Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menunjukkan surat arahan MPT bersatu yang akan dihantar kepada 6 ahli parlimen dan seorang ADUN yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

ENAM Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberi respons dalam tempoh 14 hari ke atas arahan surat bertulis yang dihantar oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kegagalan Ahli-Ahli Parlimen mengakui menerima dan mengesahkan pematuhan arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan tersebut iaitu hari ini akan menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta mengikut Fasa 10.4 Perlembagaan Bersatu.

“Arahan-arahan yang saya hantar sebagai Setiausaha Agung diterima oleh semua ahli-ahli dan mereka akan kembalikan kepada kita mengikut arahan yang tercatat dalam surat yang saya hantar kepada mereka.

“Surat telah pun saya hantar melalui emel, kurier dan melalui tangan.

“Arahan yang kita berikan adalah supaya mereka tahu sebagai ahli parti mereka mempunyai tanggungjawab di bawah perlembagaan Bersatu, pertamanya untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar dan matlamat parti khususnya yang termaktub dibawah Fasal 91,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah menjelaskan, kepimpinan parti telah membuat ketetapan bahawa tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui oleh Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya lagi, surat arahan itu diberikan kepada semua Ahli Parlimen Bersatu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Namun katanya, arahan khusus diberikan kepada enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah menyokong kerajaan pimpinan Anwar.

“Pertama mesti mematuhinya, kedua mematuhi arahan pimpinan dan Ketua WHIP, ketiga memastikan bahawa mereka akan mengumumkan tidak menyokong kerajaan hari ini, memastikan mereka tidak memberikan sokongan dalam apa jua cara pun.

“Banyak lagi yang kita telah berikan, iaitu kita mahu mereka mematuhi, mendokong dan bersikap setia kepada perjuangan, semangat dan pendirian Parti BERSATU seperti yang dihasratkan dan termaktub di bawah Fasal 91 Perlembagaan Bersatu,” katanya lagi.

Pada 2 April lalu, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram