Pengalaman saya memandu membawa jenazah bukanlah baru. Sejak tahun 1987 lagi saya sudah mula bertugas sebagai pemandu van jenazah di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Ketika itu, ada seorang pemandu van jenazah senior bernama Pak Hussein yang banyak memberi petua-petua berguna kepada saya semasa menjalankan tugas.
Saya akui, ada kalanya petua-petua yang diberi Pak Hussein itu memang berguna. Sebagai pemandu veteran yang paling berpengalaman, banyaklah petua yang saya ambil dari Pak Hussein. Pernah semasa mengalami gangguan, Pak Hussein sengaja mempelawa makhluk itu menumpang van kami.
“Hai takkan nak pelawa pula makhluk tu naik van sama,” fikir saya.
Pak Hussein yang menyedari saya berasa pelik dengan perbuatannya itu, membuka mulut. Kata Pak Hussein, makhluk berkenaan bukanlah berani sangat pada manusia. Ia hanya berani pada orang yang penakut.
“Kalau orang tu terlalu takut maka alamatnya jadilah mangsa. Sebab bila dah takut macam-macam boleh terjadi. Pandu van laju-laju atau tidak fokus sehingga boleh sebabkan kemalangan,” terang Pak Hussein.
Sebab itu saya lihat Pak Hussein rileks saja bila memandu van jenazah. Dia tidak tergopoh gapah atau memandu ‘gila-gila’ semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi.
Pada mulanya memang saya merasa pelik dengan perbuatan Pak Hussein tetapi lama-kelamaan saya mula dapat menerima segala perlakuannya. Memang apabila Pak Hussein berasa diekori makhluk tertentu beliau akan mempelawa: “Marilah ikut…jangan nak main-main!”
Begitulah fiil Pak Hussein yang membuatkan saya berasa kagum padanya. Itu antara kenangan saya dengan Pak Hussein yang akan terus terpahat dalam ingatan. Sebabnya, Pak Hussein pun sudah lama meninggal dunia.
Namun, segala ilmu yang pernah Pak Hussein kongsikan, saya turut mempraktikkannya apabila menghadapi ujian semasa bertugas. Saya mula berani mempelawa makhluk berkenaan supaya ikut van yang saya pandu.
Tidak takutkah? Mula-mula memang takut juga tetapi apabila sampai satu tahap, keberanian sudah menguasai diri, ketika itu tiada apa yang hendak ditakutkan lagi. Hanya keberanian saja yang dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Pernah saya ditugaskan membawa satu jenazah pada hari Ahad. Ketika itu saya sedang bercuti. Saya ingat lagi, masa itu, saya dapat panggilan pukul 11.00 malam meminta supaya menghantar satu jenazah dari Senawang ke Kuala Sepetang di Kuala Kangsar, Perak.
Saya fikir, malam-malam macam mana nak pergi dan siapa yang hendak bantu temankan saya? Kalau ada teman, masalah yang datang boleh diuruskan dengan mudah. Kerja pun ringan bila berdua.
Setelah puas memikirkan, saya membuat keputusan tak mengapalah, saya akan jalankannya seorang diri. Kesian pada waris si mati. Lokasinya pun tidaklah terlalu jauh. Kalau dicongak-congak, mungkin ambil masa antara empat atau lima jam untuk sampai ke sana.
Malam itu, saya bertolak dari rumah di Seremban dan singgah mengambil mayat tersebut di Senawang. Sampai di rumah berkenaan, segala urusan berhubung pengesahan rekod dan surat mati dapat diselesaikan dengan cepat.
Macam biasa sebelum bertolak, saya wajib kena tengok rupa jenazah dulu sebagai syarat sebelum memulakan perjalanan. Inilah antara petua yang diajar Pak Hussein yang saya tidak pernah lupa untuk lakukan.
Pak Hussein pernah pesan: “Razak kena tengok rupa mayat. Bila dah tengok baru nak pandu tu rasa tenteram dan tenang,”
Itulah petua saya amalkan. Apabila saya buka kain kafan, saya lihat wajah arwah yang berkulit cerah dan sederhana tinggi. Saya mendapat tahu arwah datang berjalan ke rumah anaknya di Senawang tetapi Allah menjemputnya dan dia meninggal dunia di sana dalam usia 60-an. Begitulah kehidupan. Ajal dan maut hanya Allah yang tahu.
Semasa hendak bertolak ke Kuala Sepetang, anak perempuan arwah meminta hendak menaiki van yang saya pandu bagi mengiringi jenazah ayahnya. Maka anak perempuan arwah mengiringi jenazah ayahnya.
Saya perhatikan, sepanjang perjalanan dia tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Pukul 12.00 tengah malam, saya pun meninggalkan rumah berkenaan, masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan dan menuju ke utara.
Seperti saya jangka, setelah lima jam memandu, akhirnya sampailah kami di Kuala Sepetang, sekitar pukul 4.00 pagi. Perjalanan malam itu lancar, tiada sebarang masalah tidak diingini berlaku.
Setelah selesai menurunkan jenazah sambil dibantu penduduk kampung, mulanya saya bercadang untuk tidur di sana. Tetapi apabila melihat orang kampung sibuk membuat urusan pengebumian yang akan dilakukan pada waktu pagi nanti, saya batalkan hasrat itu. Selepas mengambil duit bayaran tambang bawa jenazah, saya menuju ke arah van.
“Berani ke balik sorang-sorang?” sapa seorang penduduk.
“Tak apalah… dah biasa,” balas saya sambil tersenyum tawar.
Ada juga penduduk menasihatkan saya supaya bermalam di kampung mereka sementara menanti hari siang. Lagipun ketika itu sudah menghampiri pukul 5.00 pagi.
“Tak apalah… saya dah biasa macam ni,” kata saya, menolak dengan baik pelawaan mereka.
Saya hidupkan enjin van, pasang lampu dan bergerak meninggalkan perkarangan rumah arwah, lalu menuju ke jalan utama. Perjalanan menempuh ladang sawit itu sejauh antara dua hingga tiga kilometer terasa amat jauh dek jalannya yang berdebu dan masih bertanah merah. Semasa datang tadi, tidaklah terasa penat tetapi kini terasa letih pula.
Suasana sunyi sepi. Di kiri dan kanan hanya ada pokok sawit sahaja. Tiada sebuah pun kenderaan yang berselisih. Waktu itulah tiba-tiba saya tercium bau bangkai yang amat busuk. Kuat sungguh baunya, hingga saya terpaksa menutup hidung. Eh, busuk betul, bisik saya sehingga hampir termuntah.
Tidak sanggup saya menghidunya. Tapi saya pujuk hati supaya tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan. Saya mengandaikan mungkin kawasan ini tempat orang membuang sampah, tentulah berbau busuk.
Mungkin ada bangkai haiwan, berulat dan berbau busuk terbiar di kawasan berdekatan. Mungkin bangkai haiwan yang besar, seperti lembu atau kerbau, dagingnya sudah lerai dan dihurung ulat, sebab itu baunya begitu busuk. Itulah yang saya fikirkan ketika itu.
Namun, makin lama makin kuat bau busuk itu menusuk hidung hingga saya terpaksa mencekup hidung dengan sapu tangan akibat tidak tertahan lagi. Pelik juga, bagaimana bau busuk itu boleh masuk ke dalam van, padahal semua tingkap cermin sudah bertutup rapi.
Aduh! Tak tahan rasanya. Sungguh, bila-bila masa boleh muntah ni. Tengkuk saya mula rasa kembang, bulu roma tegak meremang. Ini tidak boleh jadi, kata hati saya.
Entah macam mana bila terasa terlalu takut tiba-tiba saja saya jadi berani pula. Saya teringatkan petua yang diajar arwah Pak Hussein: “Jangan takut. Kita mesti lawan rasa takut yang menyerang.”
Lalu saya perlahankan van dan selak kain batik yang menyelimuti keranda di belakang saya.
“Assalamualaikum,” saya berikan salam. Kemudian saya beritahu: “Saya ni nak balik Seremban, masih jauh lagi. Kalau nak tumpang… tumpanglah. Jangan nak uji!”
Itulah kata-kata pelawaan yang saya tujukan kepada makhluk berkenaan yang sedang mengacau saya dengan bau busuk dan meloyakan.
Saya kata begitu sebab malam itu saya berasa cukup seram, bagaikan ada sesuatu yang mengekori. Mengikut arwah Pak Hussein, sesuatu benda itu wujud apabila datang bersama bau wangi, busuk atau macam-macam bau lagi. Kalau tidak ada benda yang datang, takkanlah tiba-tiba saja satu van itu berbau busuk seolah-olah ada bangkai di dalam van yang saya sedang pandu.
Pada masa sama saya mengharapkan Allah menjauhkan saya daripada perbuatan jahat makhluk jin dan iblis yang sengaja hendak menguji keimanan saya. Saya bacakan ayat-ayat suci mana yang teringat bagi menghalau kehadiran makhluk yang tidak diingini dan berharap agar bau busuk itu segera hilang.
Tanpa disangka, selepas saja mempelawa makhluk berkenaan menumpang van saya, bau busuk yang saya tercium tadi perlahan-lahan hilang begitu saja. Tiada lagi bau yang menyebabkan tekak saya kembang dan bulu roma saya meremang sebelum ini.
Saya hentikan kenderaan dan tutup balik kain batik yang diselak sebelum ini pada keranda. Dalam hati saya mengucap syukur, makhluk yang hendak mengacau saya sudah tiada. Mungkin makhluk itu takutkan ayat-ayat suci al-Quran yang saya baca sebentar tadi.
Gangguan seperti ini biasa berlaku kepada saya sejak menjadi pemandu van jenazah. Ia bertujuan menguji keimanan kita kepada Allah. Makhluk ini memang wujud dan bertujuan hendak menyesatkan makhluk manusia di bumi ini.
Walaupun tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi kewujudan mereka ini tidak boleh dinafikan. Pengalaman bersama Pak Hussein banyak membantu saya menjadi seorang pemandu yang lebih berwaspada.
Kembali kepada cerita tadi – Setelah empat jam mengharungi perjalanan dari Kuala Sepetang ke Seremban akhirnya saya sampai ke rumah. Waktu itu lebih kurang pukul 9.00 pagi. Namun, saya tidak berani masuk ke rumah khuatir ada makhluk ghaib yang mengikut saya sepanjang dalam perjalanan tadi.
Petuanya, saya akan cari jalan yang ada dua simpang. Setelah bertemu jalan yang ada simpang lalu saya beritahu: “Aku balik simpang ni, hah engkau pergi balik ikut simpang sana tu!”
Selepas habis keluar perintah itu barulah saya berani masuk ke rumah. Ini sebenarnya hanyalah petua orang tua-tua dahulu. Arwah Pak Husseinlah yang beri saya petua ini.
Lagi pun ketika itu saya ada dua orang anak kecil yang baru berusia antara dua dan tiga tahun. Alhamdulillah, tiada sebarang gangguan dialami saya dan keluarga pada hari berkenaan.
Pencerita: Abdul Razak Mohd. Ali.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare