Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, semalam. GAMBAR: Facebook Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas-bekas Perdana Menteri sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama lima tahun ini.

Warkah perutusan penghargaan itu disampaikan Al-Sultan Abdullah kepada Anwar semasa mesyuarat pra-Kabinet, semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, warkah tersebut telah dibacakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Menurut Fahmi, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan ucap terima kasih kepada anggota Kabinet dan bekas-bekas menteri yang telah berkhidmat sepanjang tempoh pemerintahan.

Pada masa sama, Fahmi memberitahu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan nasihat dengan memetik sepotong ayat dinukilkan Imam Al-Ghazali dalam warkah tersebut.

“Jemaah Menteri telah menerima maklum daripada Perdana Menteri bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk menyampaikan warkah perutusan kepada Jemaah Menteri hari ini.

“Tuanku juga menitahkan nasihat dan peringatan iaitu sepotong ayat daripada Imam Al-Ghazali yang berbunyi: ‘sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya. Kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan’.

Baca artikel lain: Agong terima menghadap PM untuk mesyuarat pra-kabinet terakhir

“Itu peringatan yang telah dititahkan Tuanku kepada Jemaah Menteri agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikiran tentang kedudukan atau harta benda peribadi,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri telah diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

Sesi mesyuarat itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ini kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan berakhir 30 Januari ini.

Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkaitan urusan dan isu berkaitan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram