Guru saya yang bernama Too Lee Eng itu memang bernasib baik. Kalau hukuman yang dikenakan kepada kami dahulu, dilakukannya sekarang, pasti Cikgu Too Lee Eng itu sudah disaman RM10 juta. Paling tidak pun, dia akan dihamun oleh ibu bapa, atau diberi teguran keras oleh jabatan pendidikan, atau diarah bertukar 24 jam ke sekolah nun di hujung peta Sabah.
Tetapi Cikgu Too Lee Eng ‘bertuah’ kerana hukuman itu dilakukannya lebih 40 tahun lalu, ketika saya dalam darjah empat. Hukumannya kepada kawan-kawan saya yang membuat bising, tidak membuat kerja sekolah atau tidak membawa buku, ialah dihantuk dahi ke bucu pintu yang tajam itu. Benjol-benjol kepala kawan-kawan saya.
Ada kalanya Cikgu Too Lee Eng menghukum mereka makan kapur. Atau, berdiri separuh dengan kedua-dua tangan lurus ke hadapan, seperti menunggang scrambler. Ada kawan saya yang tergolek ke lantai sebab terlalu lenguh pelipat lututnya. Kawan saya itu kemudiannya menangis.
Berbagai-bagai hukuman dilakukan oleh Cikgu Too Lee Eng, tetapi saya yakin 100 peratus, cikgu bahasa Inggeris saya itu tidak pernah disaman, ditahan polis atau diserang oleh ibu bapa kami.
Cikgu Muain juga bernasib baik kerana tidak pernah disaman atau dikejar oleh ibu bapa dengan parang, mahupun dikenakan tindakan disiplin kerana selalu melempang pelajar yang malas dan membuat bising.
Saya masih ingat, suatu tengah hari sebelum kami masuk ke kelas, seorang kawan saya yang berbadan besar telah membuat bising di kaki lima sekolah. Cikgu Muain yang berbadan gemuk dan sedang mengajar pelajar darjah enam, rasa terganggu.
Beliau keluar dari kelas dan terus menengking, “Hoi! *&%*#@!!!” Kawan saya itu terkejut, dia terus meraung hingga terkencing di dalam seluar!
Saya pernah kena lempang dengan Cikgu Sahak kerana gagal menyiapkan kerja matematik semasa dalam darjah lima. Saya pernah didenda berdiri di atas kerusi, berdiri semasa perhimpunan dan kena marah. Tetapi saya tidak pernah memberitahu bapa saya sebab saya tahu, kalau saya beritahu, maka saya akan dilempangnya lagi.
Semasa di sekolah menengah, ada seorang guru kami bernama Cikgu Onn yang mengajar matematik. Guru berbadan gemuk ini sangat ditakuti kerana suka melempang pelajar.
Suatu hari, seorang kawan kami yang kami gelarkan Jalut, tertinggal lagi buku matematiknya. Apa yang berlaku selanjutnya ialah…
“Mari sini, saya nak kasi awak kompang Melayu!” kata Cikgu Onn, lalu pang! pang! pang! Dia melempang muka Jalut dengan kedua-dua belah tangan kiri dan kanan, berlepak lepuk lima enam kali.
Jalut tahan. Dia tidak menangis.
“Oo… tahan ya, kuat ya, mari saya kasi kompang Jawa!” Pang! Pang! Pang! Pang! Pang! Pang! Pang! Ppaannnggg!!! Pipi Jalut merah. Telinga pun merah juga. Tapi Jalut masih tidak menangis. Dia masih boleh bertahan walaupun mukanya sudah sebik.
“Oo… tahan ya, kuat ya… nah saya kasi kamu kompang ke**ng pulak!” lalu Cikgu Onn pun menghayunkan kedua-dua tapak tangannya dan… PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PAAANNNGGGG!! PPPAAANNNGGG!!
Waaaaaaaa…!!!! Jalut terus meraung sambil menekup kedua-dua belah pipinya. Dahsyat betul pelempang ke**ng itu. Bukan saja Jalut, ramai lagi pelajar yang telah dikompang-kompang oleh Cikgu Onn.
Di sekolah kami dahulu, semua pelajar takutkan Cikgu Onn. Maka, akibat takut, tiada siapa yang berani meninggalkan buku latihan atau teks, atau tidak menyiapkan kerja sekolah. Ketika belajar, kami akan sentiasa fokus kerana ada kalanya Cikgu Onn akan menyoal secara tiba-tiba. Kalau tidak dapat jawab, jadilah macam Jalut.
Tetapi kejadian itu berlaku lebih 40 tahun lalu, ketika semua kita, baik murid mahupun ibu bapa begitu hormat kepada guru. Biar macam mana teruk dan kasar pun hukuman yang dikenakan, tidak pernah ibu bapa datang menyerang guru. Apatah lagi hendak menyaman guru.
Zaman dahulu, kami akan pengsan tiga kali kalau dengar kejadian murid memukul guru, atau memperkosa guru sendiri. Ketika itu juga, kami akan menjadi pelik kalau ada ibu bapa yang menyerang guru mahupun mengetuk kepala guru yang marahkan anaknya.
Zaman dahulu, walau segarang mana pun guru itu, dia sangat dihormati. Ini menyebabkan kami, juga generasi bapa serta datuk dan nenek kami, menjadi manusia yang patuh dan tahan lasak. Kami tahu, kami dihukum kerana kami membuat salah.
Ibu bapa tidak menyerang guru kerana mereka telah memberikan sepenuh hak dan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka itu kepada guru. Tamparlah. Rotanlah. Marahlah. Mereka tahu, itu hak guru kepada anak mereka yang melakukan kesalahan.
Bayangkan kalau apa yang dilakukan oleh Cikgu Too Lee Eng, Cikgu Muain, Cikgu Sahak dan Cikgu Onn itu dilakukan sekarang? Apa yang terjadi kepada mereka agaknya?
Terima kasih, cikgu. Dari Cikgu Too Lee Eng, saya belajar supaya sentiasa fokus kepada pelajaran. Dari Cikgu Sahak, saya belajar supaya jangan abaikan kerja sekolah. Begitu juga dengan Cikgu Onn, serta cikgu-cikgu lain, yang saya belajar dari mereka tentang pentingnya ilmu, perlunya taat kepada ibu bapa dan mustahaknya kita mempunyai cita-cita.
Sebenarnya, guru menjadi garang kerana mereka sayangkan kita. Hanya kita yang belum mengerti. Tetapi guru bukan hanya di sekolah mahupun di universiti sahaja. Guru sebenarnya berada di mana-mana, di sekeliling kita, selagi kita menganggap diri kita adalah murid yang sentiasa dahagakan ilmu.
Selamat Hari Guru.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram