AKTRES popular Indonesia, Wulan Guritno mendedahkan dirinya sudah dua tahun tidak menyentuh gula dalam pemakanannya demi menjaga kesihatan.
Wulan atau nama lengkapnya Sri Wulandari Lorraine Joko Guritno,43, amat mementingkan gaya hidup sihat selain turut berolahraga bagi mengekalkan stamina.
“Saya akan pastikan setiap hari cukup tidur. Selain itu, saya rajin bersenam Saya sering bersenam dan hanya satu hari saja istirehat.
“Saya juga dah dua tahun berhenti ambil gula. Hasil pembacaan saya, gula lagi mempercepatkan proses penuaan tak hanya luaran tapi juga dalaman.
“Saya mengalami perubahan yang banyak sejak tidak memyentuh gua dalam pemakanan saya. Kulit saya lebih tegang dan nampak lebih sihat…ia memang berkesan,”
“Jus kunyit yang dicampur dengan lemon dan madu juga antara rutin harian saya setiap hari sebelum memulkan senaman,” katanya kepada URTV.
Wulan berkongsi rahsia kecantikannya itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem seram Trinil:Kembalikan Tubuhku di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ditanya jika dia ada melakukan rawatan kosmetik, Wulan bagaimanapun pantas mengaku tidak pernah membuat sebarang perubahan di wajahnya.
Katanya, pada usia awal 40-an ini, dia lebih percayakan penjagaan kecantikan secara alami.
“Ketika berumur 35 tahun, saya perasan ada perubahan pada wajah…itu wajar.
“Saya juga belum berani nak buat rawatan seperti tarik benang, filler atau akupuntur di wajah. Sebab saya takut sekiranya muka saya akan berubah,” jelasnya.
Pun begitu, ibu kepada tiga orang cahya mata itu tidak menolak sekiranya akan melakukan prosedur pembedahan kosmetik apabila mengalami penambahan usia beberapa tahun akan datang.
“Ketika ini saya belum berani tapi saya tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
“Mungkin bila usia saya sudah 50 tahun saya perlu lakukannya. Ketika itu juga teknologi akan semakin maju.
“Jadi, saya tak tutup kemungkinan untuk lakukan operasi kosmetik satu hari nanti. Sebagai wanita, tipulah kalau saya tak ambil tahu semua itu.
“Teknologi kecantikan masa kini sangat berbeza berbanding dahulu. Ia sudah makin moden. Saya nampak perubahan selepas rawatan ia lebih natural,” kongsinya.
Pesan Wulan pada anak
Bercakap soal karier lakonan, darah seni Wulan turut diwarisi anaknya iaitu Shalom Razade.
Wulan memaklumkan ada memberi pesan kepada anak gadisnya itu untuk tidak memalukannya dan harus fokus untuk mengejar cita-cita sebagai pelakon disegani.

“Saya lebih dulu masuk dalam industri. Sejak umur 13 tahun saya sudah berlakon. Jadi, saya pesan pada dia untuk berlakon dengan serius dan jangan beri malu saya.
“Saya juga tidak mahu dia menggunakan nama saya untuk mendapatkan tawaran lakonan dengan mudah. Saya nak dia berdikari sendiri tanpa menyebut nama Wulan Guritno.
“Anak saya pun sebenarnya tidak mahu dibayangi nama saya kerana dia juga mahu berdiri atas usaha sendiri,” kongsinya kepada para media.
Tambah Wulan, Shalom dibesarkan dalam keluarga bergelar anak seni dan semua hal keluarga sudah menjadi sorotan sejak dirinya kecil lagi.
Justeru, sedikit sebanyak, Wulan bersyukur kerana Shalom sudah bersedia dari segi mental untuk berhadapan dengan cerita sensasi.
“29 tahun saya aktif dalam dunia hiburan dan sejak itu kisah keluarga saya sering menjadi perhatian.
“Saya dari situ, anak saya sudah dilatih untuk kuatkan mental. Untungya kerana dia adalah anak saya.
“Keluarga Wulan Guritno itu ada sahaja cerita-cerita gosip yang jadi sorotan orang luar. Dari saya muda hinggalah melahirkan anak,” ungkapnya.
Dalam perkembangan lain, Wulan dan Shalom berkongsi nashkah sama menerusi filem Trinil:Kembalkan Tubuhku arahan Hanung Bramantyo.

“Shalom melakonkan watak saya iaitu Rahayu sewaktu muda. Disebabkan raut wajahnya serupa, jadi memang sesuai untuk dia pegang watak tersebut.
“Shalom memang ada banyak persamaan dengan saya. Ia turut diakui oleh kebanyakan kru produksi filem itu.
“Tapi kami tidak ada gandingan bersama dalam satu babak sebab melakonkan watak yang sama. Hanya latar masa saja berbeza,” katanya yang memberitahu ini merupakan filem pertama mereka.
Selepas 10 tahun tidak mengarahkan filem seram, Hanung akhirnya tampil dengan naskhah mengishahkan hantu penanggal.
Selain Wulan dan Shalom, filem ini turut membariskan pelakon Malaysia iaitu Fattah Amin, Alexzander Wan, Carmela van der Kruk dan Rangga Nattra.
Filem hasil kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia itu sudah mula ditayangkan sejak 22 Februari lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

