beliau patut menerima segala imbuhan seperti rumah besar, kereta mewah dan gaji yang besar. Dengan harta-harta tersebut, beliau sepatutnya mampu hidup mewah dan kaya raya. Namun begitu disebabkan sikap prihatinnya, Mujica lebih rela membantu rakyat yang miskin daripada bersuka ria dengan gajinya yang lumayan.

Walau disediakan kereta mewah, Mujica tetap memilih menggunakan keretanya sendiri, Volkswagen yang dibelinya pada tahun 1987.

Pada tahun 2010, ketika asetnya diumumkan, harta kekayaannya hanya berjumlah sekitar RM3,014. Selepas dua tahun memegang tampuk kepimpinan negara Uruguay, kekayaan Mujica memang bertambah. Itu pun setelah beliau menambah aset milik isterinya seperti tanah, beberapa buah traktor dan sebuah rumah. Ketika itu kekayaannya telah mencapai RM 648,117. Jumlah tersebut masih dianggap miskin bagi seorang yang bertaraf presiden.

Kata Mujica, beliau tidak berasa miskin dengan gaji yang hanya tinggal 10 peratus sebulan (tidak sampai tiga ribu) untuk kegunaannya. Baginya, gaji sebanyak itu sudah pun cukup untuknya meneruskan kehidupan. Bagi beliau, sebenarnya orang miskin adalah mereka yang bekerja hanya untuk menjaga gaya hidup mewahnya dan selalu ingin lebih dalam kehidupannya.

Hampir seluruh hidupnya dihabiskan dengan cara yang sederhana. Ditambah dengan dirinya seorang vegetarian, menyebabkan dia memilih menanam sendiri sayur-sayuran di kebunnya. Di samping dapat mengeluarkan peluh beliau juga dapat menjimatkan kos sara hidupnya.

Daripada seorang yang terlibat dalam gerila kemudian menjadi presiden, sifat Mujica tetap sama apabila suka membantu golongan orang-orang miskin.

Aktivis kemanusiaan antarabangsa mengatakan corak kepimpinan Mujica amat telus. Beliau mengimplikasikan kehidupannya yang sederhana dengan cara yang sangat mudah. Melalui cara kehidupan yang serba sederhana, suka berbakti kepada alam dan tanpa mewujudkan jurang darjat dalam masyarakat walaupun bergelar pemimpin negara, beliau menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada rakyatnya.

Sebenarnya, kehidupan presiden ke-40 Uruguay ini banyak dipengaruhi oleh sejarah perjalanan hidupnya yang silam. Berlatarkan kehidupan keluarga yang miskin telah mengajarnya erti kehidupan. Keluarga ibunnya merupakan seorang pendatang miskin dari Piemonte, Itali. Bapanya pula lahir dari keluarga petani kecil-kecilan. Pada tahun 1940, bapanya diisytiharkan muflis sebelum ia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jose Mujica memegang jawatan presiden sehingga 1 Mac 2015. Meskipun sudah tidak mentadbir negara, namun rakyat Uruguay terutama golongan bawahan tetap tidak melupakan jasa Mujica yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat miskin.

Mujica kini masih kekal dengan gaya hidupnya yang serba sederhana,
Mujica dan isteri di hadapan rumah mereka.
Walau sudah tidak bergelar presiden, rakyat tetap mengingati jasa Mujica sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang hidupnya serba sederhana sehingga dikenali dengan julukan presiden termiskin dunia.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This