
PADA 3 Mac lalu, pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus menyampaikan ceramah di Masjid Kampung Baru Sepom, Narathiwat dan sebelum itu pada 1 Mac beliau berceramah di Sekam, Mayo, Pattani.
Kedua-dua majlis ceramah yang diadakan tidak sampai dua minggu sebelum Ramadan menjelma dihadiri berpuluh-puluh ribu umat Islam di kedua-dua wilayah berkenaan.
Apabila Ramadan bermula, penulis mengikut perkembangan umat Islam di Selatan Thailand di media-media sosial khususnya Tik Tok. Ternyata mereka begitu gembira menyambut bulan penuh keberkatan itu.
Ternyata biarpun berada di wilayah yang sedang berada dalam konflik namun aktiviti pada bulan suci itu tidak terganggu. Namun begitu ada pihak yang seolah-olah tidak senang dengan keadaan itu. Mereka berusaha mencari alasan untuk melaksanakan agenda sempit yang sekaligus akan menyebabkan Ramadan di Selatan Thailand tercemar dengan pertumpahan darah.

Oleh itu tidak hairanlah apabila dua anggota puak pemisah terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan pada 14 Mac di sebuah rumah di Sai Buri, Pattani puak pemisah mahu menjadikan ia alasan untuk membalas dendam sekaligus mencemari bulan suci Ramadan.
Faktanya, kedua-dua mereka yang bersenjata ditembak mati kerana enggan mematuhi arahan supaya menyerah diri. Pemerintah Thailand sejak awal lagi sudah memberi jaminan akan memastikan Selatan Thailand akan dipastikan aman tenteram ketika bulan Ramadan.
Mereka mengharapkan puak pemisah khususnya Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan turut mempunyai iltizam dan semangat yang sama. Tetapi sikap BRN adalah sebaliknya. Sepatutnya kalau benar mahu Ramadan Aman, BRN harus memastikan sayap militernya tidak membuat onar seperti mana dilakukan oleh dua anggotanya yang ditembak mati tersebut.
Mereka bersenjata dan bersembunyi di sebuah kampung, apabila diminta menyerah diri, mereka melawan…logiknya apa lagi pilihan yang ada kepada pasukan keselamatan?
Atau adakah kejadian itu membuktikan pemerintah Thailand telah berunding dengan pihak yang salah dalam proses rundingan damai yang sedang berjalan di mana Malaysia menjadi fasilitatornya? Ini kerana kalau benarnya wakil BRN yang berunding di Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu mempunyai kuasa mutlak mengawal semua sayap dalam puak pemisah itu sudah pasti kejadian pertempuran yang mencemarkan bulan suci Ramadan itu tidak berlaku!
Oleh itu sekali lagi kepemimpinan BRN khususnya yang menjadi delegasi diminta membuktikan kewibawaan, kemampuan dan lebih penting daripada itu keikhlasan serta kejujuran dalam usaha mewujudkan kedamaian di Selatan Thailand.
Jangan bersikap talam dua muka, di hadapan berunding mahu keamanan tetapi di belakang mengatur strategi mencetus kekacauan. Malah mereka juga perlu membuktikan mempunyai kuasa untuk mengawal sayap militer supaya agenda Ramadan Aman tidak dikhianati.
Puak pemisah harus faham dan sedar, jika melihat kepada reaksi dan riak wajah penduduk Islam di Selatan Thailand menyambut Ustaz Azhar Idrus dan seterusnya Ramadan, mereka mahu hidup aman damai.
Mereka mahu melaksanakan aktiviti mencari rezeki dengan damai dan beribadah dengan tenang. Mereka sudah bosan kerana bertahun-tahun wilayah dicintai diganggu gugat dengan agenda mahu menuntut kemerdekaan oleh puak pemisah yang terbukti tidak ke mana.
Pemerintah Thailand sudah berusaha pelbagai cara untuk memastikan kedamaian dapat diwujudkan di wilayah tersebut. Pelbagai agenda dan langkah dilakukan bagi mencapai hasrat terebut. Tetapi malanglah usaha itu akan menemui jalan buntu jika puak pemisah tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan pemerintah Thailand bagi mewujudkan keamanan yang begitu diharapkan oleh penduduk Islam.
Apa yang diharapkan pertumpahan darah tidak berlaku lagi di Selatan Thailand sepanjang Ramadan ini, Kasihanilah penduduk Islam yang mahu menjalani ibadah puasa dengan tenang.
Seandainya puak pemisah terus melakukan provokasi atau gangguan sehingga menggugat keamanan di wilayah itu semasa bulan mulia tersebut, terbuktilah mereka lah pengkhianat sebenar kepada penduduk Islam. Kalau tidak mahu dianggap sedemikian, izinkanlah umat Islam di Selatan Thailan meraikan Ramadan dengan kedamaian, menjalani puasa dengan penuh ketenangan.

