GAMBAR HIASAN

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

SEJAK belakangan ini pelbagai isu melanda ranah ketenangan di bumi ini. Ada saja isu meliputi ekonomi, sosial, pendidikan, bahasa dan lain-lain.

Keterjaminan makanan masih dibumbui dengan masalah kartel, gred beras yang bercampur, bekalan telur ayam dan bekalan minyak masak yang dihadkan paketnya umpama yoyo.

Dalam bidang pendidikan pula, menteri yang berkenaan begitu pantas cuba menambah baik sejak memegang jawatan dengan pelbagai menu dan terbaharu seperti diumum sempena hari guru sebagai hadiah oleh kementerian berkaitan kesejahteraan guru melalui pakej pelancongan, usaha pendigitalan dan lain-lain.

Sebenarnya antara kebajikan yang hampir dilupai ialah kemudahan bilik guru yang lebih kondusif untuk semua sekolah dan bukan sekadar bergantung kepada inisiatif sekolah ternama tertentu sahaja. Moga cerita satu ketika dahulu perkongsian meja dan kerusi oleh staf sesi pagi dan petang tidak berulang dalam era kini.

Alangkan pembantu tadbir di mana-mana pejabat kerajaan pun tidak berkongsi komputer pejabat dan lain-lain. Berbeza dengan staf guru di banyak sekolah yang kerap berbelanja gaji sendiri dan baru-baru ini bonus untuk membeli peralatan, bahan bantu mengajar serta hiasan kelas.

Pernah dulu jadi gurauan bahawa jururawat dan doktor juga sepatutnya membeli jarum suntikan sendiri atau polis juga membeli sendiri pistol dan peluru untuk bertugas.

Namun daripada pemerhatian penulis semenjak era 1970-an, bahasa masih menjadi isu kritikal yang melanda alam pendidikan, umpama yoyo yang pasang surutnya kerana tiada keberanian untuk menanganinya secara jujur dan baik. Jika tidak ditangani isu bahasa boleh terus menenggelamkan usaha murni oleh sang menteri selama ini malah sehingga kerajaan selepas PRU-17.

Antara yang menjadi perhatian umum ialah kisah menteri dan timbalan menteri bukan pendidikan mengumumkan bantuan beribu dan berjuta ringgit untuk sekolah vernakular yang telahpun diputuskan oleh mahkamah sebagai bukan badan awam. Berperlembagaan atau tidak biarlah Menteri Pendidikan yang membuat pengumumannya kerana dalam perlembagaan memang tidak disebut langsung tentang sekolah berkenaan kecuali institusi agama Islam.

Pengumuman yang seolah-olah “memandai-mandai” oleh menteri lain, menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak. Bayangkan jika Menteri Pertanian yang mengumumkan peruntukan membeli kapal selam untuk pasukan keselamatan. Kan aneh bunyinya, atau Menteri Pendidikan sendiri mengumumkan syarat permit import kenderaan dilonggarkan atau lesen mengimport daging ditambah.

Pengumuman juga telah dibuat oleh menteri tentang bantuan sebanyak RM150 juta kepada 1,276 buah sekolah agama dan RM15.7 juta kepada 63 buah sekolah menengah persendirian Cina.

Masing-masing sekolah agama dikatakan mendapat RM117,500 sebuah manakala sekolah Cina mendapat RM250,000 sebuah. Rakyat terlebih cerdik sekarang dan sudah mula mengira-ngira sehingga angka sen terkecil.

Jelas walaupun peruntukan terlihat besar bagi pendidikan agama Islam yang memang termaktub dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi jumlah sebenar adalah kecil, tidak sampai separuh pun peruntukan bagi sekolah persendirian tersebut kerana jumlah sekolah yang banyak.

Malah difahamkan peruntukan yang tiba di sekolah lebih kecil atau tidak sampai langsung atas pelbagai sebab seperti prosedur dan birokrasi.

Ada ketika penulis pernah mengira bantuan kewangan yang diberi pada suatu tahun mampu menghidang sebungkus nasi lemak dan secawan minuman bagi setiap pelajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan tetapi pada masa yang sama hanya sebungkus nasi lemak dan secawan teh yang harus dikongsi oleh 100 orang pelajar di sekolah kebangsaan.

Hal ini berlaku kerana nisbah bantuan diberi dianggap sudah cukup besar tanpa mengambil kira perkapita bagi setiap pelajar.

Bermula ketika kerajaan 22 bulan dahulu seolah-olah diwarisi kini kerap juga kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan yang difahamkan tidak mempunyai kuasa eksekutif dan tidak boleh mengganti kehadiran menteri dalam mesyuarat Kabinet turut membuat pengumuman penting, bantuan yang jelas terlihat seakan dialah menteri penuh.

Seterusnya muncul pula isu bahasa Inggeris di Sarawak sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu termasuk di Dewan Undangan Negeri, yang bermula dengan pertukaran nama jawatan daripada Ketua Menteri kepada Premier.

Adakah kita juga mahu mengatakan bahawa jawatan Perdana Menteri akan lebih tinggi statusnya jika ditukar kepada Prime Minister?

Sarawak juga dengan cepatnya mengumumkan pengiktirafan terhadap UEC, menambah “sekolah DLP”, mewujudkan sekolah aliran Inggeris tanpa melihat secara mendalam kesan buruk jangka panjang bagi keseluruhan sistem pendidikan di Malaysia yang seharusnya lebih seragam terutama tentang hal dasar.

Natijahnya, jelas sukar untuk mereka yang rasional mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dalam semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan di Malaysia tidak akan tergugat langsung.

Realiti yang pasti berlaku, bahasa Melayu akan lebih berisiko untuk dipinggirkan akibat minda dan mentaliti yang masih terjajah dan hidup dalam bayangan anglophile.

Perjanjian Malaysia 1963 kerap dijadikan alasan untuk menghalalkan semua usaha berkaitan penggunaan bahasa Inggeris selain hujah klise demi memajukan negeri dan anak bangsa.

Hujah tersebut jelas menafikan sejarah dan fakta di depan mata bahawa semua negara di dunia telah membangun dengan pesatnya melalui bahasa sendiri dalam semua bidang sains dan teknologi seperti pertanian, persenjataan, aeroangkasa, perkapalan, ekonomi dan perniagaan.

Lihatlah Jerman, Perancis, China, Rusia, Turkiye, Belanda, Denmark, Finland, Norway, Sepanyol, Korea, Jepun dan terbaru Vietnam, Thailand dan lain-lain. Banyak negara di Afrika dan Filipina di timur yang kekal meminjam bahasa negara maju Inggeris dan Perancis sebagai bahasa pentadbiran dan pendidikan, kekal mundur dan miskin.

Semua hujah berfakta dan bukti jelas tentang kepentingan dan keupayaan membangun dan memajukan negara ini melalui bahasa Melayu telah pun dikemukakan semasa “perang PPSMI” (2003-2009) dahulu.

Malah DLP (“sepupu” PPSMI) yang juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud urusan rasmi pendidikan iaitu pengajaran masih lagi “berleluasa” di hampir 1,000 sekolah, belum kelihatan ada bayang tindakan yang berani di pihak kementerian untuk memansuhkannya walaupun sudah cukup berpengalaman dengan PPSMI yang berjaya meruntuhkan upaya besar bahasa Melayu di universiti di samping bercanggah dengan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan.

Satu lagi bencana menimpa majoriti pelajar Melayu dan lain-lain sehingga jelas beberapa tahun kebelakangan ini ialah peratus pelajar yang mengikuti jurusan sains dalam sistem pendidikan merosot dengan banyaknya sehingga tinggal kira-kira 20 peratus.

Ini sangat membimbangkan kerana pelan asal pembangunan pendidikan mensasarkan nisbah pelajar jurusan sains sebanyak 60-40 berbanding jurusan sastera.

Hal ini sebenarnya bermula sejak PPSMI dilaksanakan dan disambung pula oleh DLP. Hakikat yang benar bahawa STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, matematik) lebih mudah dipelajari dalam bahasa Melayu yang lebih merakyat wajib diakui.

Kajian yang banyak berkaitan keburukan PPSMI patut menjadi rujukan tentang kesahihan tersebut. Jelas juga terlihat kerana seperti PPSMI, program (?) DLP juga hanya “dipaksakan” kepada sekolah kebangsaan tetapi tidak bagi sekolah jenis kebangsaan.

Ini juga sesuatu yang aneh. Mengapa? Jika bagus sepatutnya semua sekolah tersebut dipaksa atau mereka sendiri sukarela untuk melaksanakannya. Bahasa Melayu sebagai bahasa sains teknologi juga terjejas sehingga di peringkat universiti.

Belum terlambat untuk kementerian bertindak dengan berani dan tegas memansuhkan DLP tanpa ragu atau bersalah. Lagi pun DLP bukanlah agenda Menteri Pendidikan sekarang tetapi merupakan “tipu helah” oleh menteri dan kerajaan terdahulu.

Janganlah ditanggung biawak hidup itu lagi yang berupa angkara kerajaan dahulu. Jika tidak, tiadalah bezanya dengan kerajaan dan menteri dahulu sedangkan pimpinan tertinggi sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pejuang bahasa kebangsaan pada satu ketika dahulu.

Ayahanda Menteri Pendidikan kini juga mantan pejuang bahasa, amat gigih dan disegani pada zamannya. Semua pegawai tinggi di kementerian perlulah berani menasihati menteri, menyatakan yang benar walaupun pahit demi pendidikan anak bangsa dan negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi, bukan bahasa penghantar bagi subjek sastera dan sains sosial sahaja. Tuan-tuan akan terus bertugas sedangkan menteri mungkin bertukar setiap lima tahun kerana kalah dalam pilihan raya, dipecat atau ditukar kementerian.

Namun begitu nampaknya masih banyak pemimpin negara dan pemimpin pendidikan yang terpukau dengan bahasa Inggeris akibat penjajahan minda yang teramat dahsyat selama lebih 60 tahun seperti yang pernah diungkap oleh pemikir tersohor Malek Bennabi.

Menguasai bahasa kedua seperti Inggeris misalnya, memang diakui penting tetapi bukanlah sehingga perlu belajar semua mata pelajaran dalam bahasa asing dan lebih sukar berbanding bahasa negara ini yang lebih merakyat, mudah dan telah dikuasai?

Kesukaran akan berganda bagi mata pelajaran yang susah kerana dipelajari dalam bahasa yang asing daripada kebiasaan di rumah dan kehidupan khususnya bagi anak-anak di desa dan pedalaman.

Seperkara lagi berkaitan isu bahasa penghantar pendidikan di Sarawak dan Sabah. Tidakkah aneh atau kelihatan terasing daripada majoriti negeri yang lain dalam “Persekutuan Malaysia” apabila diwujudkan kembali aliran Inggeris di samping terus meminggir bahasa Melayu sebagai bahasa sains?

Data dahulu dan SPM terbaru menunjukkan prestasi pelajar masih rendah walaupun bahasa Melayu digunakan. Sejauh mana handalnya penguasaan bahasa Inggeris pelajar di pedalaman dan di rumah panjang berbanding mungkin sepuluh peratus majoriti pelajar golongan T20 di bandar? Kita perlu lebih mengutamakan majoriti pelajar dan bukannya golongan elit T20 yang lebih selesa dengan bahasa asing.

Perjanjian tetaplah perjanjian jika itulah alasannya, tetapi di manakah semangat kebersamaan dalam negara Malaysia, semangat kekitaan, esprit de CORP sebagai sebuah persekutuan yang bersekutu untuk menjadi bertambah mutu jika ada yang mahu secara sendiri-sendiri apatah lagi sesuatu yang berkaitan dengan asas jati diri negara yang merupakan pancang utama sesebuah negara iaitu bahasa rasmi, bahasa kebangsaan? Bagaimanakah keadaannya jika lebih banyak negeri yang mahu mewujudkan kelainan tertentu tentang bahasa rasmi bagi kerajaan negeri dan bahasa penghantar pendidikan di sesebuah negeri?

Merujuk Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan tentang perlindungan tambahan bagi Sabah dan Sarawak juga ada menyatakan tentang penggunaan bahasa Inggeris yang dibenarkan tetapi sehingga selepas hari Malaysia yang bermakna sehingga 1975.

Justeru roh dan semangat persekutuan dalam negara Malaysia yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adakah tidak munasabah langsung untuk dihayati dan dihormati? Apakah Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan dianggap tarafnya lebih rendah daripada suatu perjanjian dan boleh disanggah sewenangnya sedangkan wujud klausa yang menyebut bahawa Perlembagaan Negeri sendiri pun akan terbatal jika bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Bahawa kepentingan persekutuan wajiblah diutamakan sebagai aspirasi nasional berbanding dengan aspirasi pemimpin negeri selaras dengan cogan jata negara, Bersekutu Bertambah Mutu.

Merujuk tentang sekolah vernakular pula, keputusan mahkamah ialah bahasa Mandarin boleh digunakan. Umum banyak orang yang melihat setakat keputusan itu sahaja. Hampir tiada yang meneliti mengapa “dibolehkan”. Ya, dibolehkan kerana alasan penghakiman sekolah tersebut adalah “bukan badan awam”. Mudah fahamnya bukan milik kerajaan. Kita menerima keputusan yang telah dibuat walaupun rayuan kepada mahkamah tertinggi, Persekutuan tidak diberi kebenaran. Cumanya, jika institusi tersebut bukan badan awam, kita tertanya-tanya juga, milik siapakah entiti itu? Siapakah yang selama ini membiayai semua kos pengurusannya yang meliputi tapak sekolah, kos pembinaan, kos latihan guru, gaji, elaun, bayaran pencen bulanan, bayaran gratuiti guru dan staf bukan badan awam tersebut yang berjumlah bukan sedikit sejak 1957 hingga sekarang dan seterusnya?

Wajarkah terus dibiayai berpuluh juta jika dikatakan mahkamah bukan badan awam? Daripada manakah punca kuasanya kebenaran menanggung semua kos tersebut kerana tiada sebarang peruntukan dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tentang sekolah berkenaan.

Walaupun Menteri Pendidikan mempunyai kuasa tertentu memberi keizinan tetapi tidaklah boleh secara sewenangnya dalam semua hal kerana masalah dan kepentingan nasional wajib didahulukan apatah lagi jika bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan asas kenegaraan.

Khabar terbaru difahamkan Perdana Menteri berkata kita perlu menghormati kewujudan sekolah jenis kebangsaan tersebut. Saling hormat sikap yang mulia, tiada salahnya.

Namun secara adil, tentunya institusi tersebut lebih dahulu perlu lebih menghormati Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, undang-undang tertinggi negara ini, Akta Bahasa Kebangsaan, akta pendidikan, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebab pengajaran dan pengurusan pendidikan adalah merupakan urusan rasmi.

Malah mesyuarat yang rasmi pun difahamkan tidak langsung menggunakan bahasa kebangsaan sekalipun ada juga staf Melayu di sana. Tegasnya aktiviti pengajaran dan pengurusan seperti mesyuarat di institusi pendidikan adalah urusan formal.

Malah realiti yang berlaku pihak berkenaan juga sering tidak akur dengan arahan Kementerian Pendidikan sendiri. Semua mata pelajaran tidak diajar dalam bahasa kebangsaan termasuk sejarah dan pendidikan jasmani yang amat mudah perbendaharaan kata yang akan terlibat.

Tulisan jawi yang hakikatnya warisan dan “nyawa” tulisan bahasa Melayu juga ditentang sehabis-habisnya oleh Dong Zong dan sekutunya dengan prasangka seolah-olah tulisan itu akan menukar pendirian dan anutan si pembelajar sedangkan tulisan rumi yang juga merupakan tulisan bagi kebanyakan kitab yang ada dipelajari tanpa risau.

Paling ironi, tulisan jawi tetap dan banyak digunakan dalam produk keluaran syarikat milik bukan Melayu tanpa sedikit pun berasa resah atau risau malah kerap bersekali dengan simbol masjid dan seumpamanya. Mengapa? Itulah realitinya yang benar walaupun pahit.

Pakar rujuk tentang perpaduan, Profesor Teo Kok Seong telahpun menjelaskan apakah kekangan sebenar perpaduan rakyat sehingga 67 tahun merdeka tidak selesai berdasarkan kajian dan tinjauannya termasuk pelajar serta pelatih Program Latihan Khidmat Negara.

Cadangan telah diberi bahawa Malaysia lebih memerlukan sekolah satu aliran demi perpaduan sebenar dan merapatkan jurang semua golongan rakyat, menyatukan semua bangsa, kaum, tanpa diskriminasi berasaskan struktur sosial, sosioekonomi dan seumpamanya.

Malang sekali pandangan pakar pendidikan pun tidak mahu diikut. Pandangan jujur Profesor Teo Kok Seong, Profesor Dr Riduan Tee, mendiang Profesor Khoo Khay Kim tetap diragui walaupun benar kerana yang benar itu pahit untuk mereka telan.

Kita tidak meminta bahasa Mandarin dihapuskan. Itu zalim kerana semua bahasa dan bangsa adalah kurniaan Tuhan. Perlembagaan pun membenarkan bahasa lain dipelajari dan tentunya sebagai satu mata pelajaran bahasa dan bukan sebagai bahasa penghantar bagi semua mata pelajaran.

Hal semudah ini janganlah cuba dikelirukan sebagaimana pernah seorang pemimpin tertinggi DAP semasa berjawatan menteri cuba memesongkan tentang Mandarin sebagai bahasa penghantar yang kononnya diizinkan oleh perlembagaan.

Seperti pandangan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa perpaduan bermula dari sejak kecil maka wajarlah sekolah satu aliran diwujudkan dan penghormatan terhadap bahasa Mandarin memadailah dengan mewajibkannya sebagai satu subjek bahasa yang wajib dipelajari oleh pelajar Cina dan pelajar lain digalakkan belajar sebagai subjek bahasa pilihan.

Itulah juga semangat dalam UNESCO seperti yang diungkit secara keliru oleh bekas Timbalan Menteri, P. Kamalanathan. Semangat bahasa ibunda sebagai mata pelajaran bahasa bukan sebagai bahasa penghantar. Bahasa penghantar di negara ini haruslah bahasa Melayu. Jika tidak pelbagai lagi aliran sekolah jenis kebangsaan perlu wujud seperti jenis Iban, Kadazan, Bajau, Senoi. Semakin haru-biru lah aliran pendidikan di Malaysia. Begitukah yang Kamalanathan mahukan?

Akhirnya kita menjerit rakyat tidak bersatu padu, bahasa kebangsaan pun tak fasih walhal kementerian sendiri sediakan dan bantu pelbagai aliran bahasa dalam sistem persekolahan. Kita adun kek dalam acuan segi empat dan setelah siap kita bertanya soalan mengapa kek itu tidak bulat?. Siumankah kita?

Malah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di,Pertuan Agong pun semasa pembukaan sidang Parlimen telah menegaskan peri pentingnya perpaduan dipupuk sejak kecil. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hanya dalam sekolah satu aliran perpaduan yang lebih baik dan sempurna dapat dipupuk. Contoh negara seperti Indonesia, Thailand malah Singapura boleh dirujuk cumanya di Singapura sebagai negara kota mereka memilih bahasa Inggeris atas sebab tertentu yang mungkin sesuai untuk mereka.

Mereka maju pun bukan mutlak disebabkan oleh bahasa Inggeris sedangkan Malaysia berbeza sejarah, jati diri dan budaya. Amat aneh jika Malaysia juga ingin memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sedangkan sejarah bahasa Melayu dan budayanya telah berakar di sini, juga di nusantara sejak ribuan tahun dahulu. Kerajaan Melayu di nusantara telah wujud begitu lama dan gemilang dan perlu digemilangkan semula.

Apa yang berlaku sekarang juga kerap dikatakan akibat kesilapan pemimpin terdahulu. Jika pemimpin sekarang masih tidak berani membuat perubahan, membetulkan yang lama kerana tidak semua yang lama dan diwarisi itu betul dan perlu diwariskan.

Terimalah kenyataan dan hakikat yang benar walaupun pahit, maka pemimpin sekarang juga akan dipersalahkan pada masa depan oleh generasi dan rakyat sepuluh tahun akan datang. Itu bukan natijahnya tetapi yang dahsyatnya, segala keburukan dan kelemahan tersebut akan terus diwarisi sehinggalah nasi menjadi bubur. Nauzubillah.

Penulis adalah
Pengerusi Biro
Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani,
Majlis Perundangan Melayu

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram