BELUM pun menjengah pawagam, filem genre aksi Jiwa 8 Belas terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd bakal muncul dengan sekuelnya yang masih dalam perancangan lagi.
Penerbit dan pengarah filem, S Baldev Singh, 61, berkata, pihaknya yakin menghasilkan sekuel kerana percaya naskhah itu akan mendapat maklum balas positif daripada penonton.
“Kami sudah buat yang terbaik dan barisan pelakon memberi komitmen terbaik merealisasikan filem ini.
“Selebihnya, saya serah kepada penonton untuk menilainya dan juga pada Tuhan. Kalau sudah ada bajet, bila-bila masa pun kami boleh mulakan projek sekuel filem ini,” katanya pada URTV.

Mengenai filem Jiwa 8 Belas lagi, kata S Baldev, ia mempunyai kekuatan dari segi jalan cerita dan mesej untuk disampaikan kepada penonton.
Katanya, filem itu memaparkan kisah anak luar nikah dan sebagai ibu bapa, kita perlu mengawal anak remaja yang berusia 18 tahun daripada terjebak dalam gejala sosial.
“Jiwa 8 Belas mengetengahkan barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah (Fatien), Shah Hazvee (Ishq) dan Izuan Razali (Mat Kitam) sebagai watak utama.
“Pemilihan barisan pelakon menerusi proses uji bakat dan ketika itu, nama mereka juga belum dikenali ramai,” katanya.
Mengenai penggambaran filem itu, kata S Baldev, ia menjalani penggambaran pada 2020.
Katanya, dia menerbitkan filem dengan duitnya sendiri dengan bajet mencecah RM1 juta tanpa mendapat dana daripada mana-mana pihak.
“Sebagai pengarah berpengalaman, saya tidak berdepan cabaran bekerjasama dengan pelakon baharu kerana apa yang penting, mereka boleh dibentuk dan bekerja keras untuk watak masing-masing.
“Saya berpuas hati dengan prestasi lakonan Sophia, Shah Hazvee dan Izuan kerana berjaya menjiwai karakter dengan baik,” katanya.
Jiwa 8 Belas turut menampilkan barisan pelakon seperti Ikhram Juhari (Edd), Kanda Khairul (Kanda), Akim Nordin (Kucai), Faha Azhar (Botak), A Galak (Kudin), Datuk Fauziah Nawi (emak) dan Datuk Jalaluddin Hassan (Atok Li).
Ia mengisahkan pasangan kekasih melalui pengalaman pahit apabila mereka diculik oleh sekumpulan samseng yang memperdagangkan wanita ke Thailand.
Filem Jiwa 8 Belas mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

