TITAH Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini, disifatkan sarat dengan peringatan dan nasihat untuk Ahli-ahli Parlimen.
Titah berkenaan juga disifatkan mencerminkan harapan Seri Paduka Baginda yang mahu melihat kestabilan politik di negara ini, demi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik selain peri pentingnya dalam meningkatkan soal perpaduan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata titah Yang di-Pertuan Agong secara tidak langsung memberi ingatan kepada semua Ahli Dewan Rakyat, supaya tidak menganggu-gugat pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penting bagi Ahli Parlimen memahami bahawa tempoh yang menentukan mandat itu ialah semasa pilihan raya. Tempoh sekarang ialah (untuk kita) mengurus tadbir negara, maka tumpukan perhatian kepada rakyat dan bantu turunkan suhu politik dengan mengiktiraf kerajaan yang ada (ketika ini),” katanya ketika ditemui selepas istiadat itu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Seri Paduka Baginda dengan jelas menekankan kepentingan menjaga kebajikan rakyat, dan kerajaan perlu memberikan keutamaan dalam semua aspek pembangunan negara demi kemakmuran negara.
Baca juga: 3 pemimpin NGO bersih, tiada rekod berkaitan aktiviti keganasan – Saifuddin
“Secara peribadi, saya menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda dan ia amat baik, tentunya menjadi tanggungjawab saya sendiri sebagai wakil rakyat untuk menterjemahkannya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula melihat titah sulung berkenaan, sebagai satu mesej jelas bahawa Seri Paduka Baginda mahu melihat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dipertingkat, untuk memastikan rakyat dapat hidup kekal harmoni.
“Ini merupakan pandangan yang amat bernas dan seruan yang amat tepat, kerana memang kita tahu dalam masyarakat berbilang kaum, yang penting ialah keharmonian antara masyarakat perlu terus dipelihara,” katanya.
Loke berkata peringatan Sultan Ibrahim mengenai peri pentingnya kestabilan politik juga merupakan satu manifestasi, agar pembangunan negara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dapat dicapai, sekali gus membantu mengembalikan keyakinan negara luar.
Turut senada, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman, yang melihat titah Seri Paduka Baginda merangkumi perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua Ahli Parlimen, agar dapat memacu negara ke arah yang lebih baik baik sama ada dalam soal politik, ekonomi mahupun perpaduan.
“Perkara-perkara ini perlu menjadi perhatian semua pihak untuk sama kita bergerak membina negara ini, semua pihak sama harus berkerjasama dan kurangkan berpolitik,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik, antaranya melibatkan tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dalam persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara dan kestabilan politik.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram