Penyelesaian AmBank

PASUKAN Petugas 1MDB sedang mempertimbang untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahcara pemindahan dana berkaitan 1MDB tanpa menjalankan proses Kenali Pelanggan Anda (KYC) yang betul mengikut prosedur ditetapkan pada ketika itu.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pasukan itu telah mengadakan mesyuarat, semalam bagi membincangkan status terkini pemulangan aset dan perkara lain berhubung pertikaian dengan Goldman Sachs.

Menurut Johari, pihaknya komited dalam menangani isu melibatkan 1MDB dengan telus dan memastikan semua pihak terlibat untuk bertanggungjawab.

“Tahap kerumitan perjanjian penyelesaian memerlukan pemeriksaan menyeluruh dan Pasukan Petugas Khas 1MDB sedang terlibat dengan aktif dalam proses timbang tara bagi memastikan penyelesaian yang adil bagi kepentingan terbaik rakyat Malaysia.

“Kerajaan mengakui kerumitan dan kerahsiaan berhubung butiran penyelesaian itu, namun menyasar untuk memberikan ketelusan serta kemas kini mengenai situasi semasa kepada umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai pada Ogos 2020 antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan penyedia perkhidmatan kewangan itu membayar tunai AS$2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion kepada kerajaan.

Baca artikel lain: Perbicaraan kes dana 1MDB: Pendakwaan berhasrat panggil Jasmine Loo

Mengulas lanjut, Johari berkata, perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia gagal mendapatkan penyelesaian yang adil dan mencukupi daripada Goldman Sachs.

“Buat makluman, 1MDB membayar yuran penasihat yang amat tinggi sebanyak AS$606 juta kepada Goldman Sachs bagi menasihatkan penerbitan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion,” katanya.

Pembabitan langsung Goldman Sachs dalam skandal 1MDB menyebabkan ia didenda oleh beberapa pengawal selia, termasuk Jabatan Kehakiman (DOJ), sebanyak AS$2.9 bilion.

Jumlah denda yang dibayar oleh Goldman Sachs mengatasi pembayaran tunai yang dibuat kepada Kerajaan Malaysia (AS$2.5 bilion), walaupun negara ini menanggung kesan terbesar daripada skandal 1MBD kerana perlu membayar AS$6.5 bilion (jumlah prinsipal) ditambah faedah kira-kira AS$3.2 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk menyelesaikan hutang 1MDB.

Johari berkata, pertikaian sekarang adalah tertumpu kepada cubaan Goldman Sachs untuk mendapatkan timbal balas ke atas denda yang dikenakan terhadap AmBank (RM2.8 bilion) dan perjanjian penyelesaian bersama IPIC (AS$1.8 bilion) terhadap jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion.

Jelasnya, Goldman Sachs berpendapat bahawa kewajipannya di bawah jaminan pemulangan aset telah terlepas melalui timbal balas itu.

“Bagaimanapun, kerajaan mempertikaikannya, dan menegaskan bahawa denda dikenakan ke atas AmBank dan penyelesaian bersama IPIC tidak merangkumi skop jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion.

“Pasukan Petugas 1MDB sedang menyemak sama ada perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia pada waktu itu gagal melaksanakan tugas fidusiari mereka atau cuai dalam perjanjian penyelesaian,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram