Penulisan feqah mentakrifkan keputihan sebagai sesuatu yang pekat berwarna putih yang keluar dari faraj wanita. Pada kebiasaannya keluar apabila wanita hampir datang haid.
Fuqaha berpendapat bahawa batal wuduk jika sesuatu yang keluar dari faraj, sama ada mazi (keluar apabila syahwat dirangsang) atau wadi (keluar selepas buang air kecil atau kerana terlalu penat).
Justeru, tegas Dr. Anisah Abdul Ghani, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji Tabung Haji (JAKIM), fuqaha sepakat berpendapat bahawa keputihan yang keluar dari faraj wanita adalah najis dan membatalkan wuduk. Jika keputihan berlaku, wanita mestilah membersihkannya dan kemudian mengambil wuduk untuk melakukan ibadah-ibadah yang mewajibkannya wuduk seperti solat tawaf.
Artikel berkaitan: Siri 1: Pil penahan haid bolehkah diambil wanita menunaikan haji
Manakala bagi jemaah yang mengalami keputihan semasa mengerjakan haji hendaklah memakai tuala wanita atau pantyliner (pelapik seluar dalam) bagi memastikan keputihan telah keluar dari dalam faraj atau tidak.
Dr. Anisah juga memberitahu wanita yang mengalami keputihan tidak digalakkan memakai tampon atau memasukkan kapas ke dalam faraj kerana perbuatan ini akan mengakibatkan jangkitan kuman yang akan mengakibatkan penyakit.
Artikel berkaitan: Siri 2: Enam solusi bagi wanita datang haid ketika menunaikan haji
Apabila tergolong dalam najis dan batal wuduk, keputihan yang sentiasa keluar memang menyukarkan wanita melakukan ibadat. Maka tuntas Dr. Anisah lagi, hukumnya sama dengan hukum darah istihadah dan daim al hadas (berkekalan hadas), cara berwuduknya adalah sama dengan cara berwuduk dua kes di atas, iaitu:
Pertama: Membasuh faraj daripada najis keputihan
Kedua: Memakai tuala wanita atau pantyliner yang bersih di permukaan faraj
Ketiga: Mengambil wuduk setelah masuk waktu solat
Keempat: Wuduk yang diambil hanya sah untuk satu fardu atau tawaf fardu atau rukun dan beberapa sunat
Cara ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah yang menyatakan bahawa Fatimah binti Hubaisy datang menemui Rasulullah s.a.w menceritakan tentang kedudukan darah istihadahnya, lalu Baginda s.a.w. bersabda,“
“Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap (waktu) solat dan solatlah” (HR Abu Daud)
Justeru, Dr. Anisah menjelaskan, bagi jemaah haji wanita yang mengalami keputihan ketika hendak melakukan ibadah tawaf, dia perlu mempersiapkan diri dengan wuduk dan memakai pantyliner sebelum memulakan tawaf, kemudian jika di pertengahan tawaf itu, dia merasa seakan ada cecair yang keluar yakni keputihan, maka dia perlu berhentikan tawafnya dengan serta merta.
Kembali menyucikan faraj dan memakai pantyliner yang bersih dan berwuduk, kemudian sambung kembali di tempat dia berhenti sebelum ini. Jika pusingannya telah dilakukan sebanyak dua kali, maka dia mulakan dari tempat dia berhenti dan sambung dengan lima kali pusingan kali. Barulah tawafnya sempurna. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram