Menyikat rambut adalah satu rutin harian yang dilakukan orang setiap hari, tidak kira lelaki, perempuan, kecil atau dewasa. Namun, pernahkah anda mendengar tentang satu penyakit aneh, di mana penghidapnya tidak boleh menyikat rambut? Jika rambutnya disikat, ia boleh membawa maut!
Ya, penyakit aneh begini memang wujud. Salah seorang yang dilaporkan berkaitan kes begini ialah Megan Stewart, seorang perempuan dari Glasgow, Scotland.
Kes Megan pernah membingungkan dunia perubatan lebih sedekad yang lalu. Kisahnya bermula apabila si ibu mahu menyisir rambut Megan sewaktu gadis itu akan memulakan hari pertama persekolahannya.
Namun, berlaku perkara tidak di duga apabila anak gadisnya itu tiba-tiba jatuh pengsan sewaktu rambutnya sedang disikat. Bibirnya berubah warna menjadi biru. Sangka si ibu, anak gadisnya mungkin terkena serangan jantung. Lalu, dia segera menghubungi paramedik.
Megan dimasukkan ke Hospital Yorkhill di Glasgow. Di situ, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar kanak-kanak yang berpengalaman. Bagaimanapun, keputusan kesihatan yang diterima tidak menggembirakan.
Megan disahkan mengalami masalah ‘Hair Brushing Syndrome’. Ahli perubatan mengesahkan penyakit tersebut adalah sangat anomali dan tidak pernah ditemui daripada mana-mana pesakit sebelum ini.
Hair Brushing Syndrome atau Sindrom Menyikat Rambut yang dihidapi Megan dikatakan menjadi punca kenapa gadis itu pengsan secara tiba-tiba semasa ibunya menyisir rambutnya. Sindrom ini merupakan satu keadaan yang memaksa gadis ini untuk tidak menyisir rambutnya. Ini kerana perbuatan menyikat rambut menggunakan sisir plastik menyebabkan berlaku pergeseran cas elektrik statik. Renjatan cas ini boleh menyebabkan penghidapnya pengsan.
Lazimnya, penghidap sindrom ini bukan saja tidak boleh menyikat rambut tetapi mereka juga tidak boleh menyentuh objek yang boleh mengecas seperti belon getah atau baju berbahan poliester. Pesakit sindrom ini juga perlu mengelakkan diri daripada apa saja aktiviti yang boleh menyebabkan berlaku pergerakan cas elektrik statik dalam kehidupan seharian mereka.
Pendek kata, aktiviti seumpama itu seperti toksik atau musuh yang sangat merbahaya dan harus dijauhi kerana hal sekecil itu boleh menyebabkan mereka mati.
Berapa lama mereka harus mengelakkan diri daripada terkena elektrik statik masih tidak dapat dipastikan. Tapi berkemungkinan tindakan menjauhi arus tersebut adalah untuk seumur hidup.
Pun begitu, sekiranya pesakit tetap mahu menyisir rambut, mereka harus melakukannya ketika rambut dalam berkeadaan basah atau lembap. Ini adalah satu-satunya cara yang membolehkan pesakit menyikat rambut tanpa mengancam nyawa mereka.
Jika ditanya kenapa elektrik statik boleh membunuh pesakit Hair Brushing Syndrome, ahli perubatan sendiri masih tidak ada jawapan tepat tentang kondisi ganjil tersebut. Namun demikian, terdapat satu teori mengatakan elektrik statik yang terhasil daripada tindakan menyikat rambut boleh menyebabkan otak pesakit dengan serta-merta berhenti dan terkunci.
Dipercayai setiap kali adanya aliran elektrik statik, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Akibatnya, otak dengan sendiri menghantar isyarat ke jantung dan paru-paru untuk berhenti menyebabkan pesakit tiba-tiba pengsan. Lebih malang lagi, ia boleh membawa maut.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram