Ota Benga, lelaki dari suku Mbuti lahir pada tahun 1883 (ada yang mengatakan tahun 1885) di Congo Free State (hari ini dikenali sebagai Congo). Ota lahir sewaktu zaman negaranya dijajah Belgium. Ketika itu, rakyat Congolese yang menetap di kawasan hutan hidup merana di bawah pemerintaan Raja Leopold II.
Atas arahan raja Belgium itu, ekplorasi dilakukan dengan menjarah sumber asli. Tidak cukup dengan itu, ramai penduduk asal dipaksa untuk menjadi buruh. Sesiapa yang enggan akan dihukum, disiksa bahkan dibunuh. Jutaan suku Congolese mati semasa kawasan ini berada di bawah pemerintahan Raja Leopold II.
Ota lahir dalam zaman yang sukar. Hidupnya sentiasa berpindah randah dengan mengharapkan rezeki daripada hasil hutan. Seperti kelaziman suku Mbuti yang berkahwin awal, begitu juga dengan Ota. Beliau berkahwin dalam usia muda dan dikurniakan dua orang anak.
Suatu hari sewaktu keluar berburu, keluarga Ota telah diserang askar kerajaan Belgium yang menyebabkan isteri anak-anaknya terkorban. Hanya Ota yang terselamat dalam serangan itu.

Hidup Ota berubah. Hanya tinggal dia seorang meneruskan kelangsungan hidup di dalam hutan. Sewaktu merayau di dalam hutan sendirian, nasib Ota bertambah malang apabila terserempak dengan sekumpulan pedagang manusia.
Ota ditangkap dan dibawa keluar dari hutan yang menjadi tempat lahirnya. Dia dipaksa menjadi buruh pertanian di sebuah kampung. Nasib malang Ota belum berakhir.
Dijadikan Bahan Pameran
Samuel Verner, lelaki dari Amerika telah melihat Ota di kampung tersebut. Ketika itu, Samuel sedang mencari bahan pameran yang sesuai untuk acara St. Louis World’s Fair yang berkisar tentang evolusi budaya. Tujuan pameran itu untuk menunjukkan kepada masyarakat Amerika moden tentang kehidupan orang primitif.
Sebaik melihat Ota, Samuel sudah tertarik dengannya. Tubuh Ota yang kerdil hanya setinggi 4 kaki 11 inci dengan gigi tajam kerana diasah (tradisi puak Mbuti) menjadikan Ota dilihat sebagai bahan pameran yang mampu menarik perhatian.
Samuel terus membeli Ota daripada tuannya dengan harga satu kati garam dan beberapa helai kain. Bukan hanya Ota, bahkan beberapa orang suku asli yang sama turut dibeli untuk dijadikan bahan pameran.
Pada tahun 1904, mereka dibawa ke St.Louis, Missouri dan diletakkan di dalam replika hutan yang dibina khas mengikut ciri-ciri tempat tinggal asal suku asli Congolese. Ota dan rakan-rakannya bebas melakukan apa saja dalam kurungan tersebut.
Tanpa disangka, pameran yang digelar ‘manusia kuno’ itu mendapat sambutan. Ramai orang datang kerana tertarik untuk melihat kehidupan sekumpulan manusia primitif. Ota dan rakan-rakan dijadikan tatapan umum, manakala Samuel mendapat keuntungan.


Berkahwin lagi
Walaupun dirinya dipergunakan untuk mengaut keuntungan, namun Ota mempunyai hubungan yang baik dengan Samuel yang kemudian membawa Ota pulang semula ke Congo untuk bekerjamasa bagi meneroka kawasan baru.
Sekembalinya ke tanah kelahirannya, Ota bertemu jodoh kali kedua. Isterinya adalah wanita dari suku Batwa. Namun, perkahwinan itu tidak kekal lama apabila isterinya mati kerana dipatuk ular.
Ota kembali hidup seorang diri, namun hubungannya dengan Samuel masih baik. Apabila Samuel mahu kembali semula ke Amerika, Ota membuat keputusan untuk mengikutnya meninggalkan tanah kelahirannya.
Tidak banyak yang boleh dilakukan Samuel untuk lelaki Congo ini. Awalnya, Ota dijadikan bahan pameran di American Museum of National History. Namun, tidak lama apabila pihak muzium menamatkan khidmatnya kerana caj tinggi yang dikenakan oleh Samuel.
Ota kemudian diletakkan di Zoo Bronx di New York. Sebagai pekerja am, Ota bertugas menyelenggara kurungan haiwan. Kebanyakan tugas itu dilakukan di hadapan pengunjung. Secara tidak langsung ia telah mempopularkan Ota apabila kelibatnya menjadi tarikan ramai.
Mengambil peluang tersebut, pihak zoo telah menjadikan Ota sebagai tarikan pengunjung dengan meletakkannya di dalam sangkar monyet. Gaya hidupnya yang tinggal bersama haiwan itu mencetuskan dua keadaan berbeza. Pertama, tarikan pengunjung yang ramai menyebabkan pameran Ota bersama monyet itu berjaya.
Kedua, golongan yang membantah dengan alasan tidak sepatutnya Ota dilayan sebegitu. Seorang paderi, James H.Gordin telah mengetuai bantahan yang akhirnya berjaya membawa kebebasan buat Ota.

Berakhir Tragik
Selepas dibebaskan dari zoo tersebut, James membawa pulang Ota dan menjaganya dengan menempatkan Ota di sebuah rumah anak yatim dalam jagaannya.
Kebajikan Ota dijaga. Dia turut dihantar belajar di sekolah. Ota juga diberi pekerjaan di sebuah kilang tembakau dan dibayar gaji untuk menyara dirinya. Jika diikutkan, hidup Ota kian baik. Tidak lagi dijadikan bahan pameran atau dipergunakan untuk mengaut keuntungan.
Namun, Ota berasa ada sesuatu yang kurang di dalam hidupnya. Lama kelamaan, dia merasakan dunia moden Amerika tidak sesuai dengan nalurinya. Hatinya semakin kuat untuk pulang ke tanah kelahirannya.
Lebih kurang lapan tahun Ota tinggal di Amerika, dia memutuskan untuk pulang semula ke Congo pada tahun 1914. Tetapi sayang, hajatnya tidak kesampaian apabila Perang Dunia Pertama meletus. Ota tidak dapat berlayar pulang kerana kapal-kapal penumpang telah dihentikan pelayaran angkara perang.
Mahu tidak mahu, Ota terpaksa terus menetap di Amerika. Semakin lama, jiwanya kian parah kerana tidak gembira dengan hidupnya di tempat orang. Akhirnya, pada 20 Mac 1916, Ota membuat keputusan drastik dengan menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Ota telah menembak dadanya menggunakan sepucuk pistol.
Berakhirlah sudah riwayat hidup Ota Benga di usia 32 tahun. Hilanglah penderitaan jiwa dan kerinduan hatinya terhadap tanah airnya. Ada yang mengatakan, kerana tahu jasadnya tidak mampu kembali, Ota membunuh diri kerana mahu rohnya terbang pulang semula ke tanah kelahirannya.
Kematian Ota Benga meninggalkan pelbagai pengajaran. Ia berkaitan dengan sikap orang Barat yang sewenangnya menjadikan manusia sebagai bahan pameran mereka, juga sisi gelap dunia perhambaan dan ketamakan manusia.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

