KEBERANGKATAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah dan Sarawak ketika Kembara Kenali Borneo pada September tahun lepas, masih menjadi bualan rakyat di negeri berkenaan.
Keramahan dan kasih sayang ditunjukkan Seri Paduka berdua serta paduka anakanda yang sanggup mengetepikan hamparan permaidani untuk menyantuni rakyat sehingga lewat malam tanpa menghiraukan penat, akan diingati mereka ke akhir hayat.
Bagi Vella Lamsin, 44, dari Penampang, Al-Sultan Abdullah disifatkan sebagai “satu dalam sejuta” kerana baginda satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang sudi mencemar duli berangkat ke Sabah bersama kaum kerabat Seri Paduka, semata-mata untuk bertanya khabar rakyat di negeri ini.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata keramahan rombongan Diraja telah memikat hati rakyat Sabah yang akhirnya dapat bertemu lebih dekat, berbanding sebelum ini hanya mampu melihat baginda berdua melalui kaca televisyen dan media sosial.
“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sekeluarga memang ramah dan saya sendiri walaupun tidak berada di tempat keramaian itu, dapat merasakan kemesraan melalui video yang dikongsi menerusi media sosial, terasa sangat teruja.
“Rasa sayu pula hati apabila Al-Sultan Abdullah akan kembali bersemayam di Pahang, harap-harap Seri Paduka masih sudi menjenguk kami selepas ini,” katanya yang turut menzahirkan harapan agar Yang di-Pertuan Agong baharu nanti sudi meneruskan Kembara Kenali Borneo.
Ketua Kampung Kobuni, Inanam, Aji Rumbuton, 65, pula kagum dengan keperibadian Seri Paduka berdua yang tidak lelah melayani pelbagai kerenah rakyat Sabah, walaupun kadangkala dipanggil dengan gelaran yang tidak mengikut protokol seperti “pak cik Agong” dan “Datin Permaisuri”.
Baca artikel lain: Diplomasi diraja tanda penting pemerintahan Al-Sultan Abdullah
Aji berkata perkara itu juga membuktikan kasih sayang Al-Sultan Abdullah kepada rakyat meskipun jauh merentasi Laut China Selatan, sekali gus menepati kata-kata yang sering ditutur Seri Paduka, “Raja dan rakyat berpisah tiada”.
Kembara itu, katanya turut menghapuskan persepsi ramai pihak bahawa rakyat Sarawak dan Sabah selama ini “dianaktirikan” dan membantu menghakis perasaan kewilayahan dan kenegerian antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Bita Chia, 41, seorang guru di sekolah rendah di Kuching, Sarawak pula menyifatkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta paduka anakanda sebagai permata hati rakyat kerana tidak kekok melayan ragam rakyat yang mahu bergambar dengan baginda.
“Selain itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong juga kelihatan sangat selesa dan nyaman sepanjang berada di Kuching. Seri Paduka berdua kelihatan tertarik dengan keindahan, keunikan serta kelainan di Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Kembara Kenali Borneo julung kali diadakan oleh Yang di-Pertuan Agong bermula 3 hingga 13 Sept, menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berpeluang mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap Sabah dan Sarawak khususnya di pedalaman.
Kembara berkenaan bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sematan, Sarawak melibatkan jarak perjalanan lebih 2,100 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Sepanjang kembara itu berlangsung, Al-Sultan Abdullah turut menerima banyak aduan dan surat permohonan daripada penduduk yang belum menikmati keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang baik.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram