DALAM bidang hubungan antarabangsa, Malaysia menyaksikan satu tempoh diplomasi diraja yang signifikan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sejak pelantikan Seri Paduka pada 31 Januari 2019, Al-Sultan Abdullah memainkan peranan penting dalam membawa nama Malaysia di arena global.
Walaupun peranan institusi Raja Berperlembagaan dalam urusan luar Malaysia adalah terhad, namun hubungan erat Seri Paduka dengan kerabat diraja di seluruh dunia dan kunjungan baginda membantu memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara berkenaan.
Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berangkat ke luar negara bagi mengadakan lawatan rasmi dan khas sebanyak 24 kali sepanjang lima tahun Seri Paduka memegang jawatan tertinggi negara, antaranya ke Arab Saudi, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Jordan, Monaco, Qatar, Singapura dan United Kingdom (UK).
Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan lebih besar dalam mewakili negara di arena antarabangsa.
“Mereka (kerajaan) juga patut mempertimbangkan untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakili negara pada peringkat antarabangsa di acara-acara tertentu.
“Beta bertitah begitu kerana ini mungkin boleh meningkatkan kaliber Yang di-Pertuan Agong di peringkat antarabangsa, supaya lebih dihormati,” titah Al-Sultan Abdullah dalam wawancara bersama media sempena berakhirnya tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan.
Menurut Al-Sultan Abdullah, mesyuarat yang boleh diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk yang berkaitan dengan perubahan iklim dan isu kemanusiaan manakala perkara yang melibatkan pentadbiran seperti ekonomi dan keselamatan boleh diwakili oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri Kabinet.
“Ini akan menunjukkan imej baik bagi negara, selain hanya mewakili negara dalam acara-acara upacara seperti kemangkatan dan pemahkotaan. Ini adalah acara-acara yang sangat formal. Beta fikir Raja-Raja Melayu yang ada hari ini cukup terpelajar, berpendidikan tinggi,” titah baginda.
Walaupun peranan Al-Sultan Abdullah sebagai Raja Berperlembagaan dalam urusan diplomasi adalah terhad, terutamanya dalam isu-isu global, cendekiawan terkemuka Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid berkata Seri Paduka telah memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa.
Baca artikel lain: ‘Saya akan terus membunuh bola sepak tanah air’ – TMJ
“Tidak dapat dinafikan, Seri Paduka tidak dapat memainkan peranan lebih besar di luar tugas-tugas perlembagaannya. Baginda tidak boleh bertitah dalam banyak perkara, selain daripada merapatkan atau lebih tepat lagi bersahabat dengan raja-raja lain dan baginda telah melaksanakannya,” katanya.
Ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) itu menyentuh mengenai hubungan rapat Al-Sultan Abdullah dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang dapat dilihat melalui beberapa siri lawatan Seri Paduka ke UAE.
Al-Sultan Abdullah berangkat ke UAE sebanyak tujuh kali sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong, terdiri daripada lawatan rasmi dan khas, termasuk bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan yang mangkat pada 13 Mei 2022.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai dari 30 Nov hingga 4 Dis 2023.
Penyertaan aktif berkenaan mencerminkan kesungguhan Seri Paduka berdua untuk mewakili Malaysia di platform antarabangsa dalam menangani isu-isu global yang kritikal, mempamerkan kehadiran dan pengaruh Malaysia di pentas global.
Walaupun aktif di peringkat antarabangsa, Al-Sultan Abdullah tetap dengan keperibadian mesra rakyat dan menunjukkan pendekatan berpaksikan rakyat bagi memupuk ikatan yang kukuh antara rakyat jelata dengan istana.
Secara keseluruhannya, Al-Sultan Abdullah telah memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan kehadiran dan diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa semasa pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong, walaupun terdapat kekangan dalam tanggungjawab perlembagaan dan mengekalkan pendekatan mesra rakyat.
Peranan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berakhir pada 30 Jan dan bakal digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 31 Jan untuk tempoh lima tahun.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram