Isham Jalil kemuka representasi untuk mohon maaf secara terbuka kepada badan kehakiman

Dari Penulis

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil, yang didakwa menghina mahkamah berhubung kenyataan mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengemukakan representasi kepada Peguam Negara (AG) bagi membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap badan kehakiman.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin hari ini.

“Pihak responden (Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil) telah mengemukakan representasi berkenaan kepada AG pada 25 Mac lepas melalui e-mel dan pemohon (pendakwa raya) perlu mendapatkan arahan daripada AG berhubung representasi itu.

“Representasi itu adalah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan tidak bersyarat kepada badan kehakiman. Oleh itu, pihak kami memohon suatu tarikh pengurusan kes baharu ditetapkan,” kata Ahmad Akram yang mengendalikan kes bersama TPR Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Peguam Jamie Wong Siew Min mewakili Isham sebagai responden, mengesahkan perkara tersebut.

Hakim Noorin kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes bagi status representasi.

Pada 4 Mac lepas, mahkamah membenarkan permohonan AG untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.

Peguam Negara dalam permohonan yang difailkan pada 28 Dis tahun lepas, turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa? yang disiarkan di laman Facebook The Malaya Post pada 30 Sept tahun lepas.

Peguam Negara mendakwa dalam temu bual itu, Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International serta 1MDB.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham telah mengaibkan Badan Kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi itu. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This