Lumping Putih ‘suntik’ semangat Hazrat Muaz kenali lebih dekat warisan kuda kepang

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENGALAMAN menyaksikan sendiri ritual tradisi kuda kepang memberikan seribu satu emosi buat Hazrat Muaz ketika terlibat dalam penggambaran telefilem Lumping Putih baru-baru ini. 

Bagaikan dirasuk, mereka yang melakukan ritual tersebut mengejutkan dirinya sementelah itu merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan upacara tersebut secara langsung. 

“Saya teruja dalam masa sama dihambat perasaan seram dan takut apabila menyaksikan upacara ritual tersebut. Bayangkan permulaan upacara sahaja, pemain kuda kepang tersebut bagai dirasuk dan menjadi orang lain. 

“Mereka akan mula menari dan mengikut gerakan yang sukar untuk difahami. 

“Selama ini saya hanya mengetahui tentang seni dan warisan kuda kepang tetapi kali ini bertuah kerana dapat terlibat sama dalam Lumping Putih bersama dengan pelakon hebat yang lain. 

“Memang satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan,” kata Hazrat yang membawa watak Lam Nasyrah.

Lumping Putih merujuk kepada kuda kepang putih yang menjadi sebahagian daripada ‘watak’ penting kuda kepang. 

Telefilem ini bukan sahaja mengangkat tradisi berkenaan tetapi berani mengetengahkan unsur khurafat yang ada dalam setiap persembahan.

Diarahkan oleh Epo Jenon, Lumping Putih diterbitkan oleh pasukan Unit Drama RTM yang akan ditayangkan pada 7 Julai ini sempena sambutan Maal Hijrah. 

Selain Hazrat, antara pelakon lain yang terlibat termasuklah Zaidi Omar, Azizah Mahzan, Soffi Jikan, Akmal Ahmad, Amalina Arham, Adam Ikmal, Ruzaidi Abd Rahman dan Asmidar. 

Tambah pelakon yang berasal dari Kuantan, Pahang ini lagi, pastinya dia teruja tatkala dapat bergandingan dengan nama-nama besar yang tidak pernah lokek menurunkan banyak ilmu lakonan kepada orang baharu sepertinya. 

“Bila berada di set, saya gembira kerana semua pihak memberikan kerjasama baik untuk melancarkan penggambaran. 

“Saya sendiri sudah membuat beberapa kajian tentang kisah kuda kepang ini agar dapat memahami dengan lebih jelas Lumping Putih selain memahami kehendak pengarah. 

“Hampir dua minggu kami berkampung di set penggambaran, banyak perkara baharu yang saya perolehi. 

“Mereka ajar bagaimana untuk melontarkan dialog dan permainan emosi yang betul, saya sangat hargainya,” kata Hazrat yang sudah membintangi beberapa buah drama popular sebelum ini. 

Menjalani penggambaran di Muar dan Batu Pahat, Lumping Putih sebenarnya mengangkat tarian tradisi masyarakat Johor terutama mereka yang berketurunan Jawa. 

Namun, kali ini mereka mengolah kisah sebuah keluarga yang masih meneruskan warisan berkenaan. 

Mim Lazim merupakan ayah kepada Alif Narbawi, Lam Nasyrah dan Mim Iqlab. Mim Lazim mahu menurunkan warisan kuda kepang kepada anak sulung Alif Narbawi, namun Mim Iqlab tidak setuju kerana ayahnya mahu mengekalkan kuda kepang tradisional yang ada ritual pembuka dan penutup. 

“Apa yang diangkat dalam naskhah ini bukan sekadar mahu mengingati kuda kepang semata-mata sebaliknya ia sarat dengan seribu satu pengajaran. 

“Saya hormati mereka yang masih meneruskan tarian ini walaupun kebanyakan generasi muda sudah kurang mengenalinya. 

“Yang mana baik, kita teruskan. Yang buruk pula kita tinggalkan. Apa yang penting mesej baik akan sampai kepada penonton,” akhirinya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This