Setiap bangsa dan negara ada kisah legenda tersendiri tentang ‘hantu’. Contohnya, kalau di Malaysia ada hantu raya, di Indonesia pula mak lampir, manakala di Thailand ada Nangnak.
Kali ini, kami ceritakan tentang legenda hantu yang popular di Jepun. Jika anda peminat filem-filem seram dari negara matahari terbit ini, pasti pernah melihat watak hantu ini.
Kuchisake-Onna yang bermaksud ‘wanita mulut terbelah’ adalah hantu yang popular di Jepun. Begitu kuatnya kisah hantu (orang Jepun memanggilnya sebagai ‘yokai’) ini sehingga ia menjadi legenda untuk menakutkan kanak-kanak.
Hantu ini diceritakan adalah roh wanita dengan mulutnya ditutup dengan pelitup. Rambutnya panjang, rupanya cantik (kecuali setelah melihat mulutnya). Ia akan membawa gunting atau peralatan tajam yang digunakan untuk membunuh mangsanya.
Apabila bertemu mangsanya, ia akan bertanya, “Cantik tak saya?” Jika mangsa itu menjawab ‘tidak’, hantu ini akan membunuhnya.
Jika menjawab ‘ya’, si Kuchisake-Onna ini akan merapatkan wajahnya ke muka mangsa dan membuka pelitup mulutnya yang menunjukkan mulutnya yang terbelah dari hujung telinga kanan ke telinga kiri, lalu bertanya lagi, “Sekarang saya cantik tak?”
Jika mangsa menjawab ‘tidak’, hantu ini akan segera membunuhnya. Jika jawab ‘ya’ pula, hantu ini akan membelah mulut mangsa supaya kelihatan sama sepertinya. Senang kata, bagi jawapan apa pun, mangsa tetap akan mati!
Siapa sebenarnya Kuchisake-Onna ini? Ada beberapa versi cerita tentang asal usul hantu ini.
Kisah paling popular mengaitkan sejarah kewujudan Kuchisake-Onna ini bermula sekitar abad ke-17, sewaktu Jepun berada dalam fasa Edo. Dikatakan Kuchisake-Onna ini adalah isteri kepada seorang samurai.
Kuchisake-Onna ini wanita jelita, namun rasa kesepian kerana selalu ditinggalkan suami. Akhirnya, dia curang dengan lelaki lain. Suaminya berjaya menangkapnya semasa curang, lalu membelah mulut isterinya itu sebagai hukuman. Matilah si isteri itu dalam keadaan mulutnya yang tertoreh luas.
Selepas mati, dikatakan rohnya telah kembali untuk membalas dendam. Dari situ muncul kisah Kuchisake-Onna ini.
Ada juga versi lain yang mengatakan Kuchisake-Onna ini adalah roh wanita yang meninggal dunia setelah mulutnya dicacatkan oleh doktor gigi yang merawatnya. Kisah lain pula menyebut ia adalah wanita yang mati setelah mulutnya dibelah oleh wanita lain yang cemburu dengan kecantikannya.
Apa pun versinya, kesimpulannya tetap sama. Roh wanita yang terbelah mulutnya ini bangkit kembali untuk membalas dendam, yang ‘melahirkan’ kisah legenda Kuchisake-Onna.
Kisah Kuchisake-Onna ini pertama kali dilaporkan dalam akhbar Jepun sekitar tahun 1970-an. Ketika itu, ia digembar gemburkan sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk Jepun.
Anak-anak dilarang pulang sekolah bersendirian dan harus berjalan secara berkumpulan kerana risau terserempak dengan Kuchisake-Onna. Malah, polis dikerah untuk meningkatkan kawalan keselamatan untuk mengelakkan perkara buruk terjadi. Begitulah hebatnya penangan kisah Kuchisake-Onna ini.
Disebabkan popularnya Kuchisake-Onna, ia turut dijadikan watak yokai dalam anime, permainan video, malah turut diadaptasi ke dalam filem-filem seram Jepun.
Oh ya, orang Jepun ada bagi petua bagaimana nak lari jika bertembung dengan Kuchisake-Onna ini. Antaranya, lemparkan duit atau gula-gula. Jika hantu ini tertarik ke arah barang yang dilemparkan, itu adalah kesempatan untuk melarikan diri.
Atau, ketika Kuchisake-Onna bertanya apakah dia cantik, jawablah ‘biasa-biasa saja’. Dikatakan jawapan itu akan membuat hantu ini sedikit keliru dan ketika ia bingung, itulah peluang untuk melarikan diri.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram