AKTRES Elfira Loy berkongsi perasaan gembira apabila diberi peluang menunaikan ibadah haji selepas mendapat jemputan daripada Kementerian Media Arab Saudi.
Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabari,30, memberitahu tawaran tersebut diterima selepas menghantar ibunya ke Tanah Suci Makkah beberapa hari lalu.
“Saya menyambut baik panggilan Allah melalui sambutan haji di bawah Kementerian Media Arab Saudi.
“Jemputan ini adalah di saat akhir ketika semua perancangan mereka telah selesai tapi saya anggap inilah panggilan yang sangat istimewa.
“Disaat akhir, selepas menghantar ibu ke haji, saya mendapat berita tentang jemputan ini. Allah Maha Baik, baik sangat dengan saya,” ujarnya.
Elfira berkongsi khabar gembira itu menerusi entri di Instagram miliknya.
Malah, Elfira turut sempat memohon maaf kepada semua yang pernah terasa hati sepanjang mengenali dirinya selain memohon orang ramai mendoakan perjalanan mengerjakan haji dipermudahkan.
“Saya Nurul Elfira Loy dengan rendah diri memohon maaf seandainya saya ada terguris hati dan buat anda tak senang dengan saya. Maafkan saya.
“Doakan semoga perjalanan saya tenang, mudah dan selamat. Semoga saya peroleh haji mabrur,” katanya.
Dalam satu hantaran lain di Instagram, Elfira dilihat menitiskan air mata selepas mencuba pakaian yang diberikan oleh beberapa jenama Muslimah tempatan untuk dipakai ketika di Tanah Suci Makkah.
Video tersebut mendapat sambutan hangat di kalangan peminat dan rakan artis. Ruangan komen di Instagram pelakon tersebut dipenuhi dengan ucapan dan doa yang baik.
“Selamat jalan El. Selamat pulang juga. Semoga mudah urusan El kat sana nanti, sihat, dan semoga Allah SWT angkat semua doa El dan dapat haji yang mabrur.
“Haji Mabrur In Shaa Allah, Aamiin, doakan kami.
“Tak dapat pergi tapi baju kita ikut pergi pun jadilah. Semoga haji mabrur El,” komen pengikutnya.
.