Tidak mahu meminta-minta walau mengakui pendapatan yang dijana menerusi laman Tik Tok agak lumayan, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adenan Abu, 46, mahu bangkit daripada kegagalan dengan cara bermaruah.

Jelasnya kepada Wanita, sebagai seorang suami dan bapa, dia mahu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat, bukan dengan cara mudah dengan meminta sumbangan daripada orang ramai.

“Niat saya pada waktu itu hanya untuk mencari kerja, bukan untuk menagih sumbangan. Saya buat ‘live’ pun sekadar untuk ceritakan apa yang berlaku kepada kehidupan.

“Pada malam itu bertalu-talu ‘gift’ yang diterima, memang saya sangat terkejut sehingga satu tahap saya terpaksa tamatkan ‘live’. Memang saya akui hasilnya lumayan dan kerjanya cukup mudah, hanya live dan raih pendapatan.

“Namun saya tidak mahu begitu, biarlah saya berusaha dengan berniaga. Jika orang simpati dengan saya, belilah barang, sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat manfaat. Dan follower saya boleh menjadi affiliate dan pendapatan semua akan berkembang.

“Anak-anak saya pun tengok TikTok dan saya tak mahu mereka lihat bapanya macam minta sedekah,” luahnya ketika ditemui.

Tidak mahu terus diselubungi kekecewaan, dia terpaksa membuang ego dan maruah demi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

“Memang diakui perasaan malu saya berada pada tahap paling rendah, lebih-lebih lagi apabila orang tahu aib saya. Sebab itu saya perlukan sokongan isteri dan anak-anak untuk kembali stabil.

“Apa yang berlaku cukup memberi keinsafan dan saya tak mahu lagi seperti dulu, mendongak ke langit.

“Saya akui mungkin ramai yang tolong kerana isteri saya artis namun bagi saya, ianya rezeki yang Allah kurniakan. Isteri artis itu cuma sekadar kebetulan. Saya pun tidak minta semua ini, posting itu pada mulanya hanya untuk mencari kerja namun tidak sangka ia tular. Lima tahun saya sembunyikan diri. Waktu itu saya bimbang andai ia memberi kesan buruk kepada isteri namun tidak sangka rezeki datang dalam bentuk yang lain.

Dalam pada itu, Adenan turut meluahkan kesyukuran apabila menerima bimbingan secara rasmi daripada Mentor Usahawan terkenal, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.

“Saya berterima kasih kepada Dr. Azizan atas kesediaan beliau untuk membimbing saya dan Dr. Samhan atas peluang untuk berkolaborasi dalam perniagaannya.

“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dengan tunjuk ajar Dr. Azizan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan bersama Dr. Samhan,” kata Datuk Red yang dilantik menjadi duta dan rakan kongsi produk HIM Coffee.

Dr. Azizan berkata, bimbingan ini direalisasikan hasil kerjasama Datuk Red dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr. Samhan, yang juga seorang pempengaruh terkenal.

“Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga bulan.

“InsyaAllah, dengan izinNya dan sokongan daripada semua pihak, saya dan RichWorks akan cuba membantu Datuk Red dengan bimbingan perniagaan agar beliau dapat menyelesaikan hutangnya dan keluar dari muflis dengan memulakan perniagaan baharu ini.

“Dengan sokongan padu daripada orang ramai dan komitmen Datuk Red, saya jangkakan beliau akan dapat keluar daripada kesilapan dan belenggu hutang sebanyak RM7 juta ini dalam tempoh tiga tahun.

“Cuma syaratnya, kerjasama ini akan dipantau sepenuhnya oleh saya sendiri. Saya akan memberi bimbingan dan strategi perniagaan sehingga hutang itu langsai sepenuhnya,” kata Dr Azizan.

Dr. Azizan berharap kejayaan Datuk Red ini akan memberikan inspirasi kepada ramai orang yang mungkin menghadapi cabaran yang sama, bahawa setiap orang mampu bangkit dari kegagalan atau cabaran terutamanya dalam bidang ekonomi.

Terdahulu, Dr. Azizan telah menyertai siaran langsung TikTok Datuk Red dan berkongsi beberapa panduan untuk beliau bangkit semula.