Usai mengemas kini album lama, terselit kad jemputan perkahwinan seorang kenalan. Indah sungguh kad jemputan majlis walimatulurusnya.

Maklumlah kedua-dua mempelai tak kisah untuk berbelanja besar sempena menjelang langsungnya hari bahagia. Hampir keseluruhan keperluan  bergelar ratu dan raja sehari dibeli dan ditempah khas dari Indonesia.

Bertuah Audra (bukan nama sebenar) mempunyai bakal suami serba sempurna, baik wajahnya, pekerjaannya dan begitu juga kondisi kewangannya. Pendek kata tak perlulah Audra mengeluarkan semua sijil kelulusan akademiknya untuk bekerja kerana bakal suami sudah mampu memberikan kehidupan serba sempurna bila berkahwin kelak.

Teman saya Audra rasmi bergelar isteri pada 25 November 2010, ketika itu usianya baru mencecah 24 tahun. Baru saja selesai majlis graduasi dan Audra semangnya dikenali sebagai pelajar cemerlang dalam setiap semester tetapi memilih untuk berkahwin awal dan bergelar suri rumah tangga.

Kedua-dua ibu bapa Audra pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Adam (bukan nama sebenar) atas faktor umurnya yang masih muda.

Walau bagaimanapun atas rasa kasih mendalam terhadap anak tunggal mereka membuatkan doa restu mengiringi biarpun hati berat melepaskan Audra menikahi Adam.

Itu sebahagian seleksi kisah majlis kahwin Audra dan Adam dua tahun lalu. Tetapi kini, Audra sudah rasmi bercerai dengan Adam dan bergelar janda di usia 25 tahun. Ya, perkahwinan mereka hanya bertahan untuk tempoh 365 hari sahaja. Berikut adalah kisah Audra dan kisah kahwin ekspres yang dilaluinya.

Adam Dua Dunia

Menurut Audra daripada pandangan mata kasar, Adam sempurna daripada segala sudut. Sememangnya amatlah rugi jika dia melepaskan lamaran Adam yang beria-ia mahu memperisterikannya.

 Walaupun masih hijau usia percintaan mereka, Audra bingkas mahu turut sama-sama melakar angan-angan hidup halal berdua sahaja.

Tambah Audra lagi, belum pun sebulan usia perkahwinannya Adam sudah mula menunjukkan warna sebenar dirinya.

“Demi Adam, saya sanggup berpindah ikut dirinya dan bermastautin jauh nun di utara tanah air. Walaupun ibu bapa puas memujuk saya terus tinggal di Kuala Lumpur, demi menjadi isteri terbaik buat sang suami saya sanggup menolak pelawaan orang tua dan bertegas mahu bersama suami.

“Awalnya saya dilayan bak permaisuri, Adam taburkan yang indah-indah buat saya. Makan disuap, tidur didodoikan bak anak kecil, jalan berpimpin tangan, kucupan mesra hangat membasahi dahi setiap kali Adam mahu keluar ke tempat kerja. Semuanya normal dan saya bangga menjadi isterinya.

“Untuk mengelakkan saya berasa bosan di rumah, sebuah butik dibina Adam khusus untuk saya. Sedikit modal diberikan untuk saya memulakan bisnes pakaian. Kata Adam, anggap bisnes ini buat saya melepaskan rasa bosan sepanjang Adam keluar bekerja. Untungkan saya, suami sanggup buat segala-galanya demi saya.

“Dengan izin Adam saya rancak menjalankan perniagaan dengan bantuan tiga orang pekerja. Alhamdulillah bisnes saya nampak berkembang baik dan sudah mampu menarik pelanggan tetap untuk setia berkunjung ke butik kami saban bulan.

“Dalam diam kesibukan saya di butik sedikit sebanyak memberi impak kepada hubungan kami suami isteri. Adam sudah mula balik lewat. Walaupun saya diarahkan suami menguruskan butik itu tidak bermakna saya mengambil kesempatan di atas amanahnya. Ini kerana saban hari sebaik pukul 6.00 petang saya sudah berada di rumah, mengemas rumah dan juga memasak sendiri hidangan makan malam.

“Masuk bulan keempat perkahwinan kami, sikap Adam makin menjadi-jadi. Ada waktunya Adam tidak pulang ke rumah berminggu-minggu. Jika dia pulang pun dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa sepatah kata dia terus keluar semula.

“Saya makin keliru dan pening dengan perubahan Adam. Hubungan dingin kami berlarutan buat enam bulan lamanya, Adam kemudian kembali menetap di rumah kami dan emosinya celaru serta tak seceria dulu.

“Adam juga kerap berhalusinasi dan sering memaklumkan saya ada orang yang ingin membunuhnya. Perasaan itu kerap menghantui Adam dan ada ketikanya Adam meracau-racau sehingga mencederakan diri sendiri. Paling mengerikan apabila satu pagi Adam mengacukan pisau tajam ke arah saya. Hidup saya sentiasa dalam ketakutan dan saya hanya rasa selamat sebaik saja berada di butik.

“Sekembalinya di rumah perasaan berdebar-debar dan takut menyelubungi saya. Sebagai isteri saya cuba menasihatinya dan memujuk dia untuk merujuk masalahnya kepada pakar psikiatri. Sebaliknya saya pula dimaki hamun Adam dan dia berang apabila saya seolah-olah mengatakan dirinya tidak waras lagi. Saya sendiri dapat merasakan Adam seperti berada dalam dua dunia berbeza dan penuh misteri,” cerita Audra.

DIBUANG KERJA

Di luar pengetahuan Audra, Adam sebenarnya sudah lama diberhentikan kerja. Akibat kegagalan Adam untuk memberikan komitmen terhadap kariernya menyebabkan majikannya memberhentikan Adam.

“Sewaktu saya meneliti surat demi surat yang diterima daripada posmen, saya tersentak apabila membaca surat daripada majikan Adam. Rupa rupanya Adam diberhentikan kerja hampir dua bulan. Adam juga dimaklumkan ponteng kerja dan mempunyai masalah disiplin. Hancur luluh hati saya mengenangkan masa depan kami.

“Dipendekkan cerita saya kemudian kembali ke pangkuan keluarga, itu pun setelah berbincang hati ke hati dengan keluarga mentua. Adam juga sudah mula berjinak-jinak mengambil bahan terlarang. Saya bimbang tentang keselamatan diri apabila saya bersama Adam.

“Keluarga terutama ibu menyambut kepulangan saya dengan tangis sedu sedan. Mereka tidak menyangka kehidupan saya berubah secara 360 darjah sebaik saja bersama Adam. Saya pula sudah kering air mata menangisi nasib diri. Kehidupan sosial juga terjejas akibat trauma dengan pengalaman tragis bersama Adam.

“Bulan Oktober tahun 2011, tiba-tiba kediaman keluarga saya menerima tetamu yang kami tak duga. Adam muncul di depan pintu rumah dengan wajah yang sugul. Kebetulan saya berada di rumah, di hadapan ibu dan bapa, Adam melutut memohon maaf di atas semua khilaf yang dilakukannya terhadap saya.

“Tanpa diduga bersaksikan orang tua saya, Adam melafazkan kata cerai terhadap saya. Saya diceraikan dengan talak satu. Hanya lafaz Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Adam.

“Lidah saya kelu untuk bertanya apa dan mengapa, Adam memaklumkan sepanjang kami hidup bersama dia gagal menjadi suami yang baik. Dia mahu saya bersama dengan lelaki yang lebih layak dan baik. Pencapaian peribadi mengejutkan untuk saya, bergelar janda di usia 25 tahun,” cerita Audra tenang.

STIGMA DAN STATUS BARU

AUDRA kembali menjalani kehidupan solo dan pernah berkahwin. Walaupun usianya muda, perceraian yang dialami menjadikan dirinya lebih matang dan cekal. Menurut Audra lagi, sudah menjadi lumrah golongan sepertinya dipandang skeptikal sementelahan pula dia hanya berkahwin untuk tempoh setahun. Pelbagai persepsi dan khabar angin menerpa deria dengarnya dan tegas Audra lagi hanya yang melaluinya saja faham fasa hidup menjanda.

“Pengalaman ini mematangkan saya. Banyak yang saya pelajari walaupun perkahwinan lalu hanya bertahan sekejap saja. Saya lebih memahami asam garam rumah tangga. Diakui pengalaman bercerai bukanlah manis untuk dikenang, sebaliknya satu memori berguna sarat dengan ilmu untuk kehidupan saya selepas ini.

“Adam sudah luput daripada ingatan, tiada lagi jalinan silaturahim antara kami. Yang berlaku biar berlalu. Hidup sendiri mengajar saya erti kepercayaan pada diri dan menghargai ibu bapa.

“Saya bersyukur kerana didorong oleh Allah S.W.T untuk berkenalan dengan seorang insan yang juga duda. Kami sama-sama memahami dan saya benar-benar bahagia dengan si dia.

“Atas restu orang tua kami bakal bergelar suami isteri tak lama lagi. Kali ini persiapan perkahwinan tidak segalak perkahwinan lalu. Tidak perlu beria-ia sehingga ke Indonesia. Hanya siapkan apa yang wajib. Majlis kami dirancang sendiri tanpa menggunakan perancang perkahwinan profesional dan serba serbi lebih sederhana. Gerak hati saya mengatakan kali ini si dia terakhir bakal bersama saya hingga ke hari tua. Semoga Allah memudahkan urusan kami. Doakan semoga perkahwinan kami kali ini kekal hingga Jannah!” jelas Audra kepada WANITA.