Taarana menganjurkan Hari Sukan Taarana 2024 sebagai platform untuk pelajar berkeperluan pendidikan khas untuk berinteraksi dengan Masyarakat dan sekaligus dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka.
Pengetua Taarana, Dr. Sunita Sivakumaran berkata, acara tahunan itu sebagai langkah bagi membantu kanak-kanak kurang upaya untuk turut merasai pengalaman beraktiviti dan sekaligus meraikan pencapaian mereka dalam bersukan.
“Sebagai ibu yang mempunyai anak kurang upaya, saya faham akan kebimbangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka menyertai sebarang aktiviti di luar bersama orang ramai. Bimbang akan persepsi masyarakat yang mungkin tidak faham akan keadaan anak-anak ini.
“Atas sebab itu kami menganjurkan Hari Sukan Taarana sebagai salah satu Langkah bagi membolehkan anak-anak ini merasai suasana sebenar bersukan,” katanya ketika ditemui pada Hari Sukan Taarana 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Malah jelasnya, aktiviti kokurikulum di Sekolah Taarana juga membantu dalam Pembangunan pelajar kurang Upaya menerusi Program Intervensi Awal, Program Transisi, Program Intervensi Bersasar dan Modal Program Komunikasi.
“Sekolah kami menerima pelbagai jenis ketidakupayaan pelajar dan setiap mereka perlu dinilai terlebih dahulu untuk memudahkan kami menentukan program yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Malah kami juga menyediakan sistem pembelajaran seorang murid dan seorang guru agar proses anak-anak lebih mudah dipantau dan diselia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi mengembangkan kebolehan pelajar dalam skil komunikasi dan berinteraksi bersama Masyarakat, Sekolah Taarana mewujudkan Zero Waste@Taarana melalui aktiviti kitar semula dan Taarana Café.
“Inisiatif Taarana Café ini bertujuan bagi mendedahkan pelajar skil kemahiran dan bersosial di mana mereka akan diberikan satu tugas dan rutin harian bertujuan membangunkan kemahiran untuk bekerja kelak,” tambahnya lagi.

