Soalan:
Assalamualaikum w.b.t, Apakah hukum seorang muslim menyambut perayaan hari ibu ? Adakah sambutan ini dianggap menyerupai golongan kafir? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan :
Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
SEJARAH SAMBUTAN HARI IBU
Menurut sejarah moden, sambutan Hari Ibu dimulakan di Amerika Syarikat oleh Anna Jarvis dari Philadelphia bagi memperingati ibunya yang telah menganjurkan sekumpulan gerakan wanita untuk mempromosikan persahabatan dan kesihatan. Pada 12 Mei 1907, beliau mengadakan upacara peringatan Hari Ibu di gereja mendiang ibunya di Grafton, Virginia Barat. Dalam tempoh lima tahun, hampir setiap negeri di Amerika Syarikat menyaksikan sambutan itu. Oleh yang demikian, pada tahun 1914, Woodrow Wilson selaku Presiden Amerika Syarikat menjadikan setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei sebagai cuti kebangsaan. Lama kelamaan sambutan Hari Ibu tidak terhad kepada sosok ibu sahaja malah ia juga meraikan setiap golongan yang memainkan peranan sebagai ibu seperti nenek dan ibu saudara. Banyak negara lain turut merayakan Hari Ibu pada tarikh ini, manakala sesetengah negara memperuntukkan perayaan itu pada hari lain dalam setahun.
Namun begitu, tidak dinafikan perayaan Hari Ibu ini telah bermula pada zaman tamadun purba lagi bagi memperingati para dewi kepercayaan masing-masing. Masyarakat Frigia menyambut Hari Ibu bagi memperingati dewi Cybele, “Great Mother of the Gods”, manakala mengikut kepercayaan Yunani, perayaan itu disambut bagi memperingati dewi Rhea. Perayaan ini juga diadaptasi oleh agama-agama lain yang menyambutnya bersesuaian dengan kepercayaan dan cara masing-masing seperti masyarakat di India yang menyambut Durga-puja.[1]
GALAKAN BERBUAT BAIK KEPADA IBU
Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan kedua ibu bapa. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan tentang kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap keduanya. Firman Allah SWT:
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. (Surah al-Ahqaf :15)
Imam al-Maraghi menafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas kasihan kepada kedua ibu bapanya dan berbakti kepada mereka semasa hayat dan juga selepas kematiannya. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka yang menderhakai keduanya maka perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar.
Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka merupakan golongan banyak melakukan kebajikan, golongan yang lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian. Ini sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana Nabi SAW bersabda bahawa seorang ibu berhak mendapat layanan kebaikan tiga kali ganda lebih daripada seorang bapa[2].
SAMBUTAN HARI IBU MENURUT ISLAM
Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu:
HARAM
Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Menurut Imam al-San’ani, hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bida‘ah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.[3]
Tambahan pula, Imam al-Damiri menjelaskan:
يعزر من وافق الكفار في أعيادهم
Maksudnya: “Sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka perlu dijatuhkan hukuman takzir (oleh pemerintah).” [4]
Sheikh al-Bujairimi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mengikuti orang-orang kafir adalah melakukan apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam pada hari perayaan mereka, dan hukum perbuatan ini adalah haram.[5]
HARUS
Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan. Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu. Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.
Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.[6] Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.[7]
Pandangan ini tidak bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama mazhab Syafi’i di atas kerana maksud haram adalah jika peniruan itu berunsurkan upacara agama. Manakala, sambutan hari ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat.
Kesimpulan
Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Seiring dengan perubahan masa, sambutan ini tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Wallahu A’lam.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan