SHOWCASE Jiwa Kacau telah melabuh tirai dengan penuh kejayaan menerusi penerima anugerah Malaysia Book of Records pada Sabtu lalu.
Setelah berjaya menarik hampir 8,000 peminat pada Showcase Jiwa Kacau 2023, MND Sport & Event Sdn Bhd kini berkolaborasi dengan Kopi Saigon sebagai penaja utama dengan bangga membawa kembali Hujan, Masdo, Bunkface, dan Insomniacks dalam memeriahkan panggung bagi sesi 2024.
Difahamkan, konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kugiran dari Indonesia iaitu Nidji, serta penampilan khas solois tempatan, Luqman Podolski yang meninggalkan momen tersendiri.
Menurut Daniel Harith selaku penganjur dan ketua eksekutif MND Sport & Event Sdn Bhd meluahkan rasa syukur diatas sokongan orang ramai yang sudi hadir memeriahkan pentas gemilang ini dalam memartabatkan karya industri tanah air.
“Showcase Jiwa Kacau 2024 memperlihatkan pertambahan dua lagi pemuzik yang akan menghangatkan malam pesta ini.
“Enam penampilan penuh energatik yang telah menghiburkan pengunjung pada malam Showcase Jiwa Kacau 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 Jun 2024.
“Showcase Jiwa Kacau 2024 bukan hanya menjadi tempat bersuka ria atau pesta semata-mata tetapi penganjuran ini menjadi medan berkembang, semarak sekali gus melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi kini dan akan datang,” ujarnya.
Konsert gilang-gemilang ini telah disambut baik dengan 15,000 penonton dari pelbagai usia, negeri dan negara yang menjadikan penjenamaan Jiwa Kacau kali kedua ini lebih meriah dan luar biasa.
Sebanyak 43 buah lagu telah dipersembahkan dengan penuh kemeriahan oleh bintang-bintang band terkenal dari tanah air, disertai dengan pertunjukan warna-warni bunga api pada setiap lagu dan akhir acara.
Malah, konsert yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ini turut menerima penghargaan dengan penerimaan sijil dari Puan Siti Hajar Johor dari Malaysia Book of Records dan Encik Iliyas Jamil, yang disampaikan kepada Encik Harith Daniel, CEO MND Sports & Events atas pencapaian tersebut.