PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, petang ini.
Perkara tersebut disahkan Pengarah Pilihan Raya PRK DUN Kuala Kubu Bharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, manifesto yang akan mengandungi lima teras utama itu akan diumumkan sendiri calon PN, Khairul Azhari Saut.
Beliau berkata, pelancaran manifesto itu dijangka diadakan di Bilik Gerakan PN pada pukul 5 petang.
Mohamed Azmin turut menaruh keyakinan bahawa manifesto yang ditampilkan itu mampu dilaksanakan Khairul Azhari sekiranya berjaya merampas kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.
Namun begitu, beliau tidak menjelaskan secara lanjut lima teras utama yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
“Kita akan melancarkan manifesto itu esok (Isnin) dan ada lima teras utama yang telah dikenal pasti PN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jeram di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor, malam tadi.
Baca artikel lain: PRK KKB: 863 polis, tentera dan pasangan undi awal esok
Ketika diminta mengulas manifesto ditampilkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, Mohamed Azmin mendakwa ia hanyalah palsu dan dusta semata-mata.
“Apa guna manifesto Kuala Kubu Baharu jika di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri gagal dilaksanakan selepas lebih setahun berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan pengundi pada pecutan akhir PN menjelang PRK dilihat amat positif setakat ini.
“Saya yakin (kemenangan) namun kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu memfokuskan lokaliti selain Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan turun menemui jentera dan memberi amanat beliau esok,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram