Pengacara terkenal, Awal Ashaari terpilih sebagai rakan strategik Usanita untuk 2024 selaras dengan misi Usanita dalam memberikan nafas baharu dan nilai tambah positif dalam memberi inspirasi kepada orang ramai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan, percaturannya memilih Awal  bukan sahaja mahu melihat dari sudut keusahawan semata-mata malah diaspek industri hiburan juga.

Kata Adzliana lagi, momentum kejayaan Podcast Hitam Putih yang diusahakan bersama Datuk Rosyam Nor harus di perkuatkan lagi dengan melahirkan beberapa program YouTube baharu yang akan disiarkan di YouTube Channel Usanita.

“Pemilihan Awal Ashaari sebagai rakan strategik Usanita untuk 2024 dapat memberi nilai tambah yang positif kepada jalinan ini. Saya percaya program baru ini memberi nafas baharu dan pilihan yang sedikit berbeza kepada penonton, kita mahu sajikan sesuatu yang lebih segar dan bersifat santai kepada penonton sambil itu boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang melihatnya.

“Dengan kerjasama bersama Awal Ashaari pasti memberi perspektif baharu pada Usanita dengan cadangan dan pandangan daripada beliau. Awal Ashaari turut akan memberikan pelbagai tips dan perkongsian tentang penjenamaan, penjagaan diri sebagai usahawan dan cara untuk tampil berkeyakinan bersama Perintis Usanita secara maya dan juga secara bersemuka pada tahun ini.

“Selain bakal tampil bersama Awal, Usanita akan bekerjasama dengan sebuah rancangan podcast yang sedang meningkat naik iaitu Apa Cerita? yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin yang mana selama 10 episod istimewa ini akan memaparkan sesuatu yang istimewa dengan suntikan penjenamaan Usanita,” kata Adzliana ketika ditemu bual di rumah terbuka hari raya Usanita 2024 yang berlangsung di EQ Hotel.

Dalam pada itu, menurut Awal, Usanita sentiasa memberikan fokus dalam memperkuatkan kandungan terbaik di platform media sosial dalam berkongsi kisah yang memberi manfaat serta menaikkan semangat orang ramai.

“Antara program terbaharu yang dirancang adalah sebuah program bual bicara yang dikendalikan oleh saya dan Adzliana sebagai hos.

“Berkonsep segar dan menampilkan sesuatu yang berbeza, program yang akan ditayangkan selama 15 episod ini akan menampilkan beberapa selebriti tempatan. Kami akan menjemput mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam mencapai sukses dalam apa yang mereka kerjakan.

“Saya percaya program baru ini memberi nafas baharu dan pilihan yang sedikit berbeza kepada penonton. Kita mahu sajikan sesuatu yang lebih segar dan bersifat santai kepada penonton selain boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang melihatnya,” kata Awal ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Usanita dan pelantikan Awal sebagai wajah Usanita di EQ Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Acara itu turut dimeriahkan oleh kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan-rakan usahawan serta selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Erma Fatima, Zoey Rahman, Misha Omar dan Hael Husaini.

Dalam pada itu, Usanita yang sudah empat tahun dibangunkan sebagai satu entiti pemudah cara bagi golongan usahawan terutama dalam kalangan B40 yang perlu dibantu bakal bekerjasama dengan pihak kerajaan di Indonesia untuk menjalankan program mega iaitu ‘Bridge to Brilliance’ tahun ini.