Di tengah-tengah hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, di antara deretan bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah mewah, terdapat sebuah dunia yang penuh dengan jiwa dan cerita. Dunia ini ialah dunia pemuzik jalanan di Bukit Bintang.

Di jalanan yang sibuk, melodi indah dan lirik menyentuh hati mengalun, menambahkan dimensi unik kepada suasana kota yang sentiasa hidup.

Setiap malam, apabila lampu-lampu neon mula bersinar terang dan orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menikmati malam, pemuzik jalanan ini mula mengambil tempat mereka.

Mereka datang dengan alat muzik yang pelbagai – gitar, biola, saksofon, dan bahkan alat muzik tradisional Malaysia. Ada yang bermain secara solo, ada yang datang sebagai kumpulan. Namun, mereka semua berkongsi satu tujuan, membawa kegembiraan dan hiburan kepada orang ramai.

Aktiviti busking di Bukit Bintang telah menjadi tarikan utama, menyatukan orang ramai dari pelbagai latar belakang dalam irama yang harmoni.

Pemuzik jalanan di Bukit Bintang menerima sokongan penuh dari berbagai pihak.

Mohd Nazri bin Abdullah, ahli GenjiBusker, berkongsi pengalaman mereka menerima sokongan dari penonton tempatan dan media seperti TV3 dan ASTRO yang sering mengundang mereka untuk menyertai acara besar.

“Kami busking untuk rakyat. TV3 dan ASTRO panggil kami untuk join sekali, macam tahun lepas kami ada buat Jom Heboh dekat Melaka.

“Rakyat pun okay, sokong kami dari jauh.

“Kami setiap hari ada disini, nanti ada yang mesej ‘Abang kejap lagi buka ke?’, ‘Hari ini ada tak’,” jelas Nazri

Nazri turut menceritakan tentang pelbagai jenis penonton yang datang menyaksikan persembahan mereka, dari pelbagai negeri dan juga negara.

“Penonton kami dari Johor, Negeri Sembilan pun ada, paling jauh dari Brunei datang menyokong kami.

“Penonton akan penuh dari sini sampai hujung, yang paling penuh hari Khamis hingga hari Ahad, memang penuh, jalan raya belakang pun sesak sehinggakan polis minta beri laluan untuk motosikal dan kereta lalu,” tambah Nazri lagi.

Kai Hustlin, vokalis band yang turut serta dalam persembahan jalanan ini, turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang busker yang bukan berasal dari ibu kota.

Menurut Kai, yang berasal dari Ipoh, dirinya melihat Bukit Bintang sebagai tempat yang terkenal dan penuh dengan peluang untuk belajar perkara baru.

“Saya rasa sebagai busker, apa yang mengubah hidup saya, di Bukit Bintang ramai pelancong dan ramai juga orang tempatan jadi ramai kenal saya dan saya dapat pengalaman baru,” tambahnya

Walaupun belum merancang untuk jangka masa panjang, Kai merancang untuk mengeluarkan album single tersendiri tetapi masih merasa selesa dengan kehidupan sebagai busker.

“Sebenarnya saya tak rancang lagi untuk jangka masa panjang cuma apa yang tengah saya rancang adalah untuk keluarkan album single tersendiri, tetapi lebih selesa berada di jalanan, saya masih minat busking.

“Sebelum ini memang saya ada rancang untuk buat lagu, tapi saya fikir saya seorang busker. kalau saya pemuzik professional dia akan berbeza, saya perlu buat lagu untuk YouTube tapi kalau busker saya buat kerana ‘passion’, saya nak orang dengar saya je sebenarnya,” jelas Kai.

Kai juga menambah bahawa tujuan utama mereka adalah untuk menghilangkan stress orang ramai yang pulang dari bekerja.

Penyanyi itu juga menekankan bahawa kehadiran pelancong menambah warna kepada persembahan mereka dan memberikan peluang untuk menunjukkan keunikan Malaysia.

“Kami dekat sini ramai busker dan niat kami untuk menghilangkan stress orang pulang dari bekerja. Sini berhampiran dengan monorel, selepas balik kerja boleh singgah.

“Saya juga nak tunjuk yang Malaysia ada banyak warna. Pelancong ramai, jadi nak tunjuk kita ada benda menarik untuk mereka saksikan bila lepak waktu malam,” ujar Kai.

Penonton setia, Adlin Ilyana, berpendapat bahawa persembahan busker ini memberikan impak positif kepada industri pelancongan dan membantu menonjolkan budaya Malaysia.

Menurutnya, kerja keras pemuzik jalanan sangat dihargai dan memberikan hiburan yang bermakna kepada penonton.

“Pertama sekali, kerja keras mereka yang mendorong untuk buat persembahan seperti mana yang boleh dilihat di sini. Mereka ada usaha untuk dapatkan pendapatan selain dari hanya kutip derma.

“Saya rasa untuk sudut pelancongan ini adalah satu perkara yang sangat bagus untuk menghiburkan pelancong untuk datang dan menyaksikan persembahan mereka. Ia juga boleh serlahkan budaya kita, dari segi muzik sendiri pun dinyanyikan guna bahasa Melayu.

“Ya sebab benda macam ini bawa nostalgia sebab bila dengar mereka nyanyi,” jelas Adlin.

Sementara itu, Suzannah Pancer, seorang lagi penonton, melihat persembahan busker sebagai satu cara untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada pelancong dan memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan.

“Saya rasa dia bagi kesan positif sebab mereka nyanyi lagu Melayu dan dari situ pelancong boleh tahu berkaitan lagu, adat dan saya rasa mereka boleh mesrakan keadaan kepada sekeliling.

“Saya rasa mereka tidak ‘annoying’ mungkin sebab mereka nak hidupkan Bukit Bintang dan nak tarik orang ramai datang ke Malaysia, jadi dari situ juga boleh memberi hal positif dari segi ekonomi,” ujar Suzannah.

Katanya persembahan busker memberikan peluang kepada pemuzik jalanan untuk mendapatkan pendapatan dengan cara yang sah dan bermaruah.

“Betul, tak semua orang senang untuk dapat duit, semua orang ada cara untuk dapatkan hasil pendapatan, jadi ini adalah peluang mereka untuk dapatkan pendapatan dan membantu mereka,” katanya.

Bukit Bintang terus menjadi tumpuan dan pusat hiburan malam yang penuh warna-warni, menyatukan rakyat tempatan dan pelancong dalam satu irama yang harmoni.