KEDAH Darul Aman (KDA) FC hari ini membuat pengumuman yang pasukan itu akan melancarkan jersi baharu tidak lama lagi dan telah mempunyai penaja yang mampu menampung kos operasi pasukan tersebut walaupun tidak menyatakan dengan terperinci siapa penaja dan bagaimana wajah jersi baharu itu.

Pemilik Saham Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, pasukan tersebut telah mendapat perkembangan yang baik mengenai tajaan pasukan dan sedang memuktamadkan beberapa penaja yang berpotensi menjadi penaja pertama dan kedua.

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar

“InsyaAllah kita akan umumkan apabila kita mendapat hitam putih daripada penaja dalam masa terdekat sebelum pelancaran jersi baharu,” jelas Daud Bakar dalam sidang akhbar yang disiarkan siaran langsung di laman sosial KDA FC hari ini.

Beliau juga memberi bayangan, KDA FC akan menubuhkan sebuah jabatan yang ditaja oleh sebuah syarikat koprporat dengan pemiliknya anak Kedah, yang mana mereka akan meminjamkan pegawai-pegawai syarikat untuk menjalankan urusan pemasaran, perakaunan, reka bentuk, grafik, perhubungan pelanggan dan sebagainya.

Apa yang menarik, pengumuman Mohd. Daud itu seakan-akan membuat kaitan dengan berita sebuah syarikat pengeluar rokok elektronik (vape) tempatan, nanoStix Innovations Sdn Bhd yang menyatakan syarikat itu menjadi ‘mangsa’ siasatan agensi penguatkuasaan kerajaan sejak menyatakan minat untuk menjadi penaja utama KDA FC.

Pemiliknya, Shahabudeen Jalil semalam menyatakan bahawa syarikatnya ‘diserbu’ Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu tajaan pasukan Sang Kenari.

“Bermula dengan pihak Kastam yang datang memberi ‘salam’ atas alasan audit cukai eksais secara rawak, diikuti pula dengan minggu seterusnya muncul pula sepasukan LHDN di pejabat,” kata Shahabudden yang merupakan anak Kedah di dalam status Facebook peribadinya.

Jika diteliti dari pengumuman pemilik KDA FC itu dan berita daripada pemilik nanoStix, seakan-akan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk ‘menjalin ikatan’ dengan pemilik pengeluar vape terkenal itu akan menjadi salah satu penaja utama pasukan Kedah. Jika benar, sudah tentu ia mendapat pelbagai reaksi.

Penyebaran berita mengenai tajaan nanoStix ini sebenarnya bermula apabila disebarkan oleh salah seorang peminat Kedah, Juraimi Desa dalam status Facebooknya awal bulan lepas dengan tajuk “KEDAF FA terima tajaan Nanostix.”

PERTEMUAN pengurusan nanoSTIX dengan wakil kerajaan negeri Kedah. – FB Shahabudeen Jalil

Shahabudeen dalam FBnya sebelum itu juga mengesahkan beliau sememangnya berminat dan berniat untuk membeli pasukan Kedah atas kapasiti peribadi sebagai anak jati Kedah dan telah menyatakan perkara tersebut kepada pihak kerajaan negeri dan pemilik kelab itu.

“Saya nyatakan niat ini kepada pihak kerajaan Negeri dan pemilik sekarang juga. Tidakkah setiap orang mempunyai hak ini?,” katanya menjawab komen bekas Menteri Kesihatan, Khary Jamaluddin yang membidas mengenai hasratnya itu.

Juraimi juga meminta pihak pengurusan pasukan tersebut memikir semula mengenai perkara tersebut terutama jika terpaksa mencetak logo syarikat vape di atas jersi kerana sebelum ini sebuah kelab bola sepak iaitu Kuala Kangsar BRM FC telah dikecam dan terpaksa menghentikannya kerana melakukan tindakan serupa.

“Bagaimanapun, pemilik syarikat vape itu masih boleh menjadi penaja pasukan Kedah tanpa meletakkan logo syarikatnya pada jersi. Tajaan lebih bersifat peribadi yang mana pemilik tersebut memberikan sumbangan atau modal untuk melancarkan (operasi) pasukan,” cadang Juraiami.

Cadangan tersebut ada logiknya dan boleh dilaksanakan kerana sudah tentu KDA FC dan nanoStix mengetahui bahawa tiada syarikat berkaitan rokok boleh menaja secara langsung mana-mana pasukan sukan di negara ini tetapi ia boleh dilaksanakan jika tidak membabitkan promosi secara langsung.

Berita tajaan nanoStix telah mendapat bantahan pelbagai reaksi daripada para peminat pasukan Kedah, sama ada yang membantah keras atau ada yang juga yang bersetuju jika pelaburan pemilik nanoStix hanyalah dalam bentuk pemilikan saham dalam kelad KDA FC dengan tanpa melibatkan promosi logo syarikat di mana-mana platform.

“Tapi benda tu sahih ka nak taja? Entah-entah pemilik nanostix tu nak suntik dana beli saham KDA FC. Sebab sebelum ni pemilik nanostix itu pernah naikkan status kat FB tentang pemilikan kelab bola sepak ni,” komen Ammar Sidqi mengenai berita tersebut.

Juraimi Desa turut bersetuju dengan Ammar dengan menyatakan pelaburan dalam bentuk modal tanpa membabitkan apa-apa logo pada pasukan seharusnya disambut baik.

Para peminat secara keseluruhannya bersetuju jika Kedah mendapat pelaburan tambahan daripada syarikat pengeluar vape tersebut tanpa melibatkan apa-apa promosi logo syarikat kerana mengetahui pasukan Sang Kenari sangat-sangat memerlukan dana ketika ini.

Pemilik nanoStix yang juga merupakan anak Kedah sudah tentu mempunyai semangat cintakan negerinya yang sangat tinggi dan sedia menyumbang atau membuat ‘amal jariah’ kepada mana-mana pihak memerlukan tanpa mengharapkan ‘balasan secara langsung.’

Persoalan oleh pemilik syarikat itu mengenai tindakan agensi penguatkuasaan melakukan pemeriksaan terhadap operasi syarikat mereka tidak seharusnya timbul kerana semua pihak yang menjalankan perniagaan di negara ini seharusnya menjalankan perniagaan mengikut undang-undang, termasuk membayar cukai tanpa culas.

Jika nanoStix tidak melakukan apa-apa kesalahan, sudah tentu pemiliknya akan mengalui-alukan mana-mana pihak berkuasa untuk mendekati syarikatnya dengan tidak menjadikannya satu isu dan seterusnya hasrat mereka untuk membantu pasukan Kedah akan sangat-sangat dihargai oleh para peminat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram