PELAKON Alya Iman mengakui sudah ‘kebal’ dengan pelbagai kecaman yang dilemparkan netizen terhadap dirinya.
Malah, kata Alya atau nama penuhnya Nur Alya Iman Azmil,23, menerusi lakonan terbaharunya bersama Shukri Yahaya dalam drama Layang-Layang Perkahwinan, turut terkena tempias sama apabila memaparkan babak ‘soft porn’.
Menjelaskan hal sebenar mengenai adegan tersebut, kata Alya, sebagai seorang pelakon, dia sudah bijak untuk menjaga batas agar tidak nampak keterlaluan.
“Sebelum memulakan penggambaran, saya tanya kepada pengarah, betul ke nak buat babak tu. Pengarah kata, babak tersebut memang ada dalam skrip.
“Jadi, sebagai pelakon saya hanya jalankan tanggungjawab dan mengikut arahan pengarah.
“Semua pelakon dan kru di set penggmbaran, tahu apa yang berlaku di belakang kamera. Ia tidaklah sama seperti apa yang netizen di luar sana sangkakan,” katanya kepada URTV.
Dari sudut positif, Alya yang memegang watak sebagai Tsuraya Lin gembira kerana lakonannya mendapat perhatian penonton.
“Saya akui memang takut kena kecam sampai saya takut nak buka aplikasi X (Twitter) sebab risau kena kutuk.
“Tapi bila difikirkan semula, mereka kecam sebab watak yang saya lakonkan tu.
“Jadi, kiranya watak yang saya bawakan itu berjaya disampaikan dengan baik. Ia tanda yang bagus bagi kerjaya seni saya,” jelasnya.
Alya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Layang-Layang Perkahwinan di ibu negara, semalam.
Sementara itu, Alya yang merupakan anak kepada pelakon senior Allahyarham Azmil Mustapha tidak kisah sekiranya ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai ‘penyondol’ atau orang ketiga dalam sesebuah perkahwinan.
“Saya tak hiraukan apa orang nak labelkan diri saya ni. Asalkan keluarga, pengurus dan kru di set penggambaran kenal saya ni macam mana, dah cukup.
“Tsuraya Lin tu hanyalah watak yang saya lakonkan dalam Layang-Layang Perkahwinan…tidak di dunia realiti,” jelasnya.
Terdahulu, lakonan Alya bersama Shukri dikritik ramai pihak susulan babak di bilik mandi yang dikatakan agak keterlaluan dan mengandungi adegan separa lucah.
Bagaimanapun, pengarahnya, Eyra Rahman menyangkal dakwaan tersebut dan menjelasnya ia hanyalah babak yang melibatkan dua individu sedang berbual.
Layang-Layang Perkahwinan kini sudah pun mula ditayangkan di slot, Megat Drama di saluran Astro Ria dan Astro Go.
Selain Alya dan Shukri, drama berkenaan turut dibintangi barisan pelakon seperti Keith Foo, Ezzanie Jasni dan Arash Mohamad.