Soalan :
Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Realiti yang berlaku, aduan gangguan seksual terhadap berlainan jantina semakin meningkat saban hari. Pelbagai usaha kementerian untuk memberi kesedaran dengan pelbagai kempen mahupun seminar dilaksanakan. Persoalannya, apakah garis panduan yang lengkap dalam menjelaskan permasalahan ini ? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan :
Pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (ikhtilat) hanya dibenarkan pada keadaan – keadaan tertentu seperti urusan darurat dan urusan keperluan yang melibatkan muamalat sesama manusia berkaitan kemasyarakatan seperti urusan jual beli, penyaksian, urusan kerja, politik, urusan menuntut ilmu, jihad dan keperluan menjalankan urusan kebiasaan seharian. Keharusan ini dibenarkan dengan batas – batas yang ditetapkan oleh syarak dan tertakluk pada nilai-nilai adab.
Garis panduan Islam berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti berikut :
- Tidak berkhalwat (berdua-duaan) di tempat tertutup sekiranya tiada sebarang urusan darurat atau urusan keperluan mendesak.
- Menutup aurat dengan sempurna ketika berhadapan dengan berlainan jantina.
- Menjaga serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika berurusan secara langsung.
- Golongan perempuan tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki asing serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
- Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan
Secara asasnya, perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama. Namun, terdapat keharusan dalam situasi-situasi tertentu dengan syarat ia mestilah berpandukan syarak. Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr:
أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَر ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ” . ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ” لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut, ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut dan beliau tidak menyukai perkara itu, lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: “Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas para fuqaha mazhab menyatakan bahawa pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram adalah haram kerana perbuatan itu dianggap menjerumus diri kepada perbuatan mungkar yang boleh menjatuhkan maruah dan kesolehan seseorang.
Justeru, pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi yang melibatkan pertemuan dalam satu tempat untuk berkomunikasi dan berurusan secara langsung hanya dibenarkan pada keadaan – keadaan tertentu seperti urusan darurat, keperluan dalam menjalankan urusan kebiasaan harian sepertimana berikut:
Urusan Darurat
Imam al-Nawawi menyatakan pengharaman khalwat lelaki dan wanita termasuk juga dalam bab berdua-dua menunaikan solat. Namun pengecualian bagi kes-kes dalam keadaan darurat seperti terjumpa wanita ajnabi yang tersesat di jalanan, maka boleh menemaninya atas dasar keselamatan sekiranya wanita takut ditinggalkan.
Urusan Keperluan
Urusan keperluan melibatkan muamalat sesama manusia berkaitan kemasyarakatan dan keperluan urusan seharian seperti urusan jual beli, maka harus melihat ajnabi dalam urusan jual beli, mengambil dan memberi sesuatu barangan dan seumpamanya.[4] Selain itu, urusan penyaksian, urusan kerja, politik, urusan perdagangan, urusan menuntut ilmu, jihad, urusan melayani dan memuliakan tetamu yang hadir.
Salah satu pergaulan yang biasa berlaku pada zaman kini ialah pergaulan wanita dan lelaki dalam sesetengah kalangan masyarakat apabila sanak saudara berkunjung-mengunjung pada satu sama lain atau apabila kawan-kawan saling mengunjungi, maka berlakulah pergaulan antara wanita dan lelaki di mana mereka semua duduk dalam satu ruang atau semua makan di satu meja. Oleh itu, pergaulan jenis ini dibenarkan dan mestilah tertakluk dengan nilai-nilai adab dan hukum hakam berkaitan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, menjaga pandangan serta tidak melunakkan suara dengan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).
Syeikh Abdul Hamid al-Syarawani juga menyebutkan bahawa garis penentuan pergaulan antara lelaki dan wanita yang diharamkan berdasarkan situasi yang mengundang fitnah:
أَنَّ الْمَدَارَ فِي الْخَلْوَةِ عَلَى اجْتِمَاعٍ لَا تُؤْمَنُ مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً، بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا فِي الْعَادَةِ فَلَا يُعَدُّ خَلْوَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah perkumpulan antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat (yang dilarang).”
GARIS PANDUAN PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
- Tidak berkhalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sekiranya tiada sebarang darurat atau keperluan. Hal ini kerana, larangan berkhalwat telah jelas dinyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya”. (Riwayat Muslim)
- Tidak melakukan sebarang urusan secara berdua-duaan di tempat-tempat tertutup bagi mengelakkan fitnah serta menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada zina atau permulaan zina. Dalam satu kaedah fiqh disebutkan:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”
- Menutup aurat dengan sempurna dan menjaga batas-batas dalam berpakaian terutamanya bagi golongan wanita di mana mereka perlulah bersederhana ketika berhias diri.
- Menjaga dan menundukkan pandangan sesama berlainan jantina.
- Golongan perempuan tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki asing serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
- Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَه
Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram). (Riwayat Al-Thabrani)
Kesimpulan
i. Asas pergaulan yang melibatkan percampuran antara lelaki dan wanita hanya dibenarkan pada urusan darurat dan urusan keperluan bagi muamalat seharian sesama manusia.
ii. Hal tersebut dibenarkan selagi tidak menimbulkan sebarang fitnah di samping menjaga batas-batas pergaulan serta garis panduan yang telah ditetapkan syariat dan memelihara nilai -nilai adab.
Wallahu A’lam.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan