Taib tokoh yang tidak pernah berhenti tabur bakti, kata Ismail Sabri

Dari Penulis

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud seperti kehilangan seorang tokoh yang tidak berhenti menabur bakti terhadap tanah tumpah darahnya.

Ismail Sabri berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham Abdul Taib untuk negara khususnya Sarawak amat besar.

“Sepanjang hayatnya, Allahyarham sentiasa memastikan hubungan di antara negeri serta pusat kekal utuh demi kemakmuran negara terus berkekalan.

“Salam takziah buat keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.

Abdul Taib, 87, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun.

DI KUCHING, kediaman Allahyarham  Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya dipenuhi keluarga terdekat serta pemimpin Sarawak yang hadir, untuk memberi penghormatan terakhir. 

Van yang membawa jenazah Abdul Taib dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching tiba di kediamannya pada kira-kira 5.10 petang , sebelum solat jenazah dilaksanakan yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan menteri Sarawak, menjadi antara pemimpin negeri yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Jenazah dijadual dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir mulai 8.00 hingga 11.30 pagi.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya. — BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Nafuzi Zain kembali kendali Terengganu FC

BEKAS jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Mohd Nafuzi Mohd Zain atau Nafuzi Zain kembali semula menerajui Terengganu FC...

More Articles Like This