DUA lelaki disahkan maut selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam laut berdekatan Jalan Manau, Kampung Payang, Lahad Datu lewat malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan pasukan penyelamat pada kedalaman 12 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, mangsa pertama berjaya dibawa keluar dari kereta kira-kira pukul 12.06 tengah malam.
“Pada selaman kedua yang dilakukan oleh pasukan bomba mangsa berjaya menemukan mangsa kedua kira-kira pukul 1.31 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, panggilan berhubung kejadian diterima pada pukul 10.50 malam.
“Seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Lahad Datu,” katanya.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian dan mangsa diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat pada pukul 1:58 pagi.

