Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia, terkenal dengan bangunan pencakar langitnya yang megah dan suasana kotanya yang sibuk.
Namun, di tengah kesibukan ini, terdapat satu sudut yang memberikan sentuhan seni dan keindahan yang menenangkan iaitu lukisan mural ‘River of Life’.
Projek ini bukan sekadar lukisan di dinding, tetapi simbol kebangkitan dan transformasi bandar. Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak, yang bermula pada tahun 2011.
Mural ‘River of Life’ yang terletak berhampirang dengan Masjid Jamek ini memaparkan gambaran warna-warni dan tema-tema yang mencerminkan budaya serta identiti Malaysia. Ia telah menarik perhatian bukan sahaja penduduk tempatan, tetapi juga pelancong dari seluruh dunia.
Kawasan ini telah diubah menjadi galeri seni terbuka yang meriah, menambahkan daya tarikan visual kepada Sungai Klang yang mengalir melalui jantung bandar.
Menurut salah seorang pengunjung, Cho Hong Lim, 45, mural ini menambahkan elemen estetika yang unik dan mencerminkan citarasa Malaysia.
Katanya, ia bukan sahaja mempercantik kawasan, tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancong dan lokasi fotografi yang menarik, termasuk untuk sesi perkahwinan.
“Reka bentuk mural di “River of Life” mencerminkan citarasa Malaysia yang unik dan berwarna-warni. Walaupun satu lukisan sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan keseluruhan keindahan ini, ia tetap tidak mencemarkan suasana sekitar.
“Kawasan ini merupakan titik permulaan Kuala Lumpur dan mural yang terdapat di sini bukan sahaja cantik tetapi juga mampu diterima dari sudut seni. Ia lebih baik daripada tiada apa-apa dan menambah elemen visual yang menarik, mengelakkan kebosanan melihat bangunan semata-mata.
“Tempat ini berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang menarik, bergantung kepada kemampuan pemandu pelancong untuk menceritakan kisah di sebaliknya. Ia juga menawarkan bonus tambahan sebagai lokasi penggambaran perkahwinan yang indah,” katanya.
Sementara itu, Yuni Yutisnawati, 42, turut menghargai keindahan seni mural yang menggambarkan budaya Malaysia walaupun dia tidak mengetahui cerita di sebaliknya.
Tambahan lagi, dia juga mencadangkan agar lebih banyak bangunan di kawasan itu dihiasi dengan mural yang berwarna-warni.
“Bangunan ini terkenal dan sangat menarik. Ia menawarkan peluang fotografi yang hebat dengan reka bentuk seni bina yang artistik.
“Lukisan mural yang memaparkan budaya Malaysia sangat menarik, walaupun saya kurang pasti mengenai kisah di sebaliknya. Jika boleh, bangunan di tengah kawasan ini juga harus dihiasi dengan mural untuk menambah lagi daya tarikan.
“Saya sangat mengesyorkan tempat ini kepada orang lain. Pada waktu malam, tempat ini menjadi lebih indah dengan pencahayaan lampu yang menawan,” ujarnya.
Bagaimanapun Nur Izzatul Nazwa, 19, seorang mahasiswa Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), merasakan bahawa lukisan mural mungkin mengganggu keaslian bangunan lama bagi mereka yang lebih ingin melihat seni bina asal.
Pun begitu, dia turut percaya bahawa mural ini menambahkan daya tarikan visual kepada bangunan-bangunan lama dan mampu meningkatkan ekonomi setempat.
“Saya memahami bahawa ada yang mungkin lebih suka melihat keaslian bangunan lama tanpa gangguan. Namun, saya berpendapat bahawa inisiatif ini boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Bangunan-bangunan lama ini akan menjadi lebih menarik dengan penambahan mural, yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
“Lukisan yang memaparkan pelbagai kaum di Malaysia mencerminkan keharmonian dan perpaduan negara kita, menonjolkan semangat ‘Truly Asia’ yang sebenar. Di Malaysia, kita menghargai kepelbagaian kaum dan budaya.
“Walau bagaimanapun, mural ini tetap lebih baik daripada tiada langsung, terutama jika ia dapat memperindah kawasan yang kurang menarik,” jelasnya.
Mural ‘River of Life’ adalah contoh bagaimana seni boleh mengubah wajah sebuah bandar. Dengan menggambarkan budaya, keindahan, dan keharmonian Malaysia, mural ini bukan sahaja menarik perhatian tetapi juga meningkatkan nilai estetika dan ekonomi kawasan tersebut. Pengunjung yang datang melihat dan mengambil gambar mural ini turut membawa pulang kenangan indah serta penghargaan terhadap seni dan budaya Malaysia yang kaya dan pelbagai.
Mural River of Life lebih dari sekadar rekod sejarah. Ia adalah pusat kehidupan yang berwarna-warni, menarik pelawat dan penduduk tempatan.
Mural-mural ini mencetuskan perbualan, menghidupkan imaginasi, dan mencipta pengalaman bersama. Di sini, sejarah bukanlah memori yang jauh; ia adalah lukisan hidup yang dijalin ke dalam nadi kota ini