Berulang kali Ismail bertanya kepada saya, “Tak takut ke jadi pemandu van jenazah?”

Melalui cermin pandang belakang, saya mengerling ke arahnya dan berkata; “Apa nak ditakutkan? Orang dah mati, bukan boleh bangun lagi.”

Saya bergurau juga dengannya, kata saya, dah berapa ramai orang mati kena cekik dengan mayat? Ismail ketawa, begitu juga dengan Ramli, kawan saya yang duduk di sebelah.

Namun tidak dinafikan, banyak kejadian luar biasa berlaku sepanjang lebih tujuh tahun saya membawa van jenazah di Negeri Sembilan. Apa yang berlaku itu saya jadikan iktibar.

Ismail mengangguk, membetul-betulkan kopiah putihnya. Dia diam seketika, memegang-megang keranda bapanya yang hendak dihantar ke Jelebu. Adik-beradik Ismail mahu supaya arwah bapa mereka yang meninggal akibat sakit tua itu dikebumikan di kampung asalnya.

Walaupun saya cadangkan supaya mayat dihantar awal pagi esok, tapi mereka tetap mahu dihantar malam itu juga. Kata mereka, mayat itu hendak dikebumikan sebelum Zuhur. Saudara-mara ramai menunggu.

Dua tiga minit berlalu, Ismail masih berdiam diri, mungkin sedang membaca ayat-ayat suci, mungkin sedang mengelamun.

Pukul 1.15 pagi, saya sedang rancak berbual dengan Ramli apabila Ismail tiba-tiba bertanya, “Tak pernah ke jumpa benda-benda tu?”

‘Benda’ tu? Saya tersenyum. Sambil memulas stereng untuk mengelak lubang, saya menjawab, “Dah biasa. Bayangkanlah, dah tujuh tahun saya bawa van jenazah…

“Kalau nak tengok, ikut saya hantar jenazah pada waktu malam,” tambah saya sambil tersenyum memandang Ramli.   

Menjelang pukul 1.30 pagi, kami merentasi kawasan-kawasan yang gelap tidak berlampu, ditemani hutan dan ladang di kiri kanan. Jika melintasi kawasan perkampungan sekalipun, semua rumahnya gelap-gelita. Saya memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan apabila tiba-tiba…!

Di hujung pancaran lampu van, saya nampak seorang wanita berdiri di dalam pondok menunggu bas. Darah saya berderau, tangan yang menggenggam stereng terasa kebas dan menggeletar.

Saya tekan pedal minyak hingga melepasinya. Wanita itu telah beberapa ratus meter ditinggalkan dan saya terus mendiamkan diri. Fikiran saya melayang mengingatkan pakaiannya, rambut, wajah dan pergerakannya. Saya terus mengelamun dan tidak berbicara walau sepatah pun hinggalah tiba-tiba Ismail bersuara.

“Encik nampak tak tadi?” soalnya ringkas.

“Nampak apa?” saya pura-pura bertanya, walaupun saya tahu apa yang dia maksudkan.

“Perempuan tadi,” kata Ismail.

Saya mengiakannya. Rupa-rupanya Ramli juga lihat perempuan itu yang pakaiannya serba putih labuh hingga ke tumit. Rambutnya dibelah tengah, panjang mencecah tanah.

Yang menakutkan saya, apabila van semakin hampir, wanita bertubuh langsing, cantik dan kulit putih bersih itu mara ke depan lalu perlahan-lahan mengangkat tangan mahu menumpang! Ketika itu jantung saya bagai hendak putus daripada tangkainya.

Apabila van melintasinya, mata wanita itu tajam merenung saya.

“Tulah ‘benda’ yang awak cakap tadi,” kata saya menyebabkan Ismail beristighfar beberapa kali.         

“Alamaaaak, ni yang seram ni. Kalau macam ni, tak sanggup saya nak ikut encik berdua lagi,” tambahnya membuatkan saya dan Ramli tergelak besar.

Saya beritahu Ismail, ini baru satu malam, kalau selalu, pasti macam-macam pengalaman akan dilaluinya.  

“Sebab tu lah Abang Hussin selalu ajak saya temankan, senang kalau jadi apa-apa. Dia pun bukannya berani sangat,” Ramli bergurau menyebabkan saya ketawa. Ismail pun tergelak sama.

“Memang saya bukannya berani sangat ta… tapi… Eh!! Tu… Tu! Tengok tu, satu lagi!” saya menjerit sambil menuding jari ke arah birai jambatan di sebelah kiri jalan.

Ismail dan Ramli serentak menoleh. Saya pasti mereka juga nampak seorang perempuan tua duduk bersila di tepi jambatan itu dengan wajah yang cukup mengerikan. 

Matanya yang merah itu merenung kami dengan muka masam dan rambut menggerbang. Yang menakutkan kami, sudahlah pakaiannya serba putih dan kulitnya berkedut, nenek itu memangku seorang bayi di dalam kain putih.

Wanita tidak siuman? Mustahil. Kalau orang tidak siuman, pakaiannya pasti kotor dan comot, tapi pakaian wanita itu putih bersih. Dan lagi, orang tidak siuman, terutamanya yang berusia hampir 100 tahun mustahil masih mempunyai bayi!

Pada dinihari yang sejuk dan gelap-gelita itu juga tidak mungkin ada gadis berani bersendirian menunggu bas. Apatah lagi yang berpakaian putih dan rambut mencecah tanah. Sampai bila pun kita tidak akan jumpa gadis yang mempunyai rambut sepanjang itu.

Dua kejadian itu menyebabkan kami benar-benar terkejut. Ismail berkali-kali menggeleng kepala dan tersandar di dinding van sambil beristighfar serta mengucap panjang. Sampailah ke rumahnya di Jelebu sekitar pukul 2.30 pagi, beberapa kali Ismail meraup bulu roma di tengkuk dan lengannya yang berdiri tegak.

Keesokannya saya menunggang motosikal ke kawasan yang dilalui malam tadi dan singgah di pondok menunggu bas tempat wanita berambut panjang itu dilihat.

Tapi sekejap saja. Tanpa mematikan enjin motosikal, saya terus berlalu kerana berhampiran pondok tersebut terdapat sebuah jirat!

Oleh : Hussin Mohamad, Negeri Sembilan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare