Masyarakat Melayu paling menggemari kucing sebagai haiwan peliharaan. Malah, Nabi Muhammad juga seorang yang sangat sayang kepada kucing. Mungkin ramai tidak tahu, haiwan peliharaan yang manja ini adalah salah satu haiwan pemangsa yang hebat di dunia.
Ia mampu membunuh atau memakan beberapa ribu spesies haiwan lain. Berbeza dengan kucing besar seperti harimau dan singa yang hanya mampu membunuh kurang daripada 100 haiwan lain. Namun, kerana ukurannya yang kecil, ia dilihat tidak berbahaya kepada manusia.
Lagi satu, kucing adalah antara haiwan yang paling koperatif dengan manusia. Bukan sekadar haiwan peliharaan yang menjadi peneman dan penghibur, kajian menunjukkan kucing juga mampu mengawal tekanan darah tinggi pemiliknya.
Mengikut penyelidikan yang pernah dilakukan oleh Profesor Karen Allen dari Pusat Penyelidikan Waltham di London dahulu, seseorang yang membela kucing sebagai haiwan peliharaan kurang berpotensi untuk mendapat penyakit darah tinggi dan stres. Malah, seseorang yang menghidapi penyakit ini dan kemudian mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan, tekanan darah mereka secara signifikan akan menjadi lebih stabil.

Allen dan pasukan penyelidiknya telah melakukan kajian untuk menilai kesan sokongan sosial haiwan peliharaan seperti kucing terhadap degupan jantung, tekanan darah dan tahap stres seseorang. Kajian tersebut menjurus kepada persoalan bagaimana haiwan peliharaan boleh membantu pemiliknya dari sudut psikologi.
Pada kajian tersebut, Allen telah memilih secara rawak 24 responden yang menghidapi penyakit darah tinggi untuk dirawat, seterusnya ‘menghadiahkan’ mereka seekor kucing setiap seorang. Manakala 24 lagi responden lain yang menghidapi penyakit sama dipilih tanpa mempunyai hubungan secara langsung dengan sebarang haiwan peliharaan.
Pada awal kajian tersebut, para pesakit rata-rata mempunyai tahap tekanan darah 160/104. Namun, enam bulan selepas diberi rawatan, termasuk rawatan psikologi haiwan peliharaan, hasilnya sangat menakjubkan.
Pesakit-pesakit yang telah diberikan kucing untuk dipelihara, kadar tekanan darahnya berubah kepada angka yang lebih rendah. Manakala pesakit yang tidak mempunyai haiwan peliharaan pula, kadar tekanan darah mereka tidak banyak berubah, malah ada pesakit yang tekanan darah meningkat lebih tinggi.
Daripada kajian tersebut Allen mendapati, jika seseorang yang menghidapi tekanan darah tinggi, haiwan peliharaan seperti kucing sangat baik untuk mengawal stres.
Menurutnya lagi, menyayangi haiwan seperti kucing dapat memberikan pengaruh yang menenangkan kepada tekanan darah dan degupan jantung. Dari respon yang diterima, kucing juga dapat menggantikan persahabatan manusia dan memberi manfaat fisiologi yang sama seperti manusia lain.

Pun begitu, walaupun kucing adalah haiwan terbaik yang boleh memberi kesan psikologi kepada manusia, namun dalam masa yang sama juga kucing boleh membawa penyakit kepada pemiliknya seperti asma, tokso, dan rabies.
Justeru, bagi pemelihara kucing dinasihatkan agar kebersihan kucing perlu dijaga sebaik mungkin untuk menghindari penyakit yang disebabkan oleh haiwan ini.
Haiwan sembilan nyawa
Sejarah perhubungan manusia dengan kucing dikatakan bermula sekitar 3500 tahun lalu oleh masyarakat purba Mesir. Ketika itu masyarakat Mesir melatih dan memelihara kucing untuk melindungi ladang dan gudang jagung mereka daripada serangan tikus. Sebelum itu, kucing dikatakan hidup berkelompok di dalam hutan, sama seperti kucing hutan yang kita boleh temui sekarang.
Daya pendengaran haiwan ini lebih peka daripada manusia dan anjing. Ekornya digunakan untuk mengawal keseimbangan badan, terutamanya ketika melompat atau berlari.
Kemampuan penglihatan kucing juga sangat baik iaitu enam kali lebih baik daripada manusia dengan luas pandangan sehingga 185 darjah. Matanya mempunyai lapisan perefleksi cahaya yang disebut tapetum, yang berfungsi untuk memperkuatkan cahaya yang masuk ke retina.
Selain itu, misai kucing juga mempunyai sensor yang sangat sensitif kepada gelombang. Ia juga boleh digunakan untuk bergerak ketika matanya tidak boleh melihat. Disebabkan itu, kucing tiada masalah untuk bergerak dalam keadaan gelap.

Sekitar abad ke-10 dan 11, kucing dianggap haiwan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan ahli sihir. Justeru, kucing dibunuh secara berleluasa, sama ada dibakar atau dilempar ke bawah gaung yang tinggi.
Disebabkan kepercayaan tersebut, ahli sejarah percaya bahawa wabak ‘black death’ atau wabak pes tersebar dengan cepat di Eropah. Ia adalah disebabkan oleh peningkatan populasi tikus yang membawa wabak tersebut.
Mitos juga ada menyebut, kucing adalah haiwan yang mempunyai sembilan nyawa. Gelaran tersebut dipercayai diberi kerana kucing masih mampu hidup jika terjatuh dari tempat tinggi.
Pemegang rekod kucing jatuh dari tempat tertinggi adalah kucing bernama Andy. Pemiliknya adalah seorang Senator dari Florida bernama Ken Myer. Pada tahun 1970, kucing tersebut jatuh dari pangsapuri tingkat 16 dan ia masih hidup.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

