KERAJAAN memperuntukkan sebanyak 1,000 unit tangki air kepada Wilayah Persekutuan Labuan untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas teruk dengan masalah bekalan air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu 750 unit diagihkan kepada 17 buah kampung manakala pengagihan 250 tangki lagi dijangka selesai pada April tahun ini.
“Kerajaan telah menetapkan matlamat asas iaitu membantu penduduk kampung yang terjejas tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Perbadanan Labuan bersama Bahagian Bekalan Air Labuan telah menentukan beberapa kriteria asas sebagai panduan kepada ketua kampung untuk melaksanakan kerja-kerja agihan di kawasan masing-masing.
“Antara kriteria yang kita gariskan sebagai keutamaan kepada penerima yang layak ialah penduduk yang tinggal jauh dan paling akhir menerima bekalan air dari saluran paip utama,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Suhaili di dalam soalannya ingin tahu sama ada bantuan tangki yang telah diluluskan sebanyak 1,000 unit melalui Perbadanan Labuan itu hanya diagihkan kepada penduduk tertentu sahaja atau untuk semua tanpa mengira fahaman politik.
Selain itu Zaliha berkata bagi mengatasi isu bekalan air di institusi pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan, Perbadanan Labuan melaksanakan perolehan segera sebanyak 10 unit tangki air berkapasiti 1,200 gelen yang ditempatkan di Kolej Matrikulasi Labuan dan Sekolah Menengah Sains Labuan.
Beliau berkata proses pengagihan tangki itu telah dilaksanakan pada 14 Jan lalu dan berjaya menampung keperluan pelajar asrama di kedua-dua institusi pendidikan berkenaan.
“Perbadanan Labuan juga mengambil langkah untuk menilai kesempurnaan pelaksanaan proses agihan.
“Bagi penduduk yang layak tetapi tidak menerima bantuan tangki air, mereka diminta memaklumkan kepada Perbadanan Labuan dan bantuan sewajarnya akan diberikan kepada penduduk yang terjejas itu,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

