Seelok-eloknya anak-anak mula tidur berasingan dengan ibu bapa tatkala mereka berumur dua tahun. Ini kerana mereka mungkin sudah mula faham akan perlakuan orang dewasa yang tidak sepatutnya mereka lihat.
Di samping itu, tidur berasingan di bilik sendiri juga akan menimbulkan sikap berdikari, bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri mereka.
Langkah pengasingan tempat tidur bermula seawal mungkin di setiap peringkat umur anak. Lebih awal ia dimulakan, lebih mudah proses ini dilakukan tanpa drama-drama yang tidak diingini.
Peringkat bayi: walaupun bayi anda tidur sebilik, seelok-eloknya ia tidur di tempat berasingan iaitu di katil bayi tersendiri. Ini bukan sahaja selamat dan menyelesakan, ia juga merupakan permulaan latihan tidur berasingan kelak. Jika ia perlu menyusu, ia boleh tidur sebentar di katil ibu bapa, tetapi selepas itu ia diletakkan kembali di tempatnya tersendiri.
Peringkat umur setahun: seeloknya katil bayi dijauhkan sedikit tetapi di dalam bilik yang sama. Pastikan katil ini hanyalah untuk tempat tidur malam, bukannya tempat bermain. Hiasi katil ini dengan corak-corak yang anak suka seperti karakter kartun, gambar kereta, binatang dan sebagainya.
Peringkat umur dua tahun: perkenalkan mereka kepada bilik sendiri atau dikongsi dengan abang atau kakak. Tetapi setiap anak seeloknya mempunyai katil dan tilam sendiri, dan katil dua tingkat boleh digunakan jika rumah tidak mempunyai bilik yang mencukupi.
Bawa mereka membeli-belah akan cadar dan sarung bantal baru yang mereka gemari, dengan karakter-karakter menarik hati. Hiasi bilik mereka dengan cat dan lukisan baru.
Kemaskan almari dan meja belajar sebaik mungkin. Jika mampu, boleh juga beli perabut baru. Ini akan membuatkan mereka teruja untuk tidur di bilik sendiri pada malam itu juga!.
Risiko anak terlihat perlakuan seksual jika tidur bersama ibu bapa!
– Berhati-hati dan elakkannya sama sekali: jangan ambil risiko dan menganggap anak telah tidur kerana mereka boleh terjaga atau sememangnya belum tidur. Jika anak ternampak, itu sudah terlambat dan akan timbul kesan yang tersendiri. Banyak terdapat kes-kes di mana anak-anak berumur 5 – hingga 10 tahun yang pernah cuba mengulangi perlakuan ibu bapa tadi.
– Jika anak di bawah 2 tahun dan tidak terlihat perkara ini berulangkali, mungkin tiada kesan jangka panjang kerana mereka akan cepat melupakannya. Tetapi jika mereka sudah besar (2 tahun ke atas), akan ada kesan negatif kerana mereka tidak faham apa yang mereka nampak. Ini boleh mengganggu emosi mereka dan sekiranya banyak kali berlaku, akan timbul rasa ingin tahu (curiousity) malah ingin juga mencuba aksi-aksinya. Memori ini juga akan kekal sehingga mereka remaja; tatkala itu mereka akan faham perlakuan tersebut dan mungkin teransang untuk mencubanya juga.
– Kesannya amat besar dan negatif sekali, jadi ibu bapa harus mengambil tindakan tegas dan segera memisahkan bilik dengan anak-anak untuk memastikan ianya tidak berlaku.