SIJIL halal milik syarikat Alagappa Flour Mills Sdn Bhd telah ditarik balik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disebabkan ketidakpatuhan terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
Bagaimanapun, Bahagian Pengurusan Halal Jakim dalam kenyataan memaklumkan, status halal produk yang dikilangkan oleh syarikat itu sebelum 12 Mac adalah tidak terjejas.
Bahagian Pengurusan Halal Jakim turut memberi nasihat kepada orang awam yang terus menjatuhkan hukum haram kepada produk-produk ditarik balik atau tidak dipersijilkan halal.
“Suka untuk diingatkan bahawa sesuatu produk yang tidak dipersijilkan halal atau tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bukan membawa maksud produk tersebut haram.
“Sekiranya satu-satu produk tersebut menerima SPHM maka ia pastinya telah memenuhi keperluan digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan standard halal serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Bahagian Pengurusan Halal Jakim memberitahu amalan terbaik perlu dipraktikkan secara berterusan dalam membuat pemilihan produk atau perkhidmatan yang dipersjilkan halal kerana produk dan perkhidmatan dengan SPHM pasti halal, selamat serta lebih baik.
Baca artikel lain: JAKIM beri amaran keras kepada KK Supermart berhubung isu stoking kalimah Allah
Susulan penarikan sijil halal itu, Syarikat Alagappa Flour Mills menerusi laman sosial Facebook memuat naik satu hantaran yang memperjelaskan isu berkenaan.
Alagappa Flour Mills berkata, hal tersebut tiada sebarang kaitan dengan penggunaan mana-mana bahan mentah atau ramuan yang tercemar dengan bahan haram mahupun isu kebersihan.
“Pada peringkat awal, syarikat hanya dikenakan tindakan penggantungan sijil halal sahaja. Hal ini disebabkan oleh beberapa kesalahan teknikal yang tidak kritikal. Pihak syarikat diberi masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap ketidakakuran tersebut.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa kekangan berkenaan tenaga kerja menyebabkan penambahbaikan dan penutupan laporan ketidakakuran tersebut tidak dapat ditutup dengan sempurna pada masa yang telah diperuntukkan sehingga menyebabkan sijil halal kami ditarik balik,” jelasnya.
Syarikat itu turut memperkasa tenaga kerja dengan menubuhkan Alagappa’s Halal Department berhubung segala hal mengenai pengurusan halalnya.
Alagappa Flour Mills juga memberitahu akan membuat permohonan semula sijil halal daripada Jakim.
“Sekiranya tiada halangan, syarikat kami akan melalui proses audit semula selewat-lewatnya pada bulan Mac 2024 ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

