SERAMAI 10 lagi pendatang asing tanpa izin yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah, Khamis lalu berjaya diberkas semula, petang tadi.
Jumlah itu sekali gus menyaksikan 51 daripada 131 tahanan telah ditahan semula setakat ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, kesemua 10 tahanan lelaki etnik Rohingya itu telah berjaya ditahan semula di Ladang Sawit Kampung Senta, Bidor pada pukul 3 petang tadi.
Menurut beliau, pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia berjaya memberkas semula pendatang asing itu menerusi maklumat orang awam.
“Tangkapan dibuat di sekitar kawasan pentadbiran Tapah meliputi kawasan Bidor dan juga Tapah.
“PDRM percaya masih ramai tahanan yang lolos berada di hutan serta kampung sekitar kawasan Tapah dan Bidor.
“PDRM menyeru orang ramai bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor dan tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Pendatang lolos di Bidor: 39 ditahan setakat 8 malam tadi – Polis
Operasi itu membabitkan sejumlah 253 anggota, termasuk 84 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah; Jabatan Imigresen Malaysia (41); Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (25); Pasukan Gerakan Am (37); K9 Bukit Aman (15); dan Unit Dron (tiga).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan terbabit, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani, melalui talian 017-3168097 atau Bilik Gerakan IPD Tapah (05-4011222).
Dengan perkembangan terbaru itu, seramai 79 lagi tahanan bolos masih diburu.
Pada Khamis, seramai 131 tahanan terdiri dari etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh melarikan dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam kejadian pada 9.50 malam.
Semua tahanan itu merusuh dengan merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

